Tuesday, March 6, 2012

Bila Kerajaan Pas Kedah Bergolak


Assalamualaikum.


Bukan mahu mengambil tahu hal orang lain, terutamanya pembangkang tetapi apa yang berlaku ke atas kerajaan Kedah yang kini dikuasai Pas sangat menarik perhatian.

Saya percaya, bukan sahaja kita orang politik tetapi rakyat juga sedang melihat perkembangan itu dengan dekat. Terbaru, khabarnya Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi menentukan kuasa Menteri Besar Kedah yang disandang Datuk Seri Azizan Abdul Razak – satu tindakan yang dilihat pelik dan tidak pernah berlaku di dalam sejarah politik di negeri itu.

Semuanya gara-gara kuasa. Jika dahulu mereka ini adalah manusia yang paling lantang mengkritik, menuduh dan menghina pemimpin Islam dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), hari ini mereka sendiri berhadapan dengan masalah politik yang dahsyat. Namun, setiap kali mereka ditimpa masalah, maka masalah itu mahu dilemparkan kepada orang lain, terutama UMNO.

Pas adalah parti yang hanya memerintah Kelantan, manakala di negeri-negeri lain, mereka tidak menikmati kuasa sebelum ini. Maka sedaplah mereka membuat pelbagai janji, tuduhan dan fitnah – sebab mereka tidak berkuasa dan apa yang mereka cakap hanyalah bermodalkan air liur.

Hari ini, apabila mereka mempunyai kuasa, mereka sudah mula tamak dan apa yang berlaku hanyalah disebabkan soal kuasa. Tidak lebih dari itu.

Persoalannya, apakah parti yang seperti ini bercita-cita mahu menawan Putrajaya (kononnya) sedangkan perangai dan sikap pemimpinnya sangat buruk. Ini fakta dan anda semua sudah tentu lebih maklum mengenainya.

Saya berharap, rakyat akan melihat dan menilai apa yang berlaku ini sebagai teladan politik buat mereka. Pada PRU ke-13 nanti, rakyat perlu menolak pembangkang yang telah terbukti gagal dalam pentadbirannya – bukan sahaja di Kedah tetapi di negeri-negeri lain yang mereka kuasai termasuk Kelantan.

Saya telah melihat angin kesedaran rakyat terhadap penipuan pembangkang semakin menebal dan saya fikir rakyat akan melakukan satu perubahan besar dalam PRU ke-13 nanti untuk memberikan mesej kepada pembangkang bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai tempat di hati rakyat.

Sungguh!.