Thursday, November 24, 2011

HATI-HATI DENGAN BANJIR

Assalamualaikum.

Walaupun keadaan cuaca di Terengganu panas sebelum ini walaupun November sudah menghampiri penghujungnya - waktu yang sering dikaitkan dengan musim tengkujuh atau banjir di negeri Pantai Timur. Namun tiba-tiba hujan lebat yang turun telah menyebabkan berlakunya banjir.

Walaupun saya terpaksa menghadiri sidang Parlimen di ibu negara, namun saya mengikuti secara dekat kejadian banjir di Terengganu, khususnya di kawasan saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya gembira bukan sahaja mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak berkenaan tetapi saya juga mendapatkan input yang banyak daripada rakan-rakan facebook dan pembaca blog saya.

Jumlah mangsa banjir dikatakan telah meningkat mencecah lima kali ganda berbanding dua hari lalu - satu petanda keadaan banjir sebenarnya semakin buruk. Nasihat saya, kepada mereka yang diarahkan berpindah, maka berpindahlah. Jangan banyak soal lagi.

Sebabnya apabila anda diarahkan berpindah, maka ada keperluan untuk anda berpindah pada pandangan pasukan keselamatan. Apa yang wajar diberikan perhatian ialah soal keselamatan diri, manakala keselamatan barang-barang boleh diurus kemudian dengan bantuan pasukan penyelamat.

Bagi anak-anak pula, berhati-hati ketika bermain air banjir. Jangan terlalu ghairah atau menganggapnya sebagai pesta. Jika perlu, jauhkan terus daripada tabiat bermain air banjir, terutamanya di kawasan-kawasan yang airnya dalam serta berarus deras. Hal ini tidak boleh dipandang mudah, ia adalah satu perkara yang seringkali menjadi punca hilangnya nyawa manusia.

saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan misi bantuan banjir ini dan berharap kesemua mangsa agar lebih bersabar menerima ujian Allah ini. Bagi pihak kerajaan, kami akan membantu apa yang sepatutnya.

Semoga keadaan banjir yang sedang berlaku sekarang tidak akan seteruk seperti yang diramalkan.

Tuesday, November 22, 2011

KEJAYAAN YANG DIKONGSIKAN SELURUH RAKYAT

Assalamualaikum.

Tahniah saya ucapkan kepada skuad bola sepak Harimau Muda pada sukan SEA yang sedang berlangsung di Jakarta malam tadi. Malaysia menang 5-4 ke atas Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan satu sama pada 90 minit perlawanan dan kedudukan itu terus kekal selepas masa tambahan.

Walaupun seperti biasa penyokong Indonesia mencetuskan provokasi yang melampau terhadap pasukan dan pegawai negara kita, saya percaya bahawa keadaan itu telah menjadi sebahagian daripada punca kebangkitan pemain negara yang mahu membuktikan kejayaan mereka.

Walaupun permainan sebenarnya agak seimbang, sekaligus menjadikannya pertemuan yang sangat menarik dan menghiburkan, namun kesungguhan pemain Malaysia telah menjawab segala-galanya. Kejayaan itu telah diraikan dengan semangat yang begitu berkobar-kobar oleh seluruh penyokong negara pada setiap pelusuk tanah air.

Malah di sesetengah tempat seperti kedai kopi yang dikerumuni oleh ramai penyokong Malaysia yang menyaksikan siaran langsung perlawanan itu telah menjadikan keadaanya sama seperti stadium - riuh rendah dan ada menyanyi - sama seperti apa yang selalu kita lihat di stadium.

Demikianlah kuatnya pengaruh bola sepak. Ia dapat mewujudkan satu kumpulan yang setia dan saling berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Di setiap hati penyokong peminat, mereka ingin melihat pasukan Malaysia menang. Mereka berkongsi perasaan yang sama.

Saya sangat kagum dan teruja dengan apa yang berlaku dan jika ia diwujudkan dengan suasana yang sihat, maka banyak faedah yang mampu kita kecapi di sebalik aktitivi sukan ini.

Namun malang sedikit apabila di negara kita ada pihak yang pendek akal membawa bendera parti politik ke dalam stadium. Ia satu keadaan yang tidak menguntungkan dan tidak seharus terus berlaku. Contohi bagaimana pasukan Malaysia mencapai kejayaan dan bagaimana sokongan rakyat yang diberikan kepada mereka dengan merentasi kepentingan politik.

Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada pasukan Malaysia yang membawa emas melalui sukan bola sepak. Kejayaan itu telah dikongsikan kegembiraan oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga Malaysia akan terus berjaya.

Majulah bola sepak untuk mengharumkan nama negara.

Saturday, November 19, 2011

NILAI KEJAYAAN

Assalamualaikum ..

Tahniah saya ucapkan kepada anak-anak yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR yang diumumkan Khamis lalu. Kepada yang tidak berjaya, adik-adik masih ada waktu untuk terus meningkatkan usaha bagi memperolehi lebih kecemerlangan.

Sebagai anak Terengganu, saya amat bangga apabila negeri saya sekali lagi mengekalkan rekod cemerlang dalam keputusan UPSR – sekaligus muncul sebagai negeri terbaik dalam tempoh sebelas tahun berturut-turut – satu pencapaian yang di luar jangkaan dan sewajarnya dibanggakan.

Lihat sedikit analisis mengenai keputusan tersebut. Daripada 22,801 calon yang menduduki UPSR tahun ini, seramai 3,548 peratus atau 15.6 peatus telah mencapau keputusan 5A.

Ini sudah tentu merupakan pencapaian yang baik apabila ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding apa yang telah dicapai tahun lalu.

Bagi saya, kejayaan tidak datang bergolek. Perjuangan untuk memperolehi kejayaan tidak hanya bermodalkan dengan air liur semata-mata. Banyak pihak yang berkait dengan kejayaan ini. Selain anak-anak yang gigih berusaha dan ditambah dengan petua-petua tertentu, maka guru dan ibu bapa juga turut memainkan peranan.

Kerajaan pula telah menyediakan peruntukan yang besar saban tahun bagi memastikan rakyat memperolehi pendidikan yang sempurna. Kejayaan dalam UPSR itu adalah satu bukti betapa usaha kerajaan kita selama ini telah menampakkkan hasil.

Terima kasih saya ucapkan kepada guru yang banyak menyumbang bakti dan tidak pernah mengalah dalam memikul tanggungjawab bagi mencapai kejayaan tersebut.

Jika dilihat pada riak wajah murid yang berjaya dan guru yang menjayakannya, saya percaya perkembangan seperti ini amatlah sihat dan wajar diteruskan.

Hubungan silaturrahim yang akrab antara guru dan murid dengan ibu bapa sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.

Sebagai seorang pemimpin, saya sentiasa mengikuti dengan dekat perkembangan pendidikan anak-anak kita di sekolah. Saya berhubung rapat dengan Jabatan Pelajaran serta pihak sekolah untuk mengikuti perkembangan anak-anak kita.

Saya berhaap, kejayaan yang dicapai melalui UPSR dan peperiksaan lain wajar diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang.

Sesungguhnya persaingan dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan ini adalah satu perkara yang sihat, kerana ia akan menuntut kita agar bekerja dengan lebih kuat bukan sahaja bagi mengekalkan kejayaan tetapi juga meningkatkan kecemerlangan.

Itulah cabaran apabila berjaya dan saya berharap ianya akan dipikul dengan penuh semangat oleh semua pihak – kerajaan, guru, pelajar dan ibu bapa sendiri – mudah-mudahan kejayaan akan sentiasa memihak kepada kita.

Insya’Allah.

Thursday, November 3, 2011

TERCABAR LAGI.... SAMPAI BILA?

Gambar Hiasan

Assalamualaikum.

Sekali lagi negara dikejutkan dengan isu penganjuran Seksualiti Merdeka yang dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk membuka ruang terhadap isu-isu seksual songsang dengan berselindung di sebali hak asasi manusia.

Semalam di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan mengenai isu ini dengan ada yang menyifatkannya sebagai budaya binatang. Mungkin ramai yang tidak faham mengenai program tersebut dan kerana itu, reaksi segera mereka gagal dikesan. Program tersebut dikatakan mempromosikan budaya seksual yang bertentangan dengan Islam dan adapt timur yang sekian lama kita amalkan.

Malah, mereka yang terlibat menyokong program ini pula bukanlah calang-calang orang. Ia terdiri daripada NGO yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia selain individu yang dikaitkan dengan program ini adalah manusia yang sama terlibat dengan perhimpunan BERSIH yang diharamkan itu.

Walaupun sebagai seorang pengamal politik, saya tidak melihat isu ini dalam konteks berkenaan. Sebaliknya saya ingin melihat perkara tersebut sebagai seorang rakyat – di mana sebenarnya akibat daripada sikap orang kita sendiri, maka ada orang lain yang lebih berani melakukan sesuatu yang boleh mengancam, menghina dan mencetuskan keadaan yang diharamkan agama Islam yang Maha Suci.

Sudah acapkali umat Islam diuji dalam isu-isu yang sensetif tetapi mereka masih tidur dan lena. Oleh kerana itu, mereka mudah terbuai dan tidak sensetif dengan isu-isu yang melibatkan dengan kepentingan mereka.

Bagi rakyat yang fanatik, apa yang dilakukan oleh puak dan golongan sekutu mereka, mereka akan memplaster mulut dan tutup telinga. Mereka tidak berminat. Inilah manusia yang sentiasa memakai topeng. Dan, ini jugalah cabaran serta masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar lebih sensetif terhadap isu berkenaan dan tidak memandangkan sebagai hanya perkara terpencil. Bagi saya, ini adalah satu ancaman dan cabaran kepada rakyat dan umat Islam.

Ingat, ada hal-hal yang boleh kita kompromosi, namun ada hal-hal tertentu pula, kita tidak boleh bertolak ansur, apatah lagi ia berada pada tahap yang melampau.

Kita telah berada di dalam sebuah negara Malaysia yang sangat aman damai. Oleh kerana itu, jangan ada mana-mana pihak yang cuba meragut keamanan dan keharmonian itu dengan menganjurkan acara yang bukan-bukan di negara ini.

Sedarlah, kita sedang diperhati dan setiap ruang kelemahan kita akan diambil kesempatan oleh manusia yang tidak pernah tahu bersyukur itu.

Sedarlah rakyat.

Tuesday, November 1, 2011

TERIMA KASIH PENYOKONG TERENGGANU

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Agak lama juga saya tidak update blog saya ini. Kesuntukan waktu telah menyebabkan ia berlaku dan selalunya, ia tidak boleh dielakkan.

Hari ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Terengganu yang mara ke peringkat akhir Piala Malaysia musim 2011 walaupun tewas di tangan Negeri Sembilan 1-2 di Stadium Shah Alam Sabtu lalu. Memang kecewa, sesiapa pun akan merasai perkara yang sama jika diminta mengulas keputusan perlawanan itu.

Apa pun, kalah menang adalah adat perlawanan. Ada juga yang mengembirakan saya. Saya gembira apabila pemain Terengganu telah melakukan yang terbaik untuk menang walaupun ada beberapa kelemahan yang bagi saya masih boleh diperbetulkan pasa masa akan datang. Ingat, sekurang-kurangnya Terengganu telah mara ke perlawanan akhir – satu perlawanan yang hanya melibatkan dua pasukan terbaik dari semua pasukan dalam sepanjang musim. Itu sudah memadai dan mengembirakan sebenarnya.

Lebih mengembirakan saya apabila melihat kerterujaan penyokong Terengganu. Mereka berduyun-duyun membanjiri Stadium Shah Alam tanpa mengira usia sebagai sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan Terengganu, pasukan kegemaran mereka.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan isu kenaikan mendadak harga tiket perlawanan sepertimana diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun mereka tetap membeli tiket. Bagi mereka yang tinggal di Kuala Terengganu, mereka sedikit bernasib baik kerana Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju membiayai 50 peratus harga tiket yang dibeli peminat Terengganu.

Tapi mereka yang tinggal di Lembah Kelang atau kawasan-kawasan lain, mereka tetap membeli dengan harga RM50 tiket perlawanan. Apa yang pasti, kesemua kerusi adalah penuh dan ini membuktikan betapa kesetiaan penonton dan peminat, khususnya kepada pasukan Terengganu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Saya berharap, sokongan ini akan diteruskan pada masa akan datang. Bola sepak tanpa peminat dan penyokong tidak akan ke mana.

Kepada mereka yang kecewa, marilah kita menerima hakikat bahawa nasib tidak menyebelahi kita untuk menang. Namun, apa yang penting, kita telah melakukan yang terbaik untuk menang.

Saya berdoa agar Terengganu akan terus cemerlang tahun depan dengan pasukan yang lebih mantap dan hebat. Saya percaya, Terengganu akan terus kekal sebagai kuasa besar bola sepak pantai timur untuk tempoh yang seterusnya jika kita semua mempunyai kesungguhan untuk mengekalkannya.

Terima kasih kepada semua.

Wednesday, October 5, 2011

BN TELAH LAKUKAN APA SAJA UNTUK RAKYAT

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, dapat juga saya luangkan sedikit masa untuk menulis sebelum melelapkan mata sekejap. Sidang Parlimen baru sahaja selesai malam ini dan akan disambung esok. Syukur kerana dapat menunaikan amanah yang telah diberikan ini dengan sempurna.

Alhamdulillah, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah pun menunaikan janjinya untuk memansuhkan beberapa akta. Hari ini, Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) telah dimansuhkan dan sekaligus menyaksikan ratusan tahanan akan dibebaskan serta-merta, manakala waran tangkap yang dikeluarkan juga dibatalkan.

Malah kerajaan BN yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sebelum ini sentiasa dijadikan senjata oleh pembangkang.

Sebagai pemimpin kerajaan, saya boleh menyatakan bahawa kami telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Walaupun ada tindakan yang memerlukan sedikit masa untuk melalui proses perubahan atau pembaharuan, namun semua itu penting sebagai tempoh penilaian agar apa yang bakal diputuskan tidak merugikan rakyat dan negara.

Bagi pihak rakyat pula, saya fikir rakyat perlu lebih terbuka dalam menerima transformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri kita. Kita tidak boleh terabai dengan membuat andaian atau telahan awal terhadap sesuatu perkara tanpa mengetahui bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat adalah menjadi sesuatu yang sentiasa dipertimbangkan oleh kerajaan dan pemimpinnya.

Hakikatnya, segelintir rakyat kita mudah termakan atau terjebak dengan dakyah pembangkang yang sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan BN sedangkan pembangkang sendiri tidak berbuat apa-apa pun untuk rakyat dan negara.

Kita harus jujur dan adil bahawa hampir segala-galanya telah disediakan kerajaan BN untuk rakyat. Dan, setiap kali Parlimen bersidang, isu-isu kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan walaupun banyak waktu persidangan kadangkala diganggu pembangkang yang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan rakyat.

Oleh itu, saya berharap rakyat akan lebih bersyukur di atas nikmat yang ada di negara ini dan tidaklah mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang merugikan mereka.

Nasihat saya, rakyat mesti bijak dalam keadaan sekarang. Kita tidak boleh mudah menjadi alat atau diperalatkan. Itu yang penting.

Apatah lagi dengan iklim politik yang semakin menjurus ke arah pilihan raya, maka macam-macam lagilah yang pembangkang sengaja timbulkan.

Berhati-hatilah kita dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.





Tuesday, September 13, 2011

HARAPAN SAYA KEPADA CALON UPSR

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, hari ini (Selasa), anak-anak kita akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya doakan, anak-anak kita yang selama ini menghabiskan banyak waktu mentelaah pelajaran akan memberikan jawapan terbaik pada ujian tersebut.

Saya percaya, dengan usaha gigih anak-anak serta disokong oleh doa dan dorongan daripada ibu bapa, anak-anak kita akan mencapai kejayaan. Saya berpendapat, hari ini adalah antara saat paling getir bagi anak-anak kita yang bukan sahaja mempunyai impian serta harapannya sendiri tetapi sudah tentu terlalu teruja bagi memenuhi impian ibu bapa juga.

Insya'Allah saya akan turun padang dan meninjau beberapa sekolah di kawasan Parlimen Kuala Nerus bagi memberikan sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan tersebut. Saya juga akan bertemu ibu bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah nanti untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Saya ingin sampaikan kepada mereka bahawa kejayaan anak-anak bukan sahaja menjadi harapan mereka sebagai ibu bapa tetapi juga saya sebagai pemimpin yang mereka pilih.

Saya sangat gembira dan teruja sebenarnya untuk bertemu mereka dan saya sebenarnya juga tidak sabar-sabar untuk ke sekolah bagi menunaikan apa yang saya sebutkan tadi. Umum mengetahui bahawa Terengganu telah mencatatkan kecemerlangan dalam UPSR bertahun-tahun lamanya. ia satu rekod yang menjadi saingan kepada sekolah di negeri-negeri lain.

Oleh itu, sebagai wakil rakyat, saya amat mengharapkan agar Terengganu sekali lagi akan dapat mengekalkan rekod tersebut. Bagaimanapun di tangan anak-anaklah yang akan menentuk impian serta harapan itu akan menjadi impian atau sebaliknya.

Sebenarnya saya mengikuti dengan dekat usaha anak-anak dan ibu bapa dalam usaha mereka mencapai kejayaan ini. Kegigihan ibu bapa menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak termasuk menghantar mereka ke kelas tuisyen misalnya telah menjadi sebahagian hal yang biasa bagi ibu bapa. Itu tidak termasuk kelas-kelas yang diatur di rumah. Semuanya sebagai usaha untuk memastikan anak-anak kita mencapai kejayaan.

Tahniah saya ucapkan kepada ibu bapa yang sentiasa cakna, memberikan perhatian dan ingin melihat kejayaan anak-anak mereka.

Kejayaan mereka adalah kegembiraan saya. Doa saya, mereka semua, khususnya di dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus akan memperolehi keputusan yang terbaik, insya'Allah.