Friday, March 30, 2012

HADAPI FITNAH DENGAN BIJAK

 Assalamualaikum.

 Alhamdulillah, saya dapat menulis lagi, mencatat sedikit perkara untuk tatapan dan renungan kita bersama.

 Sejak gendang PRU semakin dipalu dan teka-teki mengenai tarikh berkenaan semakin hampir menjadi kenyataan, budaya fitnah dilihat semakin menebal, terutamanya di kalangan pemimpin pembangkang. Bagi saya, menfitnah ini bukanlah kerja baharu yang dilakukan pembangkang, malah sejak dahulu sememang menfitnah telah menjadi budaya mereka.

 Sebagai orang politik, saya sedikit pun tidak hairan dengan budaya puak pembangkang ini dalam menghadapi sistem demokrasi yang ada. Cuma, sedikit kebimbangan jika segelintir rakyat yang tidak faham mengenai hakikat sebenar akan lebih mudah terpedaya dengan fitnah yang ada di sekeliling mereka. Apatah lagi, budaya pemikiran orang kita sendiri yang lebih gemar mempercayai sesuatu yang salah walaupun hakikatnya apa yang dimomokkan ke pengetahuan mereka adalah palsu belaka.

 Kadangkala saya tersenyum dengan fitnah ini. Jika kita melayan, melarat pula jadinya. Maka kita buat tidak tahu sahajalah. Biarlah mereka dengan dunia  mereka. Selebihnya, mereka tanggunglah azab di akhirat kelak akibat fitnah yang mereka lemparkan.

 Cuma, suka saya menyarankan agar di saat detik tarikh PRU semakin hampir diumumkan, rakyat haruslah menyiapkan diri dengan semangat yang kuat agar mereka tidak mudah terjebak atau terpedaya dengan budaya fitnah ini. Apa pun, saya sangat optimis bahawa rakyat kita sebenarnya semakin matang, bijak dan cerdik dalam menilai dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

 Maksud saya, mereka sudah bijak untuk menilai yang mana kaca, yang mana intan. Rakyat hari ini, walaupun segelintir daripada mereka memilih untuk berada dalam saf yang salah, namun majoriti rakyat kita masih cintakan kebenaran. Itulah hakikat yang sedang saya lihat dan saya percaya bahawa anda juga melihat apa yang sedang saya lihat.

Manusia yang gemar melontar fitnah itu adalah mereka yang sedang berada dalam kebimbangan dan ketakutan yang dahsyat, kalau-kalau mereka akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU akan datang. Hanya itu sebabnya mereka sengaja dan terus melontarkan fitnah terhadap musuh politik mereka.

Kepada rakyat, saya berdoa agar mereka terus kekal dengan semangat yang bijak dalam menangkis daripada sebarang perbuatan fitnah. Mudah-mudahan, mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Ingatlah, pembangkang sedang meniupkan angin fitnah yang semakin kencang kerana mereka kini benar-benar takut dengan kekuatan BN yang semakin ketara. Percayalah. 

Tuesday, March 6, 2012

Bila Kerajaan Pas Kedah Bergolak


Assalamualaikum.


Bukan mahu mengambil tahu hal orang lain, terutamanya pembangkang tetapi apa yang berlaku ke atas kerajaan Kedah yang kini dikuasai Pas sangat menarik perhatian.

Saya percaya, bukan sahaja kita orang politik tetapi rakyat juga sedang melihat perkembangan itu dengan dekat. Terbaru, khabarnya Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi menentukan kuasa Menteri Besar Kedah yang disandang Datuk Seri Azizan Abdul Razak – satu tindakan yang dilihat pelik dan tidak pernah berlaku di dalam sejarah politik di negeri itu.

Semuanya gara-gara kuasa. Jika dahulu mereka ini adalah manusia yang paling lantang mengkritik, menuduh dan menghina pemimpin Islam dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), hari ini mereka sendiri berhadapan dengan masalah politik yang dahsyat. Namun, setiap kali mereka ditimpa masalah, maka masalah itu mahu dilemparkan kepada orang lain, terutama UMNO.

Pas adalah parti yang hanya memerintah Kelantan, manakala di negeri-negeri lain, mereka tidak menikmati kuasa sebelum ini. Maka sedaplah mereka membuat pelbagai janji, tuduhan dan fitnah – sebab mereka tidak berkuasa dan apa yang mereka cakap hanyalah bermodalkan air liur.

Hari ini, apabila mereka mempunyai kuasa, mereka sudah mula tamak dan apa yang berlaku hanyalah disebabkan soal kuasa. Tidak lebih dari itu.

Persoalannya, apakah parti yang seperti ini bercita-cita mahu menawan Putrajaya (kononnya) sedangkan perangai dan sikap pemimpinnya sangat buruk. Ini fakta dan anda semua sudah tentu lebih maklum mengenainya.

Saya berharap, rakyat akan melihat dan menilai apa yang berlaku ini sebagai teladan politik buat mereka. Pada PRU ke-13 nanti, rakyat perlu menolak pembangkang yang telah terbukti gagal dalam pentadbirannya – bukan sahaja di Kedah tetapi di negeri-negeri lain yang mereka kuasai termasuk Kelantan.

Saya telah melihat angin kesedaran rakyat terhadap penipuan pembangkang semakin menebal dan saya fikir rakyat akan melakukan satu perubahan besar dalam PRU ke-13 nanti untuk memberikan mesej kepada pembangkang bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai tempat di hati rakyat.

Sungguh!.


Monday, March 5, 2012

TERIMA KASIH TPM, RAKYAT KUALA NERUS



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyempurnakan lawatannya ke Terengganu beberapa hari lalu. Syukur juga kerana pada hari ini, saya mempunyai kesempatan untuk memberikan sedikit komen atau reaksi mengenai hasil lawatan tersebut.

Terima kasih kepada YAB Tan Sri kerana telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian destinasi lawatan beliau.

Juga penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada puluhan ribu rakyat yang membanjiri kawasan Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu sebagai memberikan sokongan kepada pucuk kepimpinan negara yang tercinta.

Selain, beberapa pengumuman atau berita baik daripada YAB Tan Sri mengenai projek Sekolah Sukan dan beberapa projek untuk rakyat yang lain di kawasan Parlimen Kuala Nerus ini, kehadiran puluhan ribu rakyat adalah sesuatu yang mengkagumkan.

Saya sangat teruja melihat semangat rakyat Kuala Nerus – satu gambaran mengenai kebangkitan mereka untuk memastikan Barisan Nasional (BN), khususnya di Parlimen Kuala Nerus berada dalam genggaman kita. Ini bukan sesuatu yang retorik kerana ia sebenarnya benar-benar berlaku di depan mata kita semua.

Saya sangat optimis bahawa jika inilah semangat yang ditunjukkan rakyat Parlimen Kuala Nerus, bukan sahaja semua kerusi yang BN miliki akan dikekalkan, malah kerusi DUN Bukit Tunggal yang dimenangi Pas pun, akan mampu kita tawan semula.

Apa pun, saya melihat satu semangat dan iltizam yang sangat luar biasa yang mampu saya terjemahkan dengan perasaan yang sangat gembira.

Mudah-mudahan kebangkitan dan semangat yang ditunjukkan rakyat ini akan berterusan. Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh penduduk dan pengundi di Parlimen Kuala Nerus.

Monday, February 20, 2012

POLITIK WAJIB IKUT ISLAM, BUKAN ISLAM KENA IKUT POLITIK



Assalamualaikum.

Sejak agak lama sebenarnya, umat Islam khususnya di Malaysia ini telah dimomokkan dengan apa yang dipanggil sebagai politik Islam. Secara jelas, ia dipelopori PAS sebagai parti yang mendakwa ingin melaksanakan Islam dan perjuangannya Islam. Sama ada kita percaya atau tidak, sudah agak ramai yang terpedaya dengan perjuangan sedemikian.

Ramai yang terpedaya dengan gerakan ini sehingga ada yang tergamak menafikan apa yang dilaksanakan UMNO sebagai telah memenuhi tuntutan dan kehendak Islam. Lalu tidak hairanlah kita mendengar pelbagai fatwa politik dikeluarkan demi menghalalkan setiap tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.

Hari ini saya ingin fokuskan perbincangan kita kepada topik, benarkah PAS adalah parti Islam, yang memperjuangkan Islam dan mahu melaksanakan Islam. Secara sejarahnya, PAS adalah parti serpihan UMNO yang diwujudkan bukanlah bermatlamat sebagaimana yang mereka laungkan sekarang. Dan, saya juga tidak nampak sehingga kini adanya asas dan bukti-bukti bahawa PAS mahu menegakkan Islam di Malaysia seperti yang mereka dakwa selama ini.

Apatah lagi sejak mereka berkawan dengan DAP, matlamat PAS sentiasa berubah-ubah. Baik, biarkan itu.

Apa yang hendak saya lontarkan kepada pembaca ialah betapa kita sebenarnya telah terpedaya dengan PAS. Saya berpendapat, jika PAS adalah sebuah parti Islam, ia mestilah mematuhi kehendak Islam serta menjarakkan diri mereka dengan hal-hal yang dilarang oleh Islam.

Apa yang saya maksudkan. Mari kita berfikir. Politik Islam yang sebenar adalah politik yang wajib memenuhi tuntutan Islam atau politik yang menjadikan Islam sebagai panduan mereka. Dalam maksud yang mudah, politik itu mestikan mengikut Islam.

Apa yang berlaku sekarang ialah, Politik telah memandu Islam. Dalam maksud yang mudah, Islam perlu mengikut politik. Ini pendekatan yang salah dan perkara ini mungkin ramai di kalangan kita terlepas pandang akannya.

Inilah yang membimbangkan kita. Apabila Politik telah memandu Islam, maka terjadilah apa yang sedang terjadi. Tidak hairanlah perkara yang dilarang oleh Islam tetapi dihalalkan politik, maka perkara itu tidak lagi dianggap salah.

 Sebagai umat Islam, saya mahu mengajak anda semua merenung dan berfikir akan perkara ini. Insaflah dengan apa yang telah kita lalui dengan penuhi kerugian akibat terpedaya dengan golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan politiknya.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Saturday, January 21, 2012


gambar hiasan

Assalamualaikum.

Kita tinggal seketika mengenai topik politik. Hari ini saya ingin menulis mengenai budaya bercuti panjang, terutama pada musim cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina. Dan, scenario itu seringkali dikaitkan dengan isu kemalangan jalan raya.

Seperti cuti panjang pada musim perayaan setiap tahun, kemalangan jalan raya terus menjadi isu yang panas. Melalui Opss Sikap yang dilaksanakan PDRM, bagitu banyak kematian dicatatkan. Saya yang mengikuti perkembangan itu, naik takut dibuatnya.

Yalah, kajian mendapati bahawa kebanyakan kemalangan berpunca daripada kealpaan pengguna mematuhi peraturan atau undang-undang jalan raya. Sikap takut kepada anggota pihak berkuasa seperti Polis atau JPJ telah menyebabkan orang kita kurang kesedaran atau sengaja mengabaikan tanggungjawab mematuhi undang-undang.

Lebih memilukan lagi apabila ada juga yang terkorban akibat kecuaian orang lain. Persoalannya, apakah masalah ini dapat kita tangani atau atasi?

Bagi saya, kita boleh jika semua orang mempunyai tanggungjawab atau kesedaran. Sikap berhemah, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri ketika memandu adalah resepi paling berguna bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Bayangkan jumlah mereka yang menderita akibat kemalangan. Itu belum termasuk kerugian terhadap negara apabila sekian ramai rakyat terkorban di jalan raya?.

Hakikatnya, ramai yang terkejut dan takut setiap kali melihat berlakunya kemalangan. Namun agak malang, orang yang sama jugalah gagal menjadi pemandu yang berhemah ketika memandu. Jadi, sampai bila semua itu harus dibiarkan.

Saya berharap, kita semua berhati-hati. Jangan memandang mudah tanggungjawab sebagai pemandu berhemah di jalan raya. Banyakkan bersabar, pastikan kenderaaan dalam keadaan baik dan pastikan tahap kesihatan memuaskan ketika memandu.

Semoga percutian anda dan kita semua tidak tercemar dengan kemalangan pada musim perayaan ini, InsyaAllah.

Friday, January 20, 2012

DEMIKIANLAHLAH PAS ...



Assalamualaikum.

Mungkin saya agak terlewat sedikit untuk mengulas mengenai pemecatan Datuk Dr Hassan Ali sebagai ahli Pas, sekaligus sebagai Exco Kerajaan Selangor. Namun, dengan perkembangan menarik yang berlaku selepas  pelantikan exco kerajaan negeri yang menggantikan Datuk Dr Hassan Ali dibuat dengan portfolio hal ehwal agama Islam dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR, ia menarik perhatian saya.

Saya tidak peduli (seperti ayat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengenai portfolio itu dipegang oleh PKR ke, Pas ke kerana bagi saya, selagi mereka berada dalam Pakatan Pembangkang yang didalamnya ada DAP, keadaan tidak mungkin mampu mengubah apa-apa.

Pada pendapat saya, saya tidak nampak bahawa selain Datuk Dr Hassan Ali, ada lagi pemimpin Pas yang berani dalam menegakkan perjuangan partinya. Soal pada pandangan UMNO, Pas adalah parti yang memperalatkan Islam itu soal lain yang kita ketepikan seketika – kerana jika tidak, ada yang beranggapan saya bersetuju dengan Datuk Dr Hassan Ali sewaktu beliau berada dalam Pas.

Begini, ketegasan Datuk Dr Hassan Ali dalam memperjuangkan isu murtad di kalangan umat Islam di Selangor misalnya, dilihat menjangkaui kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu, ia dilihat dalam banyak perkara, bertentangan dengan ramai pemimpin tertinggi Pas dan saya amat yakin bahawa sesiapa pun yang rapat dengan Datuk Dr Hassan Ali, selain melihat trek rekod beliau dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Islam, maka kita simpulkan bahawa Datuk Dr Hassan Ali adalah seorang yang ikhlas dalam perjuangannya.

Pokoknya ialah, mengapa manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali tersingkir dan disingkirkan. Ya, bagi seorang pemimpin UMNO dan BN, sudah tentu saya “gembira” dengan apa yang berlaku kerana ia sudah tentu membawa sedikit keuntungan kepada parti saya. Namun, apakah seorang manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali yang tegas dalam perjuangan Islam, hendak kita letak ketepi.

Jauh daripada itu, ia lebih kepada soal perjuangan umat Islam yang merentasi sempadan parti politik pun sebenarnya.

Apa yang saya inginkan ialah, rakyat mesti membuka mata dan melihat apa yang sedang berlaku ini dengan matang dan terbuka. Kita tidak boleh terlalu fanatik kerana orang yang fanatik tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bijaksana.
Oleh itu, marilah kita melihat isu ini dengan bijaksana untuk menilai, siapakah Pas sebenarnya. Apakah ia benar-benar sebuah parti Islam, atau hanyalah sebuah parti yang inginkan kuasa.

Apakah ia hanya sebuah parti yang pentingkan partinya mengatasi kepentingan lain termasuk Islam?. Atau apakah wajar rakyat yang selama ini terpedaya dengan Pas untuk terus menyokong Pas.

Anda fikir, renung dan tentukan pendirian anda.

Sunday, January 1, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012


Assalamualaikum ..

Alhamdulillah, Allah memberikan kita lanjutan usia untuk sekali lagi bertemu tahun baru, kali ini tahun 2013.

Tahun baru sebenarnya banyak membawa petanda kepada manusia. Petanda paling penting ialah, ia membuktikan usia kita makin lanjut dan menuntut kita kepada lebih banyak perhitungan. Bagi orang kita, tahun baru sentiasa dikaitkan dengan azam yang baru. Walaupun mungkin ada yang belum menyempurnakan azam yang lama, namun apabila tibanya tahun baru, maka azam lama itu pun berlalu dan timbullah azam yang baru.

Apa pun, kita merasa bangga kerana yang berazam itu – sama ada azam baru atau lama – semuanya kea rah mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Ertinya, itulah keinginan orang kita, satu keinginan yang baik sebenarnya.

Bagi orang politik pula, kedatangan tahun baru 2012, ia dikaitkan dengan teka-teki tarikh PRU yang dikatakan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dengan ramai yang meramalkan ia mungkin diadakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Walaupun semua orang tahu bahawa kuasa mutlak mengenai tarikh PRU hanya terletak di tangan Perdana Menteri, namun telaah itu tetap berlaku dan diwar-warkan. Apa pun, terpulanglah kepada kita semua.

Namun, sedikit mendukacitakan apabila kedatangan tahun baru diraikan oleh segelintir mahasiswa yang melakukan perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam semalam.

Apa pun alasan mereka, perbuatan itu sebenarnya amat memalukan kerana sebagai manusia yang digolongkan sebagai pelajar telah terpedaya dengan gejala yang merugikan.

Saya yang menonton video mengenai kejadian itu sangat malu melihat gelagat mahasiswa kita yang sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Demikian cara orang kita meraikan Tahun Baru – tahun 2012 yang sarat dan penuh dengan cabaran.

Saya berdoa kepada semua, agar tahun 2012 akan mendatangkan kita kepada lebih kebaikan, dan apa yang kita inginkan dapat kita capai dengan sebaiknya.

Kepada anda semua, selamat menyambut tahun baru 2012.