Tuesday, June 16, 2009

POLITIK: SATU PENILAIAN

Salam bloger …

Sama ada kita suka atau tidak, antara sebab kemunduran rakyat dan sesebuah negeri atau negara, ia banyak bergantung kepada kegagalan rakyat memilih kerajaan atau pemimpinnya. Tentu sekali kita bercakap mengenai negara kita. Landskap politik orang kita, secara jujurnya saya melihat sudah agak tersasar. Hakikat itu dapat dilihat melalui rumusan politik yang dibuat segelintir rakyat yang bertindak seolah-olah tidak lagi mementingkan masa depan mereka.

Mereka menolak pembangunan kononnya pembangunan adalah duniawi semata-mata. Katanya, mereka mahu membina jambatan ke syurga. Orang kita berpolitik secara sentimen dan meletakkan “perasaan geram” mengatasi kebijaksanaan berfikir dan bertindak. Akhirnya mereka memilih wakil rakyat atau pemimpin yang tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Maka tidak hairanlah apabila ada wakil rakyat yang makan gaji buta sedangkan rakyat diabaikan begitu sahaja. Ada pemimpin yang sebelum ini kerjanya menyertai demontrasi jalanan tetapi dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya. Pemimpin seperti itu boleh buat apa?. Lebih jauh lagi apabila adanya wakil rakyat tidak pernah berhenti mencari publisiti murahan melalui tindakan yang semakin memualkan rakyat.

Semalam misalnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin telah diarahkan keluar dewan di Parlimen selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila beliau dikatakan melaungkan sesuatu dan memakai lilitan di kepalanya. Dalam reaksinya, beliau berkata, perkara itu dilakukan bagi menarik perhatian agar DUN Perak dibubarkan.

Saya sedih, selepas sikap tidak menghormati Dun Perak dilakukan beliau dan rakan-rakannya dalam Pakatan Pembangkang, budaya yang seakan-akan sama mahu di bawa ke Parlimen. Bagi saya, rakyat mesti membuat penilaian yang bijak mengenai peristiwa yang berlaku itu.

Sebenarnya ada yang tidak sedar, mereka yang mengkritik demokrasi kononnya sebagai tidak lagi wujud atau subur di negara bertuah ini, mereka berada di tempatnya sekarang juga kerana dan sebabnya demokrasi. Sebagaimana demokrasi menghantar saya ke Parlimen, maka begitulah mereka. Saya fikir, rakyat perlu berubah mengenai cara mereka berpolitik. Mereka tidak harus membina benteng yang boleh melupai mereka bahawa sejak merdeka dahulu sehingga kini, yang membangun dan memajukan negara ini BUKANNYA parti Pas, PKR atau DAP.

Yang membela rakyat sehingga kita semua memperolehi nikmat sehingga hari ini juga BUKANNYA parti yang saya sebutkan tadi. Mengapa kita mudah lupa hanya semata-mata kerana perasaan dendam yang disuburkan parti yang kita tahu rekod dan sejarahnya tidak menyumbang kepada masa depan negara.

Hakikatnya, kita berada dalam keadaan selesa di hari ini, ia adalah jasa dan sumbangan besar parti Perikatan yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). BN adalah parti yang sudah terbukti rekodnya yang cemerlang kerana segala bukti itu berada di hadapan mata kita. Ia tidak boleh dinafikan lagi. Politik tidak boleh dijadikan bahan eksperimen. Kesilapan kita berpolitik akan hanya mendedahkan kita kepada sekian banyak padahnya.

Kepada rakyat, lihatlah apa yang ada di hadapan anda dan berfikirlah dengan bijak dan matang demi masa depan kita semua. Ingat, hanya BN yang telah pun terbukti berjaya membawa perubahan dan menjamin masa depan kita. Itu muktamad kerana parti-parti lain yang baharu sahaja menerima kuasa, selain mereka ketiadaan rekod yang cemerlang, mereka kini sudah mula dilihat bermasalah yang menggugat kemampuan mereka. Dan, keadaan itu jika rakyat biarkan, ia akan mengundang kepada masalah yang berpanjangan buat mereka. Fikirkanlah.


1 comment:

Syed Anuar Syed Mohamad said...

pandangan yang bernas. tahniah