Wednesday, September 30, 2009

SYUKUR, KEMELUT SUDAH SELESAI


Assalamualaikum …

Syukur Alhamdulillah saya selamat sampai di tanah air. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pembaca blog saya yang telah memberikan pelbagai pandangan dan saranan.

Juga terima kasih kepada semua penduduk Terengganu, khususnya yang tinggal di parlimen saya, Kuala Nerus yang telah menghantar sms ucapan selamat hari raya ketika saya berada di luar negara. Mohon maaf kerana saya tidak sempat membalas semuanya tetapi segala-galanya tetap dan sentiasa di hati saya.

Hari ini, saya ingin memberikan reaksi terhadap perkembangan politik Terengganu. Ketika di luar negara, sebenarnya saya mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di negara kita, khususnya Terengganu. Saya melayari internet untuk mendapatkan segala maklumat dan perkembangan itu selain ada rakan-rakan yang menghantar berita kepada saya.

Saya melahirkan rasa syukur apabila membaca kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika menghadiri majlis hari raya Aidilfitri peringkat negeri di Marang beberapa hari lalu. Walaupun berada di luar negara, sesuatu yang amat membanggakan saya rasakan ketika mengikuti laporan itu di internet.

Alhamdulillah, kemelut UMNO Terengganu sudah pun berakhir, kata Dato’ Seri Hishamuddin dan saya juga berkongsi kegembiraan di atas berita gembira tersebut. Walaupun saya tidak dapat menghadirinya, segala-galanya bagaikan dekat dengan saya.

Saya berharap dan percaya, apa yang berlaku itu berasaskan keikhlasan kita semua dalam memastikan UMNO terus kuat dan dekat di hati rakyat Terengganu. Ia juga adalah demi perpaduan ahli dan pemimpin parti.

Saya berpendapat, pemimpin UMNO Terengganu mesti berjiwa besar dan sentiasa mementingkan parti melebihi kepentingan yang lain termasuk peribadi. UMNO tidak wajar dikorbankan hanya kerana ada segelintir kita mengejar kepentingan sedangkan UMNOlah yang meletakkan diri kita seperti hari ini. Saya berharap, apa yang berlaku itu bukannya dilihat dari kulit sahaja tetapi lebih dalam daripada itu. Demi UMNO, marilah kita semua bersatu dan meletakkan parti keramat ini di tempat yang sepatutnya.

Percayalah, rakyat sedang menilai dan memerhati kita. Oleh kerana itu, tunjukkan sesuatu yang meyakinkan rakyat agar terus memilih parti kita sebagai kerajaan yang kuat. Dan, perkara itu sebenarnya sedang berlaku di negeri kita. UMNO akan kembali kukuh jika kita semua sanggup berkorban.

Hari ini, saya bergegas ke Janda Baik, Pahang kerana mengikuti kursus kepimpinan pemimpin UMNO seluruh negara bersama Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jumpa lagi.

Friday, September 25, 2009

CATATAN PERJALANAN DI AIDILFITRI




Assalamualaikum dan Salam Syawal.
Pertamanya, tentu sekali saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Saya ingin memohon maaf kerana tidak sempat untuk update blog saya kerana kebetulan saya berada di luar negara. Hari ini, dalam waktu yang terbatas dan terluang sedikit, maka dapatlah saya catatkan sesuatu untuk anda.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya berpuasa dan menyambut hari raya di luar negara. Tahun lalu, saya ke Taiwan menyertai lawatan yang dianggap kontroversi bersama Ahli Parlimen Malaysia. Sebaik tamat lawatan itu, saya bergegas pula ke New York kerana menghadiri sidang United Nation (UN) di sana. Mujur juga saya sempat sampai di Malaysia di pagi Aidilfitri.

Tahun ini pula, saya hanya sempat berpuasa di kawasan saya selama seminggu sahaja. Namun, saya gembira kerana majlis berbuka puasa yang diadakan di perkarangan pejabat saya yang dihadiri YAB Menteri Besar Terengganu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Terima kasih semua.

Saya berlepas ke luar negara pada 14 September lalu kerana menunaikan tanggungjawab sebagai ayah untuk menghantar anak saya yang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Dublin, Ireland. Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di Ireland – sebuah bandaraya kecil yang aman, bersih dan orangnya juga peramah.

Saya sungguh terkilan kerana tidak dapat bersama-sama rakyat pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana tanggungjawab seorang bapa juga amat penting bagi memastikan anak-anak dapat memperolehi ilmu yang ditimba.

Saya juga amat terharu di atas sekian banyak sistem pesanan ringkas (sms) yang dihantar kepada saya untuk mengucapkan selamat hari raya daripada anda semua. Sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak berkesempatan menyambut hari lebaran bersama penduduk di Parlimen Kuala Nerus. Apa pun, segala-galanya sentiasa di ingatan saya.

Selepas lima hari di sini, saya terpaksa tinggalkan anak sulong saya, Nina yang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Psychology. Sebagai ibu bapa, kami gagahi juga langkah kami walaupun ia sebenarnya amat berat. Yalah, anak yang bersama kita sejak kecil, membesar dan dimanjakan dengan penuh kasih sayang, namun terpaksa berpisah pula.

Kepada Nina, dulu ayah dan ibu semasa mula belajar di US, samalah macam sekarang ini juga. Malah kami pergi tanpa diiringi ibu bapa. Nina tentunya lebih bertuah.

Terlalu banyak peristiwa di sini –yang mengajar saya mengenai pelbagai perkara. Tentu sekali, saya mahu kongsikannya bersama anda semua.

Ketika saya di Amsterdam, anak saya bertanya mengenai kisah Natrah, seorang wanita Inggeris yang mencetuskan kontroversi suatu masa dulu – yang kisahnya pernah saya catatkan di blog saya ini. Rupanya, anak saya sungguh sensetif dengan perkembangan itu. Baguslah.

Di Dublin, kami sekeluarga bersembahyang raya di Malaysian Hall, sewaktu kami sampai tiba, tidak seorang pelajar pun yang ambil peduli mengenai kehadiran kami walaupun pada waktu itu ada lebih kurang sepuluh orang pelajar Malaysia di situ. Bukan satu hal yang penting bagi saya untuk disambut tapi sekurang-kurangnya hulurkan tangan kepada yang lebih tua walaupun saling tidak mengenali..bukankah ini hari raya?

Selepas beberapa ketika, saya terus menemui seorang pelajar Malaysia, yang menuntut dalam jurusan perubatan. Kami bertanya khabar, namun yang lain agak kaku tanpa mahu bersalam pun. Lupakah mereka pada adat dan budaya kita?

Kesimpulan yang kami buat, mereka ini mungkin merasa inferior dan mempunyai masalah bersosial atau mereka lupa didikan dan sopan santun orang timur. Kami beredar ke halaman menghala ke tempat sembahyang sunat Aidilfitri, perkara yang sama berlaku. Tapi lebih teruk, pegawai-pegawai Malaysia pun ada masalah bersosial.

Alangkah ruginya negara kita kerana mempunyai pegawai yang sedemikian sifatnya. Adakah pegawai kita tidak mempunyai keyakinan untuk berbahasa Inggeris atau tidak tahu hal negara. Ia sungguh menyedihkan. Kami menunaikan sembahyang sunat hari raya bersama duta Malaysia di Ireland.

Yang anehnya, khutbah yang dibaca semacam sama dengan khutbah pembangkang di Malaysia. Ia berkisar kepada teguran yang kadangkala sinis kepada kerajaan dalam hal-hal agama. Maklumatnya, jika tidak difikirkan secara positif, saya percaya ia boleh mencetuskan persepsi yang negatif. Peliknya, adakah teks khutbah yang dibacakan pakai baca sahaja atau ditapis dahulu oleh pihak kedutaan?. Inilah persoalannya.

Sewaktu perjumpaan dan majlis jamuan pula, saya didatangi oleh pegawai kedutaan yang menyatakan bahawa dia telah cuba mencari saya di hotel untuk memberikan apa-apa bantuan yang perlu. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan, kepada kedutaan Malaysia di sini yang prihatin dan cakna mengenai kehadiran kami.

Walaupun secara rasmi saya tidak maklumkan kepada Wisma Putra, namun kehadiran saya telah dimaklumlan oleh pihak universiti tempat anak saya masuk belajar. Mereka ambil berat benar. Yalah, ini kunjungan peribadi dan keluarga, maka saya tidaklah maklumkan kepada Wisma Putra.

Tidak lama kemudian, saya diperkenalkan kepada Duta Malaysia di sini, Dato’ Raja Nazrin. Kami bersalaman. Rupanya kami pernah bersama 30 tahun dulu semasa kami sama-sama belajar di US. Selepas itu kami tidak pernah berjumpa lagi.

Beliau adalah orang kuat Persatuan Mahasiswa Amerika Utara. Saya waktu itu baru menjejakkan kaki di US. Maka, kami bukalah cerita lama. Panjang jadinya. Sungguh mengembalikan nostalgia lama.


Bersama Dato' Raja Nazrin


Saya juga diperkenallkan oleh beliau kepada Dato’ Seri Dr Raja Nuruhiyah, seorang kerabat Diraja Perak yang telah lama menetap di Dublin dan pernah mempunyai klinik sendiri. Saya rasa bangga kerana dapat jumpa rakyat Malaysia yang berjaya di luar negara tapi masih mengekalkan kehidupan sebagai seorang Melayu Malaysia, pandai bersosial walaupun pertama kali berjumpa.Sebagai seorang yang berjaya, beliau tetap mengamalkan sikap ”down to earth". Dia menawarkan untuk bantu anak saya di Dublin, malah menjemput kami sekeluarga ke rumahnya untuk masak dan makan bersama. Beliau juga amat peka dan prihatin dengan kraf Malaysia seperti batik dan songket.


Saya juga berkesempatan berjumpa dengan pelajar dari kawasan saya sendiri iaitu dari Kampung Dusun/Banggol Limau di Bukit Tunggal. Sungguh gembira bertemu “anak buah” saya ini. Rupanya dia anak sahabat saya, Haji Sabri Muda, pegawai Kemas Kuala Terengganu. Dia minta bergambar , maka kami bergambarlah.

Menjelang tengahari, kami beredar dari majlis. Dalam perjalanan pulang, saya ternampak sekumpulan anak Melayu berpakaian baju melayu tapi sedang membimbit portable heater. Saya bisikan, ini mesti budak yang baru sampai Dublin dan dalam kesejukan di rumah/asrama mereka.

Rupanya betul. Saya dekati mereka dan bertanya adakah mereka baru sampai Dublin dan belajar di mana. Mereka memberitahu, mereka belajar di University College Of Dublin, pelajar perubatan tahun satu. Mereka itu pula ada datangnya Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu. Yang Terengganu itu pula berasal dari Kampung Durian Burung, depan masjid dan anak Yusof kedai tayar – dekat dengan kediaman saya.

Sempat juga saya nasihatkan mereka agar menggunakan kesempatan yang diberikan kerajaan kerana ia bukannya hak tetapi keistimewaan – semangat patriotik pula biarlah sentiasa kuat dan kukuh. Itu nasihat saya dan mereka menggangguk tanda faham dan terima.

Satu pengalaman lain, ketika kami sedang menaiki bas untuk ke City Tour, kami lihat ramai orang berararak dan berpiket di jalan raya. Katanya, mereka itu telah diberhentikan kerja kerana masalah ekonomi dunia/Ireland sendiri. Sungguh ramai. Terlintas di fikiran, betapa bertuahnya rakyat Malaysia. Mereka bernasib baik kerana terselamat dari bahana krisis ekonomi. Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kita yang telah berusaha menyelamatkan kita daripada krisis ekonomi daripada lebih teruk.

Saya juga lihat pengangkutan awam mereka cukup baik di dua bandaraya yang saya lawati. Teringat saya di kawasan saya. Dah bertahun saya perjuangkan agar kemudahan untuk rakyat ditingkatkan, namun dalam tempoh beberapa tahun ini, tidak banyak yang berubah. Kita bercakap soal pembangunan dan pembaharuan tetapi tindakannya tidak ke mana juga. Entahlah!.

Sebelum saya bertolak ke London petang tadi, saya hantar anak saya tinggal homestay dengan keluarga Irish untuk dia lebih mudah menyesuaikan diri dengan orang Ireland dan persekitarannya.

Di Paris, kami bertuah dapat berjumpa dengan anak seorang pengerusi JKKK Tuan Mandak,DUN Bukit Tunggal. Nama timangannya Dini. Beliau belajar di Lyon, kira-kira 450km dari Paris.Saya sungguh tersentuh kerana kesanggupan beliau menaiki keretapi semata-mata untuk menemui saya dan keluarga.Dini adalah pelajar jurusan kejuruteraan elektrikal.Saya berbangga melihat anak Melayu sepertinya yang tinggi keyakinan dirinya, peramah dan yang paling penting tidak lupa adat resam Melayu.

Oleh kerana Dini begitu fasih berbahasa Perancis, beliaulah menjadi jurubahasa kami selama 2 hari di Paris. Kami diajar cara-cara untuk menaiki keratapi dan laluan-laluan yang boleh diambil.Terima kasih kepada Dini daripada kami sekeluarga kerana telah membuat hari kami di Paris begitu menyeronokkan.Doa kami agar Dini akan berjaya dan cemerlang meneruskan pelajaran.

Bersama Dini di Paris


Sebenarnya banyak sekali peristiwa yang mungkin satu kebetulan namun ia tetap satu ketentuan yang menyentuh perasaan. Demikianlah sedikit kisah perjalanan saya.


Kepada pembaca sekalian, saya sekali lagi mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri dan kami memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap saya sekeluarga. Insya’Allah, saya tiba di tanahair beberapa hari lagi.

Tuesday, September 1, 2009

JIHAD EKONOMI MELAYU

Gambar hiasan

Salam Ramadhan,

Ramai orang mahu memperkatakan mengenai ekonomi Melayu. Malah, dalam banyak keadaan, ia menjadi antara topik yang sangat menarik perhatian. Rata-rata kita semua sedia maklum bahawa ekonomi Melayu masih pada tahap yang kurang memuaskan dan jauh terkebelakang. Masalahnya, adakah orang Melayu tolong Melayu?. Itu idea yang hendak saya lontarkan kepada anda hari ini.

Jika ditanya saya, saya sedih dengan kemampuan orang Melayu menolong Melayu, dalam maksud membantu ekonomi Melayu.

Saya tidak malu untuk melontarkan satu contoh yang sangat jelas walaupun saya mungkin dilabelkan sebagai agak rasis. Di kampung kelahiran saya di Kampung Seberang Takir misalnya, terdapat dua kedai kopi Cina dan sebuah kedai kopi Melayu. Penduduk di Seberang Takir pula boleh dikatakan Melayu semuanya. Jika ada orang bukan Melayu pun, ia mungkin yang terlepas pandang.

Apa yang berlaku di kampung saya. Kedai kopi Cina yang dua semakin maju kerana semakin ramai orang minum di situ. Siapakah orang itu. Cina ke?. Tidak. India ke?. Tidak juga. Melayu?... ya…ya…ya Melayu. Nak tahu pulak apa dah jadi dengan kedai kopi Melayu?. Hidup segan mati tak mahu. Inilah nasib Melayu kerana Melayulah yang meruntuhkan ekonomi Melayu.

Begitu juga dengan kedai rucit. Di kampung-kampung, berapa banyak kedai runcit Melayu yang ada. Tapi menjadi tabiat orang Melayu yang berlagak sombong dan angkuh apabila hendak juga ke bandar walaupun jaraknya memakan masa yang panjang semata-mata mahu membeli di kedai Cina. Mengapa?.

Ini bukan rasis tetapi saya mahu membawakan soal pemikiran dan cara Melayu iaitu mengenai bangsa saya sendiri. Sampai bilakah kita mahu begini. Apa salahnya kita memajukan kedai kopi Melayu kerana mereka bangsa kita. Apa salahnya kita membeli-belah di kedai runcit Melayu walaupun mungkin harganya mahal sedikit dua atau tiga sen.

Nah!, di sini saya lihat betapa perlu adanya jihad ekonomi Melayu. Tidak perlu pergi jauh. Kita perlu dan wajar memulakan di kampung-kampung kita. Orang Melayu kena ubah sikap dan sudah sampai masanya mereka begitu. Tidak ada masa lagi untuk mereka berubah melainkan sekarang ini.

Cukuplah dengan tabiat lama yang gemar memperlekehkan peniaga Melayu dan orang Melayu. Kita lupa, kita yang selalu mengkritik Melayu sebenarnya kita mengkritik diri kita sendiri. Saya sudah lama memulakannya dan saya harap anda juga seperti saya untuk memulakan jihad ini.

Hanya cara ini ekonomi Melayu akan maju dan berubah. Tiada cara lain sebenarnya. Sedarlah wahai Melayu sekalian yang ada.



Monday, August 31, 2009

IMPIAN DAERAH BAHARU SEMAKIN HAMPIR

Salam Ramadhan,

Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama meraikan penduduk di Parlimen Kuala Nerus dalam majlis berbuka puasa di pejabat saya petang Sabtu lalu. Lebih meriah lagi apabila majlis tahunan itu turut dihadiri YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Sesungguhnya saya sungguh terharu dengan sambutan dan kehadiran yang begitu ramai pada majlis tersebut.

Saya ingin memohon maaf kepada sahabat-sahabat dan orang ramai yang tidak dapat berbuka puasa dengan selesa lantaran tempat yang disediakan telah dipenuhi kerana jumlah kehadiran pada petang itu adalah di luar dugaan sekali. Apa pun, terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan sama-sama berbuka puasa bersama saya dan Menteri Besar.

Saya gembira dengan ucapan Datuk Ahmad Said pada majlis itu. Antara lain beliau menyebut bahawa Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti satu tapak sesuai untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus. Pengumuman itu tentu sekali menterjemahkan betapa usaha menjadikan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah baharu di negeri ini semakin hampir menjadi kenyataan.

Rakyat yang hadir, ketika mendengar ucapan itu nampak bagaikan gembira. Itulah yang dapat saya lihat. Bagi saya, Kuala Nerus mempunyai kawasan yang luas dan untuk mendapatkan satu tapak bagi tujuan itu bukanlah sesuatu yang sukar.

Apa pun, saya percaya kelahiran sebuah daerah baharu itu kini dalam proses. Ia perlu melalui beberapa peringkat proses lagi termasuk diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sebelum ianya menjadi kenyataan. Seperti penduduk di Kuala Nerus, saya juga menaruh harapan yang tinggi agar apa yang saya perjuangkan ini akan lebih cepat menjadi kenyataan.

Kerajaan kita di bawah kepimpinan Menteri Besar sudah tentu akan melakukan yang terbaik bagi memastikan hasrat kita semua menjadi kenyataan.

Kita telah pun mendengar dan melihat satu permulaan yang baik mengenainya. Ia lahir dari mulut YAB Menteri Besar sendiri. Percayalah, impian kita semua semakin hampir.

Selamat meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan.


Thursday, August 27, 2009

BN TIDAK KALAH

Assalamualaikum,…

Ramai yang geleng kepala dengan kekalahan BN di Permatang Pasir. Ada yang sini bunyinya tetapi itulah lumrahnya apabila parti yang disayangi kalah walaupun hakikatnya parti yang kalah itulah lebih banyak berjasa dan berkemampuan membawa perubahan serta membela nasib rakyat di kawasan pilihan raya berkenaan.

Politik Malaysia tidak menilai kemampuan. Ia lebih berteraskan kepada emosi semata. Lihat, orang yang menentang kerajaan, menuduh BN zalim dan sebagainya – orang yang berkata itu pun selama ini mendapat nikmat dan faedah daripada dasar dan kerajaan BN. Jika tanpa BN, mereka belum tentu jadi begitu.

Simbol pembangkang sudah ada, bukan tidak ada. Di Kelantan, sudah hampir 20 tahun pembangkang memerintah, apa yang Pas buat di Kelantan. Mereka hanya berceramah setiap malam, manakala kerja-kerja untuk rakyat amat tidak memadai. Dalam tempoh 1999 hingga 2004, apa yang Pas buat ketika memerintah Terengganu.

Sudah terang pembangkang tidak layak dan tidak mampu menjadi kerajaan. Bagaimanapun, disebabkan cara politik orang kita tidak ke arah melihat soal betapa rekod cemerlang sesebuah kerajaan itu sebagai kayu ukurnya, maka begitulah jadinya.

Bagi saya, dalam banyak pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU yang ke-12, BN hanya kehilangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu sahaja manakala kerusi-kerusi lain, pembangkang mengekalkan kerusi. Jadi, tidak timbul soal UMNO atau BN kalah. Malah, dalam banyak keadaan, BN berjaya menyusutkan undi majority pembangkang. Itu kejayaan sebenarnya.

Jadi, tidak perlulah gundah-gulana sangat dengan kekalahan BN kerana pembangkang hanya mempertahankan kerusi mereka sahaja. BN tidak rugi apa-apa. Namun, sekurang-kurangnya BN tidak mahu memberikan kemenangan percuma kepada pembangkang.

BN dan UMNO sentiasa mahu meneruskan perjuangannya untuk rakyat dan Negara. Saya lihat, sudah ada petanda rakyat semakin memberikan sokongan kepada BN selepas pelbagai kemelut dan kegagalan kerajaan pembangkang. Cuma, saya mendoakan agar rakyat kita lebih bijak dan matang berpolitik.

BN tidak pernah memaksa mereka tetapi jika mereka tersilap memilih kerajaan, merananya sudah tentu agak lama apabila terpaksa menunggu PRU yang seterusnya.

Tuesday, August 25, 2009

CATATAN DI PERMATANG PASIR

Salam Ramadan…

Syukur Alhamdulillah akhirnya dapat disempurnakan tugas sebagai ketua delegasi Badan Perhubungan UMNO Terengganu bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (Dalam Parlimen Permatang Pauh), Pulau Pinang. Memang sungguh mencabar, apatah lagi kita ditugaskan di kawasan yang sememangnya terkenal sebagai kubu kuat Pas.

Cuba anda bayangkan bahawa BN telah tewas calon Pas, Allahyarham Datuk Mohd Hamzan Abdul Rahman dengan majoriti 5,400 undi pada pilihan raya umum lalu. DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi di mana 72.34 peratus pengundi Melayu, 25.86 peratus pengundi Cina, 1.64 peratus pengundi India dan 0.16 peratus pengundi kaum lain-lain.
Memang satu tanggungjawab yang berat sebenarnya untuk meraih sokongan dan mengembalikan keyakinan rakyat di kawasan berkenaan, apatah lagi BN dilihat dalam perspektif yang lemah. Dan, ditambah lagi dengan ketibaan Ramadan ini, ia meningkatkan lagi cabaran yang ada buat kami.

Bagi saya, Ramadan bukanlah satu halangan kita ini bukanlah pengalaman pertama berkempen di bulan Ramadan. Pilihan raya kecil DUN Lunas di Kedah pada tahun 2000 juga diadakan dalam bulan Ramadan. Ketika itu, saya adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Cuma kali ini agak kebetulan sekali kerana tatkala pilihan raya kecil diadakan di DUN Permatang Pasir, ADUN Lunas (yang mana kerusi itu pernah diadakan pilihan raya kecil di bulan Ramadan sebagaimana yang saya sebutkan tadi) telah mengistiharkan dirinya keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya percaya bahawa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan mudah-mudahan ia diterjemahkan melalui undi penduduk Permatang Pasir sendiri.

Saya bersyukur kerana segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya bersama-sama rakan-rakan Ahli Parlimen dan kepimpinan bahagian yang lainnya, kita telah menggerakan jentera kempen kita dengan begitu berkesan sekali. Kita mempunyai pengalaman kerana kita adalah sebuah parti yang penah kalah di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 yang lalu. Kekuatan itu telah kita gunakan bagi menggerakkan jentera kempen kita.

Alhamdulillah, saya Nampak kita mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk dan pengundi di Permatang Pasir sendiri.

Apa pun, kita telah melakukan yang terbaik dan sama-samalah kita berdoa agar BN mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil itu nanti, insyaAllah.

Friday, August 21, 2009

SELAMAT BERPUASA


Salam Perjuangan…

Esok (Sabtu), seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Bagi mereka yang memahami fadilat Ramadan, kehadiran bulan yang penuh berkat ini sememangnya sentiasa dinanti-nantikan. Sehubungan itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut ketibaan Ramadan kepada seluruh umat Islam.

Saya berdoa, walaupun suasana yang kita lalui tahun ini mungkin agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya – maksudnya dengan isu-isu persekitaran yang mencabar seperti masalah kelembapan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya dan penyebaran wabak selesema babi, ia tidak mengganggu atau menjejaskan ibadah puasa kita.

Sebagai umat Islam, kita telah diajar untuk lebih kuat berhadapan dengan cabaran dan dugaan, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

Jika saya boleh mengingatkan sesuatu kepada umat Islam, biarlah kita mengamalkan budaya kesederhanaan di bulan Ramadan ini. Membeli juadah berbuka biarlah berpada-pada, jangan terlalu ghairah serta membeli melebihi keperluan. Itu membazir namanya dan dilarang agama Islam yang Maha Suci.

Saya menyatakan demikian kerana itulah yang saya lihat. Jangan ingat hal ini remeh, kerana itulah tabiat kita setiap kali datangnya Ramadan. Mungkin itu telah menjadi budaya orang kita barangkali.

Begitu juga dengan selesema babi. Kita perlu berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Perlu ada langkah-langkah pencegahan, apatah lagi ketika kita berada di khalayak yang sesak – sama ada di kedai atau bazar Ramadan. Jangan memandang mudah mengenainya kerana saya fikir itu adalah satu ancaman yang serius terhadap kita sekarang.

Dalam pada itu, kita juga kena ingat mengenai betapa bertuahnya kita di Malaysia ini yang bukan sahaja aman, malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan amat sempurna. Berbanding di negara-negara lain yang bergolak, sebenarnya ada sebab mengapa kita mesti bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya membina sebuah negara Malaysia yang hebat sebagaimana sekarang.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini akan lebih memberikan pulangan pahala yang lebih lumayan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Hayatilah roh Ramadan ini dan carilah segala kebaikan di sebaliknya sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya.