Friday, June 12, 2009

DAERAH KUALA NERUS

Wujudnya Daerah Kuala Nerus akan memberi impak yang positif kepada rakyat

Assalamualaikum …

Selepas sekian lama menunggu, penduduk di Kuala Nerus kian mendekati detik bersejarah bagi menjadikannya sebagai sebuah daerah baru di Terengganu. Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara tetapi saya ingin memaklumkan bahawa pengundi saya bakal memperolehi khabar gembira mengenainya.

Sebagaimana yang telah diperjuangkan sejak agak lama, Kuala Nerus sememangnya sudah layak dinaiktaraf sebagai sebuah daerah baru. Dengan itu, Kuala Nerus akan mempunyai Pejabat Daerah sendiri yang mampu menjadi pusat pentadbiran yang akan mengurus hal ehwal pembangunan serta perkara-perkara berkaitan di sini. Apatah lagi Kuala Nerus kini sudah kian pesat membangun, malah adakalanya wajah Kuala Nerus itu sendiri jauh lebih hebat dengan daerah-daerah lain.

Dengan mempunyai pusat pentadbiran sendiri, Kuala Nerus akan dapat diurustadbir dengan berkesan dan ia juga mampu menjana pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri. Selain itu, perkara tersebut juga akan membantu mengurangkan aliran trafik di Kuala Terengganu yang kini kian sesak ekoran tumpuan yang berlebihan diberikan rakyat. Apatah lagi Kuala Terengganu itu sendiri adalah sebuah kawasan pentadbiran yang amat luas yang sekarang ini melibatkan dua kawasan Parlimen.

Sebenarnya, saya dan rakan-rakan yang lain telah memperjuangkan perkara ini dengan seriusnya. Sejak dipilih sebagai ADUN Kawasan Bukit Tunggal lagi, perkara ini telah dibangkitkan beberapa kali dan kami sentiasa lantang dalam memastikan Kuala Nerus diiktiraf sebagai sebuah daerah baru. Malah pada satu ketika, pernah saya cadangkan agar dibina sebuah terowong bawah tanah dan dihidupkan semula perkhidmatan feri Kuala Terengganu ke Seberang Takir. Juga disuarakan pembinaan sistem aliran ringan di bandar Kuala Terengganu itu sendiri. Keadaan ini tidak akan berlaku jika Kuala Nerus dinaiktaraf sebagaimana yang dimaksudkan.

Saya gembira apabila Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja sendiri telah membangkitkan perkara yang sama ketika majlis pembukaan sidang DUN Terengganu baru-baru ini. Ia bukan sahaja memberikan keyakinan yang berlebihan, malah mencerminkan apa yang telah kami suarakan sejak sekian lama telah diberikan perhatian.

Saya optimis, apa yang kita semua impikan ini bakal menjadi kenyataan dalam tempoh yang sudah tidak lagi lama. Terima kasih di atas segala sokongan anda. Kuala Nerus: Membangun Bersama.

2 comments:

add said...

Tahniah Yb nasir ,teruskan usha murni yb.

wamora said...

macam gambar di batu satu..tanjung..jalan sultan zainal abidin je