Thursday, June 18, 2009

TAFSIRAN DEMOKRASI

Salam bloger …

Kita adalah sebuah negara demokrasi. Ya, kita semua tahu mengenainya. Bagaimanapun sejak beberapa ketika yang lalu, hinggalah sekarang, terdapat persepsi silap mengenai demokrasi di mata rakyat. Ia disilapkan oleh pemimpin politik yang sedar akan hakikat tersebut tetapi sengaja memesongkan pemikiran rakyat terhadap demokrasi.

Demokrasi telah ditafsirkan sebagai kebebasan yang mutlak. Setiap tindakan, kata-kata dan perancangan yang jika disekat (walaupun yang bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan), maka kedengaran tuduhan dan dakwaan nakal kononnya kerajaan yang memerintah (dalam konteks negara ini sudah tentu Barisan Nasional) telah menyekat kebebasan. Lalu, mereka menjaja kononnya demokrasi telah mati di negara ini. Adakah anda percaya?.

Saya berpendapat, demokrasi bukan satu kebebasan yang mutlak. Malah, dalam kehidupan manusia pun, tiada kebebasan yang mutlak. Demokrasi yang sihat ialah demokrasi yang diurus melalui undang-undang. Undang-undanglah yang menjadi tunjang dan benteng yang akan menyuburkan demokrasi. Demokrasi tidak bermaksud membenarkan demonstrasi jalanan. Ia juga tidak membenarkan budaya menfitnah, melontar batu sembunyi tangan. Demikian salah faham mengenai demokrasi.

Saya sedih apabila ada cubaan pembangkang yang mahu menghidupkan kembali budaya demontrasi jalanan. Kononnya di atas sifat demokrasi, maka mereka mahu menganjurkan demontrasi. Demonstrasi adalah satu masalah dan sudah tentu ia tidak lagi menjadi antara jalan penyelesaian kepada setiap masalah. Yang merana nantinya ialah rakyat, kita semua. Janganlah kita sentiasa mengikut perasaan demi impian yang songsang. Rakyat mesti diutamakan dan negara mestilah dipelihara daripada setiap ancaman.

Sebenarnya demokrasi tidak pernah mati di Malaysia. Namun, ia semakin tercemar akibat perbuatan manusia politik yang berkepentingan dan gilakan kuasa. Kita masih diberikan kebebasan yang luas. Jika kita mematuhi undang-undang, tiada siapa pun yang mampu menyekat kebebasan kita. Sebaliknya jika kita memilih untuk menongkah undang-undang kononnya di atas dasar demokrasi, ia adalah sesuatu yang tidak pernah dihalalkan oleh demokrasi itu sendiri.

Kita masih diberikan peluang yang bebas dalam memilih kerajaan serta pemimpin melalui proses pilihan raya. Meski pun ada pihak yang sentiasa menuduh sistem pemilihan itu kononnya tidak adil dan penuh tipu muslihat, namun andaian itu dibuat terhadap kekalahan mereka semata-mata. Jika mereka menang, tiada tuduhan dibuat. Jelas, andaian itu sarat dengan tipu muslihat dan kepentingan. Kita juga masih bebas bersuara. Jika kita meletakkan undang-undang yang teratas, tiada siapa pun yang mampu menyekat suara kita.

Masalahnya, kita selalu memilih sesuatu yang diharamkan. Itu bukan demokrasi namanya. Perkara tersebut selalunya dilakukan oleh mereka yang korup idea dan mengalami penyakit atau masalah mentaliti politik yang ketara.

Kita mempunyai acuan demokrasi kita sendiri. Ia telah terbukti menjadi asas keamanan, kesejahteraan dan kejayaan kita. Saya percaya, anda juga bersetuju dengan saya.

No comments: