Sunday, May 8, 2011

TERIMA KASIH IBU

Assalamualaikum.


Terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan yang telah memberikan pandangan serta sokongan melalui laman blog saya ini. Juga, terima kasih kepada mereka yang telah menjadi sahabat Facebook saya dan telah memberikan komentar serta pandangan yang sangat berguna.

Jujurnya, saya merasai anda dekat dengan saya melalui perhubungan maya. Kita tinggalkan dahulu hal itu.


Hari ini, saya ingin mencatatkan mengenai istimewanya bulan Mei ini. hari ini misalnya, kita semua meraikan Hari Ibu, satu sambutan yang pada pandangan saya sangat memberi impak serta kesan yang mendalam terhadap hubungan kita dengan ibu kita. Di laman sosial facebook misalnya, sungguh terharu saya membaca sekian banyak ucapan Hari Ibu diluahkan dengan begitu kreatif dan berkesan sekali.


Rata-rata, warga ibu yang mampu mengikuti perkara tersebut sudah tentu dapat merasai nikmat diraikan oleh anak-anak. Sebagai seorang anak, saya juga merasai nikmatnya mempunyai ibu.


Seorang ibu adalah insan yang paling berharga, paling bernilai dan tiada gantinya jika ia pergi meninggalkan kita. Ibu adalah satu-satunya insan yang melahirkan kita, walaupun mungkin ada di kalangan ibu yang tidak sempat membesarkan kita. Pengorbanan seorang ibu untuk seorang anak, tiada batasnya.


Saya kagum dan ingin berkongsi kegembiraan dengan anda semua bahawa sambutan Hari Ibu sebenarnya semakin meriah, semakin bernilai dan menjadi semakin penting dalam kehidupan kita. Inilah hari yang tidak ada selama ini, tetapi telah kita adakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada ibu kita.


Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu, bajailah kasih sayang, curahkanlah segala pengorbanan untuk seorang ibu, usah dilukai hati seorang ibu. Selain syurga itu di bawah tapak kaki ibu, anak-anak yang berkorban untuk ibunya, Allah pasti akan melipatgandakan rezeki kepadanya.


Kepada mereka yang ibunya telah pergi selama-lamanya, berdoalah buat ibu. Doa seorang anak akan memberikan sekian banyak rahmat kepada arwah ibu kita.


Kepada mereka yang bergelar ibu, saya dengan rasa bangga dan rendah diri, ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu.


Terima kasih ibu, ibu adalah permata hati kita semua.

Monday, May 2, 2011

TERIMA KASIH PM, DAN RAKYAT KUALA NERUS









Assalamualaikum.


Sebenarnya saya sangat teruja mahu mencatatkan sesuatu sebaik selesai lawatan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Parlimen Kuala Nerus, Sabtu lalu. Namun, disebabkan kekangan waktu, baru sekarang saya mempunyai sedikit kelapangan untuk menulis.


Umumnya, saya mengucapkan terima kasih kapada YAB Perdana Menteri kerana telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian daripada destinasi lawatannya ke Terengganu ini selain di DUN Manir, di Parlimen Hulu Terengganu dan DUN Bandar di Parlimen Kuala Terengganu.


Istimewanya lawatan ini, seperti yang saya ucapkan pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong tempoh hari, ialah kerana YAB Perdana Menteri telah memilih empat tempat di Parlimen Kuala Nerus ini untuk siri lawatannya kali ini.


Selain Pekan Batu Enam, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melawat Kampung Pangkalan Arang, Bukit Tunggal dan Pulau Duyong. Inilah yang saya sifatkan sebagai lawatan berganda dari PM ke Parlimen Kuala Nerus.


Saya juga mahu merakamkan rasa kagum, gembira dan terima kasih kepada rakyat di Parlimen Kuala Nerus ini yang telah memberikan sokongan dan dokongan yang kuat untuk menjayakan program yang diatur.


Dengan kehadiran yang melebihi sasaran, saya terjemahkan ini sebagai satu gelombang baharu rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) terutama dalam mendepani senario politik Terengganu pada masa depan.


Program lawatan PM ini adalah terbuka dan ia bukanlah satu kerahan kehadiran tetapi melihat kepada sambutan luar biasa rakyat, saya sangat terharu sebenarnya.


Tidak dapat saya gambarkan rasa gembira itu, ia benar-benar ada di dalam hati saya seperti adanya rakyat di hati raya. Saya sangat kagum dan gembira di atas sambutan yang diberikan dan berharap, sokongan seperti ini akan berterusan sampai bila-bila.


Kepada YAB Perdana Menteri, saya bagi pihak pengundi dan penduduk Parlimen Kuala Nerus ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih. Kepada Rakyat di Parlimen Kuala Nerus, saya mahu menghargai mereka dan saya ingin nyatakan, mereka sangat membanggakan sebenarnya.


Mudah-mudahan usaha ini akan diberkati oleh Allah s.w.t, insyaAllah.

Sunday, April 17, 2011

TAHNIAH BN SARAWAK

Assalamualaikum.

Seperti yang dijangkakan, BN menang dengan selesai pada Pilihan Raya Negeri yang diumumkan malam tadi. Walaupun BN kehilangan beberapa kerusi, namun itu bukanlah alasan kukuh untuk menggambarkan "kekurangan" BN Sarawak khususnya. Umum mengetahui bahawa kekalahan BN di kawasan tertentu disebabkan faktor kaum yang kini, perlahan demi perlahan bagaikan menjadi trend politik Malaysia.

Jika kita lihat atau mengikuti serangan demi serangan pembangkang pada pilihan raya negeri itu, ramai yang naik takut, bimbang kalau-kalau kerajaan BN benar-benar tersungkur. Pengalaman saya beberapa di Sarawak, apa yang berlaku adalah jauh berbeza dengan apa yang dicanangkan media atauagen propaganda pembangkang.

Benar, cara berfikir dan cara berpolitik orang Sarawak sangat berbeza dengan semenanjung. Mereka tidak mudah terpedaya, dan mereka juga telah menjadi pengundi atau rakyat yang angat bijak mengurus isu-isu yang dibawa mereka.

Ceramah pembangkang mereka dengar. Maka tidak hairanlah pembangkang terperangkap dengan jumlah yang ramai pada setiap ceramah mereka. Bagaimanapun, rakyat Sarawak tidak beri undi kepada pembangkang kerana mereka lebih bijak berfikir dalam menilai setiap isu yang dibangkitkan. Ituilah kelebihan mereka.

Banyak sekali pengajaran atau ilmu politik yang boleh dikutip di Sarawak. Paling utama, bagaimana cara rakyat mereka berfikir. Itu yang penting.

Saya ucapkan tahniah kepada BN Sarawak dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat dan pengundi sarawak yang telah memilih BN. Semoga kejayaan itu akan terus dilakar dan rakyat mendapat faedah yang terbaik dari BN.

Seperti kata PM, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, BN akan menunaikan segala janjinya di Sarawak.

Tahniah Sarawak.

Friday, April 15, 2011

OH, POLITIK SARAWAK

Assalamualaikum dan salam bloger,

Ketika saya mencatatkan tulisan ini, tempoh berkempen untuk PRN Sarawak semakin sampai ke penghujungnya. Sepuluh hari yang ditinggal sebagai tempoh berkempen, ia ternyata sangat menguji semangat dan kekentalan parti yang bertanding.

Dalam PRN Sarawak kali ini, BN bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang tetapi berhadapan juga dengan tipu muslihat, pembohongan dan penipuan mereka. Walaupun awal-awal lagi, pembangkang cuba merasuahkan pengundi dengan menawarkan imbuhan itu dan ini, namun saya lihat dengan jelas bahawa cara berfikir orang Sarawak sangat berbeza dengan apa yang ada di Semenanjung. Berdasarkan kepada itulah, saya yakin pengundi Sarawak akan kekal memilih BN esok.

Jika dikatakan mencabar, memang mencabar. Namun saya sangat bersyukur kerana jentera BN yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik. BN bukan sahaja mampu berjanji dan menawarkah khidmat yang baik, namun BN juga adalah sebuah parti yang berkemampuan dalam melaksanakan apa yang dikata.

Ternyata, PRN Sarawak telah mendedahkan kita kepada taktik pembangkang yang seperti kepanasan dengan isu-isu peribadi Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim, malah mereka juga seperti terlalu ghairah mahukan kuasa.

Pas misalnya, walaupun bertanding di lima kerusi DUN, namun geger mereka seolah-olah mereka akan menang satu negeri. Jauh dari sudut itu, ia telah membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang mereka (pembangkang) persetujui di Sarawak telah menunjukkan Pas tergamas menggadai prinsip perjuangannya demi politik dan kuasa. Itulah yang menyedihkan.

Tinjauan saya, pertemuan saya dengan agak ramai penduduk Sarawak, mereka telah menyatakan kebimbangkan dengan "budaya semenanjung" yang cuba dibawa pembangkang di bumi kenyalang. Mereka ternyata tidak selesa dengan keadaan itu. Ini sangat jelas.

kalau anda melayari laman maya, pembangkang telah menggunakan propaganda yang keterlaluan kononnya ceramah mereka telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Namun bagi mereka yang ada dan berada di bumi Sarawak, mereka akan lebih faham mengenai keadaan sebenar.

Saya akui, bahawa mungkin ada isu-isu tertentu dalam iklim politik Sarawak, namun itu semua bukanlah alasan untuk rakyat atau pengundi Sarawak dengan mudah mempercayai pembangkang.

Sebenarnya, banyak sekali ilmu yang mampu diperolehi dalam PRN Sarawak ini. Ia ibarah satu kolej politik yang boleh mengajar manusia politik untuk lebih tahu mengenai politik. Di sini juga, kita akan dapat mengenali lebih banyak "perangai sebenar" pembangkang yang selama ini hanya bermuka-muka semata-mata.

Saya sangat berharap untuk melihat kemenangan cemerlang BN di Sarawak... dan, saya percaya tidak akan kecewa dengan harapan saya itu, insya'Allah.

Friday, April 8, 2011

TERENGGANU, KEBANGGAAN KITA SEMUA

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, cuaca kembali cerah. Kebimbangan mengenai kejadian banjir yang berlaku beberapa hari yang lalu kembali reda. Hari ini, kita sangat bersyukur kerana telah dapat menjalani kehidupan tanpa sebarang masalah.

Sesekali berfikir, merenung ... alangkah bertuahnya rakyat kita, khususnya di Terengganu. Sejak sekian lama, Terengganu telah jauh berkembang dan maju. Ia tidak dapat tidak adalah hasil daripada perjuangan kerajaan BN sehingga Terengganu kini berjaya berubah. Hakikatnya, bukan mudah untuk mengubah landskap kemajuan sesebuah negeri, apatah lagi Terengganu yang iklim politiknya berubah-ubah.

Hari ini, bandar Kuala Terengganu dan termasuklah juga di Kuala Nerus, kawasan Parlimen saya, kesesakan sering berlaku. Mengapa?. Pertama, berlakunya peningkatan jumlah kenderaan yang mencerminkan tahap ekonomi rakyat yang semakin baik. Kedua, kemakmuran negeri telah membolehkan rakyat mencari rezeki dengan baik dan sempurna dan banyak lagilah hal-hal yang lain.

Justeru, saya mengakui bahawa kita masih memerlukan kepada lebih banyak strategi pembangunan untuk memastikan ia seiring dengan keupayaan ekonomi dan taraf hidup rakyat. Ia termasuklah menyediakan kemudahan jalan raya dan sebagainya. Harus diingat, bahawa Kuala Terengganu tidak akan lagi seperti sekarang, mungkin dalam tempoh sepupuh tahun akan datang.

Apa pun, dengan pendekatan merakyatkan pembangunan dan pentadbiran, saya percaya bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said akan membolehkan perubahan besar berlaku di Terengganu. Rakyat akan melihatnya nanti.

Apa yang pasti, kerajaan yang ada tidak hanya bercakap tetapi mereka buat.

Apa pun, setiap kelebihan akan hanya dinikmati olehorang-orang yang tahu bersyukur. Berapa banyak pun kebaikan dan kelebihan yang diwujudkan atau dilaksanakan, jika ia dinikmati oleh manusia yang tidak tahu bersyukur, maka semua itu tidak dilihat dengan makna yang sebenar.

Oleh itu, marilah kita semua menjadi orang-orang yang sentiasa bersyukur. Belajarlah dengan kekurangan yang ada di tempat orang lain. Saya percaya, jika itu ada di hati kita, kita akan sentiasa berterima kasih kepada kerajaan BN yang telah berjaya membawa perubahan dan kesejahteraan rakyat di Terengganu khususnya.

Bab pembangkang, saya tidak mahu komen kerana mereka telah diberikan mandat pada 1999 -2004, namun menemui kegagalan.

Selamat membaca.

Tuesday, March 29, 2011

Assalamualaikum.


Apa khabar anda hari ini. Semoga sejahtera hendaknya. Saya sekarang menyertai persidangan di Parlimen menggunakan kemudahan yang ada. Sekarang ini, di mana-mana pun kita boleh melayari internet dan update tulisan kerana kemudahan sudah semakin canggih dan terkini.


Hari ini, saya dimaklumkan mengenai cuaca yang tidak menentu dan hujan begitu lebat di Kuala Terengganu khususnya. Keadaan itu telah menyebabkan kejadian banjir di beberapa tempat. Saya berharap, mereka yang terlibat dengan kejadian banjir mengejut ini akan kuat bersabar sementara bantuan akan dihulurkan kerajaan serta pihak lain.

Saya amat faham akan kesulitan ini, namun setiap kejadian seringkali di luar pengetahuan dan jangkaan kita. Itulah yang sering berlaku. Namun, apa yang penting, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, kita semua haruslah sentiasa bersiap-sedia dengan pelbagai kemungkinan. Kita tidak harus hanya sekadar melihat.


Bagi mereka yang tidak terlibat dengan kejadian banjir, bantulah mereka yang memerlukan bantuan kita dan bantuan itu pula tidak semestinya berbentuk kewangan. bantulah jirang kita sekurang-kurangnya jika mereka berada dalam kesusahan akibat kejadian banjir.


Saya percaya, agensi kerajaan berkaitan sedang mengambil langkah perlu bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Bagi mereka yang sedikit terjejas, semoga mereka bersabar.


Saya sendiri, walaupun sedang menunaikan tanggungjawab di Parlimen, namun sentiasa memantau apa yang sedang berlaku di Terengganu. Alhamdulillah, semuanya dalam pengetahuan saya.


Semoga kita mempelajari sesuatu di sebalik apa yang pernah berlaku sebelum ini dan bersiap-sedia apabila cuaca tidak menentu.

Thursday, March 24, 2011

HENTIKAN POLITIK MERUGIKAN

Assalamualaikum ...

Iklim politik kita semakin panas. Makin banyak yang terdedah dan didedahkan. Akibatnya, rakyatlah yang terheret dengan keadaan tersebut. Dalam isu-isu yang besar, yang tidak dituduh boleh menafikan penglibatannya, manakala yang merasakan dirinya dituduh lagilah tidak mahu mengaku perbuatannya. Selebihnya, bagi orang yang diberitahu atau yang tahu, ada juga yang beriya-iya benar menafikannya sedangkan mereka sendiri tidak pasti apa yang sebenarnya.

Ada juga orang yang bersekongkol dengan orang yang didakwa itu awal-awal membuat penafian, malah lebih jengkel lagi apabila mereka pula yang menuduh orang lain punya angkara sehingga timbulnya sesuatu isu tersebut.

Apa yang pasti, geografi akal politik orang kita (sebahagiannya) sudah tidak begitu menarik. Ramai yang berfikiran berat sebelah. Maksud saya, apabila sesuatu pendedahan mengenai puak mereka dibuat, mereka segera menafikan dan berkata boleh bahawa ini adalah satu konspirasi walaupun dalam keadaan mereka tidak tahu apa sebenarnya.

Dalam keadaan yang lain, mereka dengan bulat-bulat menerima keburukan musuh politik mereka walaupun tahu bahawa apa yang sampai ke telinga mereka itu adalah satu pembohongan. Lebih menjijikkan lagi apabila ada yang menggunakan Islam untuk menghalalkan setiap dakwaan dan tuduhan. Itulah yang sedikit menyedihkan.

Saya berpandangan, cara berfikir sedemikian tidak menyumbang kepada kelebihan diri dan masa depan kita. Kita harus berani menjadi rakyat yang boleh menerima kenyataan walaupun ianya pahit untuk ditelan. Kita harus berdiri sebagai rakyat yang sayangkan negara mengatasi sayangnya kita kepada pemimpin tertentu.

Kita harus belajar menerima yang salah adalah salah, dan berani pula mengatakannya. Dan, bijak mengatakan yang benar adalah benar. Kita tidak boleh terlalu cepat menjatuhkan andaian tanpa usul periksa hanya dengan kepentingan politik semata-mata.

Dalam konteks yang hampir sama bagi saya, negara telah kerugian banyak masa kerana melayan karenah politik sedemikian. Banyak yang sudah terganggu dan diganggu denga isu politik yang sedang melingkari kita. Asyik-asyik isu yang sama dan melibatkan orang yang sama. Rakyat harus lihat di mana kerugian mereka jika membiarkan politik sedemikian berlarutan. Itulah yang penting.

Marilah kita bertekad untuk menjadi rakyat yang hebat, dengan mempunyai pemikiran yang hebat dan bukannya tersumbat.