Saturday, March 20, 2010

BERSYUKURLAH


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Telah banyak peristiwa berlaku di sekeliling kita. Ia sewajarnya mengajar kita erti kehidupan yang sebenarnya.


Dalam konteks negara kita, kita sebenarnya jauh lebih bertuah berbanding orang lain. Di saat, rakyat di negara lain sedang dilingkari dengan pelbagai masalah termasuk politik dan bencana, kita di sini masih lagi setenang ini – biar pun iklim politik kita kadangakala menggelegak panasnya.


Apa yang saya maksudnya ialah, kita dapat menjalani kehidupan dengan penuh rasa selesa. Namun, pernahkah anda terfikir bahawa semua ini tidak akan berlaku hanya semata-mata ia hendak berlaku. Siapakah yang memaju dan membangunkan negara ini sejak dahulu sehingga kini sehingga Malaysia berada sebagaimana hari ini.


Walaupun sedikit kecewa apabila adanya manusia yang berkata-kata seolah-olah negara ini pada hari ini terbina begitu sahaja tanpa ada tangan yang membentuknya, namun saya percaya bahawa majoriti rakyat kita tidak pernah lupa akan hakikat tersebut. Ertinya, dalam kita semua melewati kehidupan yang sentiasa mencabar dan tercabar ini, kita seharusnya belajar untuk lebih bersyukur di atas segala nikmat yang kita kecapi.


Saya cuma bimbang bahawa dengan pelbagai percubaan atas nama kepentingan politik dilakarkan, ia akan menyebabkan apa yang kita miliki ini terdedah kepada ancaman. Ia tidak mustahil. Justeru, jika kita mempunyai perasaan sedar dan bersyukur di atas nikmat yang ada, maka kasih sayang itu dengan sendirinya akan menebal di sanubari kita.


Saya tidak pasti dengan anda, namun bagi saya, saya amat bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia. Dan, kejayaan Malaysia itu pula terbentuk hasil usaha gigih pemimpin terdahulu sehingga sekarang, yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti mereka kepada tanahair tercinta dan bertuah ini. Saya, kebetulan diberikan laluan dan kesempatan oleh Allah untuk menjadi sebahagian kecil pemimpin parti pemerintah amat kagum dengan kejayaan itu.


Bukan sahaja untuk saya atau anak-anak saya, anda juga menikmati hasil daripada apa yang saya sebutkan tadi. Oleh kerana itulah, apabila adanya pihak-pihak yang sengaja bertindak untuk menjejaskan apa yang sedang kita miliki ini, maka ia sebenarnya amat tidak patut sama sekali.



Saya ingin mengajak anda agar membentengkan diri dengan anasir-anasir yang merugikan yang kini kian kuat menjalar. Saya bimbang dengan kononnya dengan senjata “suara rakyat” yang minoriti itu menjadi alasan untuk mereka meruntuhkan apa yang telah kita miliki sekian lama.



Tidak kurang pula yang menggunakan senjata agama bagi tujuan yang sama. Ia sangat menyedihkan.

Mungkin ada baiknya kita renungkan hal ini seketika, sekurang-kurangnya untuk hari ini.


No comments: