Tuesday, June 9, 2009

STADIUM DAN WAJAH BARU BLOG SAYA

Assalamualaikum dan salam bloger,

Syukur alhamdulillah, selepas agak lama saya tidak menjengah blog ini, hari ini saya kembali menemui anda semua. Terima kasih kepada anda yang masih setia dan sudi menjengah, membaca dan berkongsi pandangan melalui laman ini. Syukur ke hadrat Allah s.w.t, selepas pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci beberapa hari lalu, saya masih diberikan kekuatan untuk menulis dan mencatatkan sesuatu yang mengajak anda semua berfikir dan berkongsi kisah serta pengetahuan bersama saya.

Seperti yang sedang anda saksikan, laman blog saya ini sedang dibangunkan semula dengan wajah dan pengisian yang lebih berbeza. Ia adalah berkat pandangan serta perhatian daripada anda semua agar laman blog ini akan terus bertakhta di hati anda semua. Saya sentiasa bersedia menerima setiap pandangan anda mengenai tulisan, wajah baru dan pengisian laman blog ini. Pandangan anda akan menjadi inspirasi saya untuk terus menulis di sini. Mulai sekarang, saya akan terus memberikan perhatian terhadap laman blog ini. Anda ikutilah sepanjang masa kerana janji saya, saya akan sentiasa mengisinya dengan sesuatu yang baru untuk anda.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, ke mana saya ketika berlakunya insiden runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang kebetulan berada di kawasan Parlimen saya – yang selama ini menjadi simbol kebanggaan rakyat Terengganu. Saya di Mekah ketika kejadian itu. Namun, sebagai pemimpin dan wakil rakyat, saya sentiasa dimaklumkan mengenai setiap peristiwa yang berlaku di kawasan saya. Alhamdulillah, segala-galanya sentiasa berada di dalam pengetahuan saya di sana.

Bagi saya, menunding jari bukanlah satu jalan terbaik dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku. Sebaliknya, jika kita bijak untuk mengutip pengajaran di sebalik apa yang telah terjadi, ia sudah tentu akan mengajar kita kepada banyak perkara. Tiada sesiapa pun yang mahukan mala petaka seperti itu berlaku, apatah lagi berulang kembali. Maka, pelajarilah sesuatu daripadanya agar apa yang telah terjadi tidak terus terjadi.

Saya berharap, kita semua tidak menjadi seperti bangau oh bangau tetapi semua pihak perlu mencari punca mengapa tragedi itu terjadi. Dalam banyak keadaan, setiap kali berlaku peristiwa sedemikian, maka kerajaanlah yang akan dipersalahkan. Pelbagai andaian dibuat sehingga kadangkala ia mencetuskan kekeliruan. Pembangkang misalnya, adalah pihak paling galak mencetuskan sesuatu yang saya maksudkan itu. Hakikatnya, kelemahan ada di mana-mana. Ia tidak mungkin terlepas daripada genggaman manusia. Kelemahan tidak bermaksud penyelewengan dan setiap andaian akan hanya mengeruhkan keadaan.

Tragedi bumbung stadium runtuh itu perlu menyedarkan banyak pihak agar berhati-hati dengan setiap perancangan pembinaan projek-projek besar seperti itu. Saya percaya, rakyat sedang melihat kita dan menilainya. Cuma kebimbangan saya, rakyat akan menilainya mengikut persepsi yang bersifat andaian semata-mata, tanpa mahu percaya kepada fakta yang sebenar. Apa pun, yang berlaku telah pun berlaku. Maka, pelajarilah sesuatu di sebalik kejadian tersebut.

2 comments:

Syed Anuar Syed Mohamad said...

wah!... satu pembaharuan menarik. ada perubahan nampaknya laman blog datuk. saya pasti akan lebih ramai pengunjungnya nanti.

wamora said...

Tahniah..akhirnya header blog diubah menjadi lebih cantik. Menarik gambar menunjuk mesra rakyat. Cuma tajuk stadium dan wajah baru blog perlu diasingkan. Satu lagi gambar ucap hari merdeka xmenarik.

Banyakkan gambar YB turun padang..

Kuat syed jek..