Sunday, January 6, 2013

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Rasanya belum terlambat untuk saya merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2013 kepada anda semua, terumanya mereka yang selalu menjengah laman blog saya ini.

Apakah azam tahun baru anda. Adakah azam lama anda sudah tertunai atau adakah ia sebaliknya. Apa pun, saya berharap kita semua tetap mempunyai niat yang baik untuk diri kita dan kerana itu, kita berlumba-lumba menanam azam.

Jujurnya, saya gembira dengan semangat orang kita. Setiap kali datangnya tahun baharu, kita akan terus menanam azam da tekad. Semuanya mahu berjaya, mahu melakar lebih banyak kelebihan dalam hidup. Itu sudah bagus.

Kedatangan tahun baharu juga mencerminkan kepada kita mengenai usia kita yang semakin meningkat. Dan, sudah tentu hal tersebut telah diambil dalam menentukan azam seseorang, termasuk kita semua.

Pastinya, di saat kita menjengah tahun baharu, kita bermuhasabah diri, mengimbau kembali apa yang telah kita tinggalkan setahun yang lalu. Apakah kita telah mencapai apa yang kita kehendaki atau apakah setahun yang lalu sama sahaja dengan tahun-tahun yang lain pada sebelumnya.

Dengan kaedah itu, kita akan dapat membentuk jati diri ke arah yang lebih cemerlang. Kegembiraan yang kita temui, kita raikan dengan penuh rasa syukur, dan kekecewaan yang kita temui akan kita jadikan sebagai satu pengajaran hidup yang sangat berguna.

Kita harus menjadi insan yang bersyukur, tatkala kita memasuki tahun baharu 2013 ini kerana kita telah dilahirkan sebagai rakyat Malaysia – sebuah negara yang kekal makmur, aman dan membangun dengan pesatnya. Percayalah, bukan semua negara mampu memiliki sebagaimana apa yang kita ada.

Oleh itu, marilah kita bersyukur dan meraikan kedatangan 2013 dengan semangat yang kuat untuk menjadi rakyat yang cintakan negara demi masa depan kita dan generasi kita.

Selamat menyambut tahun baharu 2013.