Thursday, March 18, 2010

KEJUTAN DI PARLIMEN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,


Politik segala-galanya adalah mungkin. Walaupun seseorang itu nampak lantang dan bijak berkata-kata, itu bukanlah tiket untuk menggambarkan dia sebagai seorang yang berani. Apa yang berlaku pada sidang Parlimen siang tadi telah membuktikan hakikat yang sebenarnya.

Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim telah meninggalkan sidang Parlimen ketika bekas kawan rapatnya dan bekas wakil rakyat PKR, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim membongkar rahsia “tragedi 16 September”. Sememangnya, pendedahan itu amat mengejutkan kerana ia telah mengatasi apa yang selama ini digambarkan oleh khalayak umum. Saya percaya bahawa rakyat yang mendengar pendedahan Datuk Seri Zahrain itu juga terkejut dan tidak menyangka bahawa ia sampai ke tahap yang beliau dedahkan.

Saya masih ingat, ketika kami Ahli Parlimen BN mengadakan lawatan sambil belajar ke Taiwan, beberapa wakil rakyat PKR juga telah ke sana kononnya bagi merealisasikan agenda “16 September” mereka. Menyertai rombongan Ahli Parlimen BN ke Taiwan itu ialah saya sendiri.

Pada waktu itu, apa yang rakyat gambarkan ialah sekadar kisah “memburu’ wakil rakyat BN tetapi semalam telah mendedahkan sesuatu yang tidak pernah tergambar oleh kita semua. Pendedahan itu tidak boleh dipandang mudah, tidak boleh dibiarkan kerana adanya pihak yang mengaitkan nama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Semalam, DS Anwar meninggalkan sesi perbahasan ketika pendedahan tersebut dibuat. Memang berlaku sedikit kekecohan pada sidang itu tetapi mengapa DS Anwar “melarikan diri” tidaklah diketahui. Apa pun, kami semua sedia maklum akan sebabnya.


Saya tertanya-tanya, banyak lagikah pendedahan yang akan dibuat selepas ini. Ia sudah tentu akan menjadikan sesi parlimen akan lebih menarik dan “ceria” selepas ini walaupun kadangkala amat panas sekali.


Apa pun, dalam kita melaksanakan amanah tersebut, usahlah Ahli Yang Berhormat lupa mengenai pesanan, teguran dan gesaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong agar mereka menjaga tingkah laku dan tutur kata ketika berada di sepanjang sidang Parlimen itu berlangsung.


Natijah daripada apa yang telah berlaku semalam, yang berani bercakap dan bertindak belum tentu dia berani berhadapan dengan kebenaran. Demikianlah ketika kebenaran itu terbongkar dan dibongkarkan. Ia tidak mampu dinafikan lagi akan hakikat itu.


Sama-samalah kita fikirkannya.



1 comment:

dannalli said...

Tak kesahlah apa yang diketengahkan oleh Ahli Parlimen bebas yang baru itu. Yang saya heran betapa senangnya beliau diberi ruang dan masa untuk bercerita di masa Parlimen yang singkat serta berharga itu. Memang hebat. Pada hari pertama pembahasan ruang yang begitu luas diberi kepada beliau.