Wednesday, January 20, 2010

BILA LUDAH JATUH KE MUKA SENDIRI

Salam bloger,

Mungkin kerana kesibukan, saya kurang berkesempatan untuk menulis blog saya. Apa pun, saya berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mengikuti tulisan saya di ruangan ini. Terima kasih di atas komen dan pandangan yang diberikan.

Hari ini, saya ingin melontar satu hal yang bagi saya agak menarik untuk kita tahu dan ingat.

Sejak dulu, Pas telah melabelkan UMNO dengan pelbagai gambaran buruk. Rasuah, cah keting dan kroni adalah tuduhan yang sudah biasa dilemparkan Pas kepada UMNO. Dan, UMNO sebagai sebuah parti yang yakin akan hakikat dan kebenaran perjuangannya, tidak pernah memperdulikan apa yang disifatkan sebagai fitnah itu.

Masa berlalu, detik demi detik dan landskap politik negara juga sudah jauh berubah. Hari ini kita melihat, apa yang dilontarkan Pas terhadap UMNO kini telah terpalit kepada mereka sendiri. Isu-isu yang selama ini amat galak mereka lontarkan kepada UMNO yang dianggap sebagai musuh politik mereka, telah sedikit demi sedikit terkena pada batang hidung mereka sendiri.

Adakah rakyat masih tidak mampu melihatnya?. Mengapa dan sampai bila politik kita mesti begitu?. Pas sudah dihinggapi penyakit yang selama ini mereka tidak jangkakan. Mungkin sebab bersekongkol dengan puak-puak politik pembangkang yang lain, maka Pas mula dijangkiti penyakit tersebut.

Hal ini, tidak pernah kita fikirkan berlaku di dalam Pas tetapi sekarang ia benar-benar berlaku. Ia diakui oleh pemimpin mereka sendiri, bukannya orang lain.

Jadi, masanya untuk rakyat berfikir dan menilai dengan seadil-adilnya. Bukan jika perlu lagi, malah anda semua mesti tolak pembangkang dalam PRU ke-13 nanti.

Friday, January 1, 2010

BELAJARLAH SESUATU DI SEBALIK 2009 YANG KITA TINGGALKAN

Assalamualaikum.

Ketika saya mencatatkan ini, kalian di tanahair mungkin sudah pun meraikan ketibaan tahun 2010. Dan, itulah yang hendak saya sampaikan melalui tulisan saya kali ini. Walaupun sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakyat saya pada detik ketibaan tahun baharu ini, namun segala-galanya tetap dekat di hati saya.

Ketibaan detik 2010 ini adalah sesuatu yang mengingatkan saya kepada mereka semua. Dari jauh, saya mendoakan agar tahun baharu ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada kita semua. Itulah harapan saya.

Terbayang di fikiran saya betapa meriahnya sambutan tahun baharu ini di kampung halaman sana. Semuanya gembira meraikan satu setik yang penuh makna ini.

Yalah, seperti biasa, setiap kali datangnya tahun baharu, maka menjadi budaya orang kita untuk memulakan azam yang baharu. Azam lama bagaimana pula?. Bagi mereka yang berjaya mencapai apa yang dimahukan melalui azam yang dilafazkan setahun yang lalu, tahniah saya ucapan. Bagi mereka yang gagal pula, anda perlu lebih serius dan bersungguh dalam mencapai apa yang anda mahukan.

Kejayaan tidak mungkin dalam bergolek. Azam dan tekad pun begitu. Bagi saya, ramai di kalangan kita yang mempersendakan azam di tahun baharu sedang ia adalah sesuatu yang baik – gagasan hidup yang mengajar kita agar menjadi manusia gigih, kuat berusaha, tahan dengan ujian dan mencapai kejayaan. Yalah, azam baharu ditanam setiap kali masuknya tahun baharu. Hanya sekadar itu dan ia akan hilang hanya dalam tempoh beberapa hari.

Dalam bab yang lain, saya sebagai seorang ahli politik dan wakil rakyat sedikit bimbang dengan apa yang telah kita tinggalkan setahun yang lalu. Terlalu banyak peristiwa yang mendedahkan kita kepada pelbagai kemungkinan telah berlaku dalam tempoh yang telah kita tinggalkan itu. Kealpaan kitalah sebenarnya yang menjadi punca itu semua. Apa yang lebih baik sebenarnya, selain tidak mengulangi sebarang kesilapan pada waktu yang telah ditinggalkan, kita juga wajar mempelajari sesuatu daripada sejarah itu.

Jika saya boleh sebutkan, setahun yang lalu kita telah meninggalkan bibit perpecahan di kalangan rakyat dan umat Islam dalam keadaan yang tidak pernah “sendik’. Ia ternyata telah menggugat banyak kepentingan di negara ini. Hanya kerana perbezaan fahaman politik, umat Islam dan rakyat kita berpecah dan mereka semua telah menikmati natijah daripada sifat buruk sedemikian. Apa berbaloi atau memadai peristiwa itu berlalu begitu sahaja?.

Bagi saya, wajar ada di setiap sanubari kita bahawa tahun 2010 ini, biarlah kita semua kembali bertaut. Bertaut dalam erti kata membina kekuatan ummah dan rakyat serta berganding bahu bersama kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membawa Malaysia ke tahap yang menguntungkan kita dalam tempoh yang sepanjang mungkin.

2009 telah kita tinggalkan dengan seribu kenangan sama ada manis atau pahit. Ia juga mendedahkan kita kepada seribu satu macam kemungkinan. Apa yang pahit sepanjang setahun yang lalu pasti mampu berulang jika kita tidak menginsafinya. Oleh itu, 2010 akan menjadi lebih bermakna jika kita bijak menoleh ke belakang dan menjadikan segala-galanya itu sebagai guru yang bakal membentuk dan mencorakkan 2010 dengan wajah yang jauh lebih hebat dan berjaya berbanding 2009 yang telah kita sama-sama tinggalkan.

Buat semua, selamat meraikan ketibaan tahun baharu 2010.

Tuesday, December 29, 2009

PAS KATA BLOGER JANGAN FITNAH DIA?

Salam Satu Malaysia,

Walaupun saya sedang bercuti dan berada di luar Negara kerana menziarahi anak saya yang melanjutkan pelajaran di Dublin, Alhamdulillah saya tidak pernah abaikan untuk mengetahui setiap peristiwa yang berlaku di dalam Negara, khususnya di kawasan saya, Kuala Nerus. Mujurlah ada internet yang memboleh saya melayari segala peristiwa tersebut.

Saya tertarik dengan kenyataan beberapa pemimpin tertinggi Pas mengenai penulis blog. Mereka katanya telah menasihati penulis blog yang menfitnah mereka agar berubah dan lebih bertanggungjawab dalam penulisan mereka. Sata ketawa seorang diri membawa komen sedemikian. Sungguh sinis apa yang ada di fikiran saya sebenarnya.

Yalah, mereka ini seperti baharu bangun atau tersedar dari tidur. Pemimpin Pas baharu merasai bahana yang didakwa sebagai fitnah melalui blog sedang mereka tidak sedar betapa selama ini blog-blog pro Pas telah menyerang UMNO dengan pelbagai fitnah dan dakyah. UMNO bersabar dengan perkembangan itu kerana menyedari setiap kerja-kerja bathil ini tidak akan ke mana pun.

Sebaliknya Pas pula seperti gundah-gulana. Takut pada baying-bayang sendiri dan baharu sedar kononnya mereka difitnah. Bagi saya, pemimpin Pas dan blogger Pas itu sendiri perlu terlebih dahulu berubah sebelum mereka mahu orang lain berubah. Mereka telah melakukan kerja-kerja terkutuk itu sejak sekian lama, menfitnah pemimpin kerajaan tetapi apabila tindakan mahu diambil, ada yang tiba-tiba ghaib entah ke mana.

Rakyat melihat bagaimana jahatnya blog pro Pas menyerang dan menfitnah tetapi hari ini mereka mahu orang lain menghentikan serangan kepada mereka. Budaya menfitnah ini bukan budaya UMNO dan kerana itu kita lihat UMNO sentiasa diserang dengan isu-isu yang sengaja dicipta semata-mata. Berbeza dengan Pas yang sentiasa menfitnah orang tanpa mereka tahu hal yang sebenar.

Bagi saya, rakyat yang membaca kenyataan pemimpin Pas itu pun akan sinis seperti saya. Rakyat kita sedar apa yang juak-juak Pas lakukan selama ini – mereka menjadi penfitnah nombor satu demi untuk memastikan mereka memperolehi kuasa semata-mata. Itulah Pas.

Saya berharap, rakyat menilai semua ini dengan adil dan saksama selain merumuskan sesuatu mengikut akal yang diberikan Allah swt. Kita tidak boleh emosi dalam menilai, apatah lagi dalam menentukan tindakan. Itulah harapan saya.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Sunday, December 27, 2009

PERGINYA SEORANG TOKOH

Saya (kanan) bertanya khabar mengenai kesihatan Allahyarham ketika berkunjung ke rumah beliau di Kampung Bukit Tunggal tidak lama dulu.

Assalamualaikum.

Berita pemergian penulis terkenal dan tokoh pemimpin pelajar Terengganu, Ariffin Ngah ke rahmatullah beberapa hari lalu amat menyentuh perasaan saya. Walaupun saya amat terkilan kerana tidak berkesempatan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham kerana berada di luar negara kini, namun sepanjang beliau sakit, saya sempat beberapa kali menziarahi beliau.

Allahyarham adalah seorang sahabat yang yang sangat akrab dan baik hati. Beliau juga amat terkenal dengan sikap tabah dalam menghadapi dugaan serta cabaran. Justeru bagi saya, pemergiaan beliau adalah sesuatu yang amat dirasakan.

Selain sempat menziahari beliau di hospital, saya juga sempat bertemunya di rumah sebelum itu. Kekuatan Allahyarham ialah beliau tidak pernah menampakkan penderitaan. Maksudnya, Allahyarham adalah seorang yang mempunyai kekuatan dalam menghadapi setiap cabaran dan dugaan.

Saya sebagai seorang sahabat dan wakil rakyat, secara peribadi sangat kagum dan bangga dengan keupayaan Allahyarham berhadapan dengan cabaran hidup yang bukan semua orang mampu melalui.

Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga roh Allahyarham akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, Insya'Allah.

Al-Fatihah.

BERSYUKUR DI ATAS PEMBEBASAN NELAYAN SEBERANG TAKIR

SELEPAS BERBINCANG ... Dari kiri depan: Anggota polis Malaysia di Pontianak, DSP Mahbob, Konsulat Malaysia di Pontianak, Encik Zairi, Pengarah Pusat Kelautan Indonesia, Bapak Bambang, saya, Pegawai Imigresen Malaysia di Pontianak, Cik Nazirah dan Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Puan Aida selepas perbincangan mengenai pembebasan lima nelayan Seberang Takir yang ditahan di Pusat Tahanan Laut Indonesia di Pontianak baru-baru ini.

Salam blogger …

Syukur Alhamdulillah, empat nelayan dari Seberang Takir yang ditahan di perairan Indonesia bulan lalu akhirnya telah dibebaskan dan kini telah pun selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Sebagai seorang wakil rakyat mereka, saya amat terharu dan gembira dengan pembebasan mereka.

Berita mengenai pembebasan Musa Mohammad, 33 tahun, Ahmad Puad, 23 tahun, Mohd Arif Rosli, 20 tahun, dan Ahmad Faisal Sulong, 23 tahun telah dimaklumkan oleh Konsulat Malaysia di Pontianak, Encik Zairi kepada saya melalui telefon kelmarin. Walaupun tekong bot berkenaan, Wan Budiman Che Wan Ngah, 31 tahun masih belum dibebaskan kerana perlu melalui beberapa proses perundangan negara jiran itu, namun saya tetap mendoakan agar beliau segera dibebaskan. Usaha ke arah pembebasan beliau akan diteruskan lagi.

Walaupun saya kini berada di luar negara kerana urusan keluarga, pembebasan mereka memberikan maknanya yang tersendiri buat saya. Pada 20 November lalu, saya dan isteri serta Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Puan Aida telah berlepas ke Pusat Tahanan Laut Indonesia di Pontianak bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian penahanan nelayan terbabit selain melihat apakah bentuk bantuan yang boleh saya berikan.

Dalam pertemuan dengan nelayan terbabit, mereka telah diberikan layanan yang baik sepanjang di sana dan tidak ditempatkan di penjara. Sebaliknya mereka ditahan di Pusat Tahanan Laut sahaja yang tempatnya agak selesa.

Syukur Alhamdulillah pada waktu itu, saya mendapat penjelasan yang baik dan usaha-usaha untuk membebaskan mereka ini telah pun berjalan hasil perbincangan saya dengan pihak berkenaan di sana. Selain menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka, saya juga sempat memberikan kata-kata semangat kepada mereka agar tabah menghadapi dugaan ini.

Mereka ini sepatunya dibebaskan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha lagi, namun disebabkan perkara tertentu, maka ia telah tertangguh sehingga kini.

Saya berdoa agar mereka ini sentiasa sihat sejahtera dan mengambil sebanyak mungkin pengajaran di sebalik peristiwa yang telah dilalui. Sudah tentu harapan saya, semua pihak perlu lebih berhati-hati selepas ini agar peristiwa sama tidak lagi berulang.

Saturday, December 19, 2009

MEMPERKASAKAN MA'AL HIJRAH

Assalamualaikum.

Dalam diam, kita telah pun memasuki tahun baharu Islam 1431 Hijrah. Walaupun 1 Muharram adalah cuti umum diberikan kerajaan kepada kita, namun apakah nilainya pada diri kita?. Yang jelas, tahun baharu Hijrah terlintas sekali pandang, dan kadangkala bagaikan tidak ada nilai pun. Ia dihabiskan dengan bercuti. Itu saja ke!.

Memang terlalu pantas berlalu, ketika sidang Parlimen sudah tamat bagi tahun ini, tahun 1431 adalah sesuatu yang penting dan bermakna. Ada banyak perkara yang mahu saya ajak anda fikirkan mengenainya. Pertama, apakah pengertian tahun baharu hijrah itu bagi kita dan bagaimanakah pula kita mahu mengisinya?.

Tidak ramai yang menjadikan tahun baru hijrah sebagai detik permulaan bagi menanamkan azam dan tekad, apatah lagi mahu memulakan azam yang baharu. Jika ada pun, jumlahnya tidaklah berapa kerat sangat. Boleh dibilang dengan jari. Berbanding dengan tahun baru masihi, ia diraikan dengan hebat sekali, dengan meriahnya. Itulah tabiat dan cara orang kita barangkali.

Yang unik di Negara kita alah, walaupun sebahagian rakyatnya tidaklah terlalu ghairah meraikan atau menyambut ketibaan tahun baharu hijrah ini, namun masih ada pihak yang ke hadapan. Parti politik, itu yang saya maksudnya. Pas misalnya selalu menganjurkan ceramah Maal Hijrah di kampung-kampung kononnya sebagai meraikan sambutannya.

Malang sekali ceramah mereka hanyalah diisi dengan fitnah, dakyah dan tuduhan. Maka sia-sialah sambutan yang dibuat. Itu cara mereka sejak dulu lagi dalam meraikan sambutan Maal Hijrah. Berbeza dengan cara kerajaan BN. Kerajaan BN memberkan penghargaan kepada tokoh-tokoht terbilang dari dalam dan luar Negara. Tahun ini, Prof Dr Yusof Al Qardawi, seorang ulama terkenal telah diberikan penghargaan sempena tahun baharu hijrah.

Dalam keadaan yang lain, kita bagaimana?. Apakah kita terfikir mengenai ketibaan tahu baharu hijrah ini?. Kita sedarkah akan kehadirannya?. Bagi kita, kita tidak terlalu sensetif dengan keadaan itu. Jelas sekali. Itu kita, bagaimana dengan generasi kita, masa depan kita.

Seharusnya kita berubah dan memperkasakan ketibaan tahun baharu hijrah yang sebenarnya mempunyai nilainya yang tersendiri dalam kehidupan kita berbanding tahun masihi. Kita harus kembali kepada menjasi insan yang sentiasa sedar dan tahu akan kehadiran tahun baharu tersebut.

Jika kita faham mengena pengertian tahun baharu hijrah, ia sebenarnya sudah memadai untuk mengajar kita menjad insan cemerlang sepanjang zaman.