Monday, January 25, 2010

DI MANAKAH SILAPNYA

Assalamualaikum…

Di Negara kita, berpolitik bagaikan sudah menjadi asam kehidupan. Tidak melampau jika dikatakan bahawa orang kita berpolitik sepanjang masa, 24 jam sehari dan setiap saat dan detik yang berlaku. Namun, dalam konteks berpolitik, akhirnya kuasa rakyatlah yang menentukan corak, watak, wajah serta masa depan politik itu sendiri.

Nah!, tentu sekali akhirnya pengundi yang akan menentukannya. Saya cuma mahu menyentuh senario yang berlaku di dalam UMNO sendiri agar kita semua merenung dan berfikir sejenak mengenainya. Daftar pemilih yang melayakkan seseorang mengundi misalnya. Masih ramai di kalangan ahli UMNO sendiri yang gagal atau belum mendaftar sebagai pengundi. Ia sekaligus mendedahkan UMNO kepada kesan politik yang mendalam.

Jika kita berpolitik sepanjang masa pun tetapi pada masa yang sama kita tidak mendaftar sebagai pengundi, maka sia-sialah politik kita itu. Saya tidak percaya bahawa mereka yang menyertai UMNO tidak tahu mengenai tanggungjawabnya untuk mendaftar sebagai pemilih. Jika benar, ia berlaku, maka cara berpolitik sedemikian adalah salah.

Maksudnya, kita masih gagal memahami betapa kuasa pengundi itulah yang menentukan sesuatu parti politik. Maka, hal ini jika berterusan ia akan membawa kesan terhadap UMNO, apatah lagi dalam persaingan politik yang semakin mencabar dan merentasi jauh ke dalam pemikiran rakyat.

Saya berharap, mereka yang menyertai UMNO wajib memahami bahawa mereka mesti mendaftar sebagai pengundi. Menjadi ahli dengan watak sebagai penyokong, ia tidak mampu membawa UMNO ke mana-mana. Mereka mesti memiliki hak yang disediakan. Hak itu ialah sebagai pengundi.

Mereka tidak boleh sampai ke tahap sehingga “dipaksa” mendaftar sebagai pengundi atau orang lain mendaftar kepada mereka. Kalau itu jadinya, maka ia juga tidak menyumbang apa-apa. Maksudnya, jika orang lain membantu mereka mendaftar sedangkan yang punya diri tidak memahami tanggungjawabnya untuk mengundi dan apabila tiba hari mengundi, mereka tidak pula keluar mengundi, maka di manakah faedahnya.

Oleh itu, perlu ada tanggungjawab dalam semua hal yang berkaitan. Bukan sikit ahli UMNO yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Ia sudah mencecah ratusan ribu orang dan ini amat memerlukan satu tindakan yang drastik. Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO sedang berhadapan dengan persaingan politik yang ketara.

Maka usaha memperkasakan UMNO melalui memastikan tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi di kalangan ahlinya mestilah dilaksanakan segera dengan cara yang terbaik demi kelangsungan kuasa UMNO itu sendiri yang menjadi tunjang utama kepada kerajaan Barisan Nasional.

Sunday, January 24, 2010

KEBIMBANGAN PEMBANGKANG

Assalamualaikum…

Sejak kebelakangan ini, anda lihat bagaimana pembangkang bagaikan menggunakan setiap penjuru menyerang gagasan Satu Malaysia. Yang terbaharu, mereka menyerang pula program Juara Rakyat yang dipelopori UMNO. Dan, sepastinya mereka akan terus menyerang kerana itulah kerja mereka yang bergelar PEMBANGKANG.

Pada saya, apa yang sedang berlaku adalah satu manifestasi kepada kebimbangan pembangkang dalam melihat bukan sahaja perubahan yang dilaksanakan kerajaan BN atau keupayaan UMNO menjayakan satu agenda besar untuk Negara, malah ia melangkaui betapa rakyat kini kian sedar bahawa hanya BN yang mampu membela nasib mereka.

Biar pun, mungkin ada di kalangan anda sinis dengan kata-kata ini tetapi percayalah bahawa saya tidak mampu mengubah hakikat yang ada. Gagasan Satu Malaysia misalnya, walaupun cuba digambarkan dengan begitu negative, namun ia tetap berlaku dengan hebat dan jayanya. Rata-rata hari ini, rakyat pelbagai kaum di Negara kita yakin dengan keikhlasan kerajaan dalam mewujudkan sebuah Negara Malaysia yang bukan sahaja maju tetapi rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup selesa dan penuh keharmonian.

Juara Rakyat pula adalah satu hal yang ternyata membimbangkan pembangkang. Ini kerana, mereka sedar bahawa UMNO bukanlah sebuah [arti yang hanya bercakap tetapi mereka BUAT apa yang dicakap. Kebimbangkang pembangkang itu ditambah lagi apabila mereka dilihat bagaikan kian gagal menjadi kerajaan yang baik di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

Segala kelompongan dan kelemahan mentadbir kian terbongkar satu persatu. Realitinya, rakyat kita tidak buta. Walaupun kadangkala mereka bermain dengan perasaan dalam percaturan ilmu politik, namun rakyat tidak mungkin mampu bertahan dengan sebuah kerajaan yang GAGAL melaksanakan amanah mereka.

Jika dahulu, sebelum mereka berkuasa, pembangkang sentiasa meletakkan kesalahan dan kelemahan di bahu UMNO. Nah!, sekarang tatkala mereka sudah diberikan kuasa, apa yang mereka buat?. Itu persoalannya. Saya percaya bahawa rakyat sudah mempunyai jawapan di sebalik apa yang telah dan sedang berlaku. Mereka hanya tunggu detik dan saat sesuai untuk menentukan pendirian mereka yang sebenar.

Bercakap sememangnya mudah, namun ia tidaklah semudah apa yang dicakapkan. Itulah yang pembangkang rasakan sekarang apabila memperolehi sedikit mandat yang diberikan rakyat. Bak kata pepatah cina “membentuk landskap mudah, membentuk sikap payah”. Apa pun, gagasan 1Malaysia sedang diteliti dan dihayati manakala program Juara Rakyat sedang dinanti. Bagi rakyat, kedua-duanya adalah membawa keuntungan kepada mereka. Justeru, tidak ada sebab mengapa mereka mesti terpedaya dengan politik pembangkang yang sengaja membakar api kebencian terhadap setiap usaha baik yang dilaksanakan kerajaan.

Gagasan 1Malaysia akan menjamin sebuah Negara Malaysia yang akan mencapai segala kejayaan dan Juara Rakyat pula akan membolehkan setiap masalah dan keperluan rakyat ditangani dengan satu asas kukuh iatu rakyat didahulukan.

Marilah kita semua mendokong usaha murni kerajaan BN ini. Ini semua adalah untuk kita, untuk rakyat dan Negara. Kita jangan menjadi rakyat yang terlalu mudah terpedaya dakyah yang mengajak kita mengundur ke belakang. Usaha kita memilih jalan kerugian dalam percaturan hidup ini.

Wednesday, January 20, 2010

BILA LUDAH JATUH KE MUKA SENDIRI

Salam bloger,

Mungkin kerana kesibukan, saya kurang berkesempatan untuk menulis blog saya. Apa pun, saya berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mengikuti tulisan saya di ruangan ini. Terima kasih di atas komen dan pandangan yang diberikan.

Hari ini, saya ingin melontar satu hal yang bagi saya agak menarik untuk kita tahu dan ingat.

Sejak dulu, Pas telah melabelkan UMNO dengan pelbagai gambaran buruk. Rasuah, cah keting dan kroni adalah tuduhan yang sudah biasa dilemparkan Pas kepada UMNO. Dan, UMNO sebagai sebuah parti yang yakin akan hakikat dan kebenaran perjuangannya, tidak pernah memperdulikan apa yang disifatkan sebagai fitnah itu.

Masa berlalu, detik demi detik dan landskap politik negara juga sudah jauh berubah. Hari ini kita melihat, apa yang dilontarkan Pas terhadap UMNO kini telah terpalit kepada mereka sendiri. Isu-isu yang selama ini amat galak mereka lontarkan kepada UMNO yang dianggap sebagai musuh politik mereka, telah sedikit demi sedikit terkena pada batang hidung mereka sendiri.

Adakah rakyat masih tidak mampu melihatnya?. Mengapa dan sampai bila politik kita mesti begitu?. Pas sudah dihinggapi penyakit yang selama ini mereka tidak jangkakan. Mungkin sebab bersekongkol dengan puak-puak politik pembangkang yang lain, maka Pas mula dijangkiti penyakit tersebut.

Hal ini, tidak pernah kita fikirkan berlaku di dalam Pas tetapi sekarang ia benar-benar berlaku. Ia diakui oleh pemimpin mereka sendiri, bukannya orang lain.

Jadi, masanya untuk rakyat berfikir dan menilai dengan seadil-adilnya. Bukan jika perlu lagi, malah anda semua mesti tolak pembangkang dalam PRU ke-13 nanti.

Friday, January 1, 2010

BELAJARLAH SESUATU DI SEBALIK 2009 YANG KITA TINGGALKAN

Assalamualaikum.

Ketika saya mencatatkan ini, kalian di tanahair mungkin sudah pun meraikan ketibaan tahun 2010. Dan, itulah yang hendak saya sampaikan melalui tulisan saya kali ini. Walaupun sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakyat saya pada detik ketibaan tahun baharu ini, namun segala-galanya tetap dekat di hati saya.

Ketibaan detik 2010 ini adalah sesuatu yang mengingatkan saya kepada mereka semua. Dari jauh, saya mendoakan agar tahun baharu ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada kita semua. Itulah harapan saya.

Terbayang di fikiran saya betapa meriahnya sambutan tahun baharu ini di kampung halaman sana. Semuanya gembira meraikan satu setik yang penuh makna ini.

Yalah, seperti biasa, setiap kali datangnya tahun baharu, maka menjadi budaya orang kita untuk memulakan azam yang baharu. Azam lama bagaimana pula?. Bagi mereka yang berjaya mencapai apa yang dimahukan melalui azam yang dilafazkan setahun yang lalu, tahniah saya ucapan. Bagi mereka yang gagal pula, anda perlu lebih serius dan bersungguh dalam mencapai apa yang anda mahukan.

Kejayaan tidak mungkin dalam bergolek. Azam dan tekad pun begitu. Bagi saya, ramai di kalangan kita yang mempersendakan azam di tahun baharu sedang ia adalah sesuatu yang baik – gagasan hidup yang mengajar kita agar menjadi manusia gigih, kuat berusaha, tahan dengan ujian dan mencapai kejayaan. Yalah, azam baharu ditanam setiap kali masuknya tahun baharu. Hanya sekadar itu dan ia akan hilang hanya dalam tempoh beberapa hari.

Dalam bab yang lain, saya sebagai seorang ahli politik dan wakil rakyat sedikit bimbang dengan apa yang telah kita tinggalkan setahun yang lalu. Terlalu banyak peristiwa yang mendedahkan kita kepada pelbagai kemungkinan telah berlaku dalam tempoh yang telah kita tinggalkan itu. Kealpaan kitalah sebenarnya yang menjadi punca itu semua. Apa yang lebih baik sebenarnya, selain tidak mengulangi sebarang kesilapan pada waktu yang telah ditinggalkan, kita juga wajar mempelajari sesuatu daripada sejarah itu.

Jika saya boleh sebutkan, setahun yang lalu kita telah meninggalkan bibit perpecahan di kalangan rakyat dan umat Islam dalam keadaan yang tidak pernah “sendik’. Ia ternyata telah menggugat banyak kepentingan di negara ini. Hanya kerana perbezaan fahaman politik, umat Islam dan rakyat kita berpecah dan mereka semua telah menikmati natijah daripada sifat buruk sedemikian. Apa berbaloi atau memadai peristiwa itu berlalu begitu sahaja?.

Bagi saya, wajar ada di setiap sanubari kita bahawa tahun 2010 ini, biarlah kita semua kembali bertaut. Bertaut dalam erti kata membina kekuatan ummah dan rakyat serta berganding bahu bersama kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membawa Malaysia ke tahap yang menguntungkan kita dalam tempoh yang sepanjang mungkin.

2009 telah kita tinggalkan dengan seribu kenangan sama ada manis atau pahit. Ia juga mendedahkan kita kepada seribu satu macam kemungkinan. Apa yang pahit sepanjang setahun yang lalu pasti mampu berulang jika kita tidak menginsafinya. Oleh itu, 2010 akan menjadi lebih bermakna jika kita bijak menoleh ke belakang dan menjadikan segala-galanya itu sebagai guru yang bakal membentuk dan mencorakkan 2010 dengan wajah yang jauh lebih hebat dan berjaya berbanding 2009 yang telah kita sama-sama tinggalkan.

Buat semua, selamat meraikan ketibaan tahun baharu 2010.