Tuesday, November 22, 2011

KEJAYAAN YANG DIKONGSIKAN SELURUH RAKYAT

Assalamualaikum.

Tahniah saya ucapkan kepada skuad bola sepak Harimau Muda pada sukan SEA yang sedang berlangsung di Jakarta malam tadi. Malaysia menang 5-4 ke atas Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan satu sama pada 90 minit perlawanan dan kedudukan itu terus kekal selepas masa tambahan.

Walaupun seperti biasa penyokong Indonesia mencetuskan provokasi yang melampau terhadap pasukan dan pegawai negara kita, saya percaya bahawa keadaan itu telah menjadi sebahagian daripada punca kebangkitan pemain negara yang mahu membuktikan kejayaan mereka.

Walaupun permainan sebenarnya agak seimbang, sekaligus menjadikannya pertemuan yang sangat menarik dan menghiburkan, namun kesungguhan pemain Malaysia telah menjawab segala-galanya. Kejayaan itu telah diraikan dengan semangat yang begitu berkobar-kobar oleh seluruh penyokong negara pada setiap pelusuk tanah air.

Malah di sesetengah tempat seperti kedai kopi yang dikerumuni oleh ramai penyokong Malaysia yang menyaksikan siaran langsung perlawanan itu telah menjadikan keadaanya sama seperti stadium - riuh rendah dan ada menyanyi - sama seperti apa yang selalu kita lihat di stadium.

Demikianlah kuatnya pengaruh bola sepak. Ia dapat mewujudkan satu kumpulan yang setia dan saling berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Di setiap hati penyokong peminat, mereka ingin melihat pasukan Malaysia menang. Mereka berkongsi perasaan yang sama.

Saya sangat kagum dan teruja dengan apa yang berlaku dan jika ia diwujudkan dengan suasana yang sihat, maka banyak faedah yang mampu kita kecapi di sebalik aktitivi sukan ini.

Namun malang sedikit apabila di negara kita ada pihak yang pendek akal membawa bendera parti politik ke dalam stadium. Ia satu keadaan yang tidak menguntungkan dan tidak seharus terus berlaku. Contohi bagaimana pasukan Malaysia mencapai kejayaan dan bagaimana sokongan rakyat yang diberikan kepada mereka dengan merentasi kepentingan politik.

Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada pasukan Malaysia yang membawa emas melalui sukan bola sepak. Kejayaan itu telah dikongsikan kegembiraan oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga Malaysia akan terus berjaya.

Majulah bola sepak untuk mengharumkan nama negara.

No comments: