Thursday, November 5, 2009

MASANYA KITA BERSATU

Salam bloger,

Wujudnya beberapa isu sejak kebelakangan ini, seperti penahanan pemimpin politik dengan rasuah dan terbaharu pula, tangkapan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin yang didakwa mengadakan ceramah tanpa kuliah, ia telah menenggelamkan beberapa isu yang dianggap penting sebelum itu. Pergolakan di dalam Pas misalnya sehingga kini masih belum sendik (Dialek Terengganu yang membawa maksud belum reda) misalnya, ia bagaikan sudah tercicir daripada pemikiran kita.

Saya bukan mahu melontarkan sesuatu yang sudah basi tetapi saya sangat tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengenai Perpaduan Melayu. Ketika Pas bergelumang dengan prinsip menutup pintu rundingan dengan UMNO mengenai perpaduan, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mempelawa mereka bersatu. Ada yang melihat gesaan itu sebagai satu cubaan menangguk di air yang keruh dan ada pula yang berprasangka kononnya UMNO sengaja mencetuskan semula isu itu tatkala Pas sedang bermasalah sekarang ini.

Saya tidak melihat begitu. Kata-kata Datuk Seri Mohd Najib bahawa pelawaan itu adalah di atas kepentingan agama Islam dan bangsa cukup menterjemahkan bahawa ia bebas daripada sebarang sampah politik. Maksudnya, ia menggambarkan bahawa UMNO benar-benar jujur dan ikhlas dengan tujuannya. Yalah, kalau Pas tidak mahu, UMNO tidak rugi apa-apa pun. UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) masih menjadi kerajaan dan memerintah negara. Tapi mengapa UMNO tetap membuat gesaan itu.

Alasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terlalu anti untuk bersepakat dengan UMNO bahawa Pas mempunyai pengalaman yang pahit adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Itu hanya helah politik semata-mata. Apa yang saya bimbang, Pas sentiasa menjadikan apa sahaja sebagai "perniagaan politik". Jika sesuatu perkara itu menguntungkannya, maka dia akan ikut dan terima. Maka begitulah sebaliknya. UMNO tidak begitu. Dalam apa jua keadaan dan situasi, UMNO sentiasa bersedia. Perpaduan tidak akan menjadi kenyataan jika ia diniagakan. Itu sangat jelas.

Secara tidak sedar, UMNO sebenarnya sudah "mengalah" sedikit dan benar-benar mahukan perpaduan sebagaimana yang telah ditegaskan. Tiada permainan tarik tali, apatah lagi mahu menjadikan perpaduan sebagai satu pertaruhan. Sepatutnya dalam keadaan umat Islam sedang dicabar dan tercabar, semua pihak mestilah sanggup berkorban.

Walaupun sudah ada permulaan yang baik di dalam Pas pada satu waktu, namun ia dihapuskan oleh sentimen yang tebal oleh pemimpin yang lain, maka apa yang dihasratkan itu terus terkubur. Saya amat sedih dengannya. Dalam keadaan sekarang, dan saya fikir pada waktu mendatang pun, sengketa politik perlu diredakan. Atas nama kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu, pelawaan UMNO perlu disemak dengan teliti dan serius. UMNO seolah-olah mendedahkan dirinya dengan pelbagai andaian atau mungkin juga tohmahan dengan cara begitu.

Namun, di atas rasa sedar betapa perpaduan Islam dan Melayu itu adalah tunjang penting yang sangat dituntut di kala ini, maka UMNO tidak pernah mengenai semuanya itu. Saya benar-benar masih ingin melihat perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Saya mendoakan kesedaran bakal menjelma di kalangan pemimpin Islam, Melayu di kalangan pembangkang agar memikirkan perkara ini dengan semasak-masaknya.

Usahlah kita jadikan perpaduan sebagai satu pertaruhan. Persengketaan politik pun sepatutnya ada batasnya.


1 comment:

anis said...

"wahai muda kenali dirimu
ialah perahu tamsil hidupmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat jua kekal diammu
hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membantu insan"
**Pujangga Islam, Hamzah Fansuri**