Assalamualaikum.
Alhamdulillah, YAB Tan Sri Muhyiddin
Yassin telah menyempurnakan lawatannya ke Terengganu beberapa hari lalu. Syukur
juga kerana pada hari ini, saya mempunyai kesempatan untuk memberikan sedikit
komen atau reaksi mengenai hasil lawatan tersebut.
Terima kasih kepada YAB Tan Sri kerana
telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian destinasi lawatan beliau.
Juga penghargaan yang tidak terhingga
saya ucapkan kepada puluhan ribu rakyat yang membanjiri kawasan Sekolah Menengah
Teknik Kuala Terengganu sebagai memberikan sokongan kepada pucuk kepimpinan
negara yang tercinta.
Selain, beberapa pengumuman atau
berita baik daripada YAB Tan Sri mengenai projek Sekolah Sukan dan beberapa
projek untuk rakyat yang lain di kawasan Parlimen Kuala Nerus ini, kehadiran puluhan
ribu rakyat adalah sesuatu yang mengkagumkan.
Saya sangat teruja melihat semangat
rakyat Kuala Nerus – satu gambaran mengenai kebangkitan mereka untuk memastikan
Barisan Nasional (BN), khususnya di Parlimen Kuala Nerus berada dalam genggaman
kita. Ini bukan sesuatu yang retorik kerana ia sebenarnya benar-benar berlaku
di depan mata kita semua.
Saya sangat optimis bahawa jika inilah
semangat yang ditunjukkan rakyat Parlimen Kuala Nerus, bukan sahaja semua
kerusi yang BN miliki akan dikekalkan, malah kerusi DUN Bukit Tunggal yang
dimenangi Pas pun, akan mampu kita tawan semula.
Apa pun, saya melihat satu semangat
dan iltizam yang sangat luar biasa yang mampu saya terjemahkan dengan perasaan
yang sangat gembira.
Mudah-mudahan kebangkitan dan semangat
yang ditunjukkan rakyat ini akan berterusan. Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan seluruh penduduk dan pengundi di Parlimen Kuala Nerus.