Wednesday, September 30, 2009

SYUKUR, KEMELUT SUDAH SELESAI


Assalamualaikum …

Syukur Alhamdulillah saya selamat sampai di tanah air. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pembaca blog saya yang telah memberikan pelbagai pandangan dan saranan.

Juga terima kasih kepada semua penduduk Terengganu, khususnya yang tinggal di parlimen saya, Kuala Nerus yang telah menghantar sms ucapan selamat hari raya ketika saya berada di luar negara. Mohon maaf kerana saya tidak sempat membalas semuanya tetapi segala-galanya tetap dan sentiasa di hati saya.

Hari ini, saya ingin memberikan reaksi terhadap perkembangan politik Terengganu. Ketika di luar negara, sebenarnya saya mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di negara kita, khususnya Terengganu. Saya melayari internet untuk mendapatkan segala maklumat dan perkembangan itu selain ada rakan-rakan yang menghantar berita kepada saya.

Saya melahirkan rasa syukur apabila membaca kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika menghadiri majlis hari raya Aidilfitri peringkat negeri di Marang beberapa hari lalu. Walaupun berada di luar negara, sesuatu yang amat membanggakan saya rasakan ketika mengikuti laporan itu di internet.

Alhamdulillah, kemelut UMNO Terengganu sudah pun berakhir, kata Dato’ Seri Hishamuddin dan saya juga berkongsi kegembiraan di atas berita gembira tersebut. Walaupun saya tidak dapat menghadirinya, segala-galanya bagaikan dekat dengan saya.

Saya berharap dan percaya, apa yang berlaku itu berasaskan keikhlasan kita semua dalam memastikan UMNO terus kuat dan dekat di hati rakyat Terengganu. Ia juga adalah demi perpaduan ahli dan pemimpin parti.

Saya berpendapat, pemimpin UMNO Terengganu mesti berjiwa besar dan sentiasa mementingkan parti melebihi kepentingan yang lain termasuk peribadi. UMNO tidak wajar dikorbankan hanya kerana ada segelintir kita mengejar kepentingan sedangkan UMNOlah yang meletakkan diri kita seperti hari ini. Saya berharap, apa yang berlaku itu bukannya dilihat dari kulit sahaja tetapi lebih dalam daripada itu. Demi UMNO, marilah kita semua bersatu dan meletakkan parti keramat ini di tempat yang sepatutnya.

Percayalah, rakyat sedang menilai dan memerhati kita. Oleh kerana itu, tunjukkan sesuatu yang meyakinkan rakyat agar terus memilih parti kita sebagai kerajaan yang kuat. Dan, perkara itu sebenarnya sedang berlaku di negeri kita. UMNO akan kembali kukuh jika kita semua sanggup berkorban.

Hari ini, saya bergegas ke Janda Baik, Pahang kerana mengikuti kursus kepimpinan pemimpin UMNO seluruh negara bersama Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jumpa lagi.

1 comment:

Anonymous said...

SALAM PERJUANGAN...
TAHNIAH& SYUKUR DI ATAS KEJAYAAN ANAK SULUNG DATUK BERJAYA MELANJUTKAN PELAJARAN KE LUAR NEGARA
ALHAMDULILLAH DATUK SUDAH SELAMAT KEMBALI KE MALAYSIA.
KECEMERLANGAN PELAJARAN ANAK DATUK AKAN SAYA JADIKAN PEMANGKIN AGAR ANAK KEDUA SAYA BERJAYA MELANJUTKAN PELAJARANNYA KE LUAR NEGARA & MENGIKUT JEJAK KAKAKNYA YANG TELAH KE MENARA GADING DI PULAU MUTIARA.