Syukur Alhamdulillah saya tiba di Pontianak, Indonesia tengahari tadi selepas bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul tujuh pagi tadi dengan membawa satu misi yang saya fikir amat penting buat saya sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat. Saya bersama isteri, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam dan rombongan berada di sini bagi menemui lima nelayan Terengganu dari Seberang Takir (Kawasan saya) yang ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia Khamis lalu.
Walaupun sebenarnya saya perlu menghadiri mesyuarat agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang juga penting berikutan berlakunya proses “peralihan kuasa” selepas badan itu diletakkan di bawah Akta Belia, namun dalam hal ini, saya fikir rakyat mesti didahulukan dan itu jugalah yang dimahukan kepimpinan negara hari ini.
Alhamdulillah, pukul 4.30 petang tadi, kami berpeluang menemui lima nelayan yang dimaksudkan iaitu Wan Budiman Che Wan Ngah, 31 tahun, Musa Mohammad, 33 tahun, Ahmad Puad, 23 tahun, Mohd Arif Rosli, 20 tahun, dan Ahmad Faisal Sulong, 23 tahun di Pusat Tahanan Laut (Bukannya lokap atau penjara). Syukur, saya diberitahu dan melihat bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan telah diberikan layanan yang baik oleh pihak berkuasa Indonesia.
Buat masa ini, mereka kini dalam proses perundangan dan perbin cangan telah diadakan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapat maklumat sebenar dan terkini selain ingin memohon agar proses perundangan yang dimaksudkan dapat dipercepatkan.
Dalam kejadian Khamis lalu, kelima-lima nelayan terbabit telah ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia apabila memasuki perairan negara jiran itu ketika menangkap ikan. Saya difahamkan, kesemua mereka pada mulanya cuba melarikan diri walaupun selepas diarahkan berhenti sehingga ia memaksa pihak berkuasa Indonesia melepaskan tembahan dan terkena salah seorang nelayan tersebut.
Saya telah memberikan kata-kata semangat kepada nelayan terbabit agar mereka lebih bersabar menghadapi dugaan dan cabaran ini. Mereka juga gembira apabila mengetahui dan melihat kedatangan kami ke sini dan sudah tentu saya lihat di wajah mereka, adanya “kekuatan baru” buat mereka.
Kami bakal berlepas pulang ke ibu negara Ahad ini tetapi sebelum kami pulang, kami perlu menemui mereka lagi petang esok (Sabtu – 21/11/2009).
Saya berdoa, semoga usaha untuk membebaskan mereka tidak berhadapan dengan apa-apa masalah.