Assalamualaikum.
Alhamdulillah, syukur kerana sekali
lagi saya dapat menganjurkan majlis berbuka puasa di Pejabat Parlimen Kuala
Nerus beberapa hari yang lalu.
Saya sesungguhnya sangat gembira,
teruja dan terharu dengan kehadiran para tetamu dan rakyat di Parlimen Kuala Nerus
sekalian yang bagi saya, ia adalah satu simbol kasih sayang dan persahabatan
antara kita.
Saya faham bahawa dalam kita sudah ke
arah jumlah hari berpuasa yang “menurun”, maka banyaklah yang menganjurkan
majlis berbuka puasa. Namun saya bersyukur, majlis yang saya anjurkan ini telah
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Bagi saya, kerjasama dan sokongan
sedemikian wajar diteruskan pada masa akan datang. Saya rasa, jalinan kerjasama
tersebut telah memberi impak yang baik kepada kita semua sebagai umat Islam.
Apa pun, kita sebenarnya jauh lebih
bertuah jika dibandingkan dengan rakyat di kebanyakan negara di dunia. Bukan
sahaja kita dapat mengecapi nikmat keamanan, malah rezeki yang Allah berikan
kepada kita juga melimpah ruah.
Dengan keadaan sedemikian, kita telah
dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa dan sejahtera.
Oleh kerana itu, wajarlah andainya
kita dapat menginsafi apa yang kita miliki ini dengan penuh rasa syukur.
Fikirkanlah bahawa apa yang sedang kita kecapi ini tidak semuanya mampu
dikecapi oleh orang lain.
Marilah kita belajar menjadi insan
yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menyediakan
keamanan serta kemakmuran ini.
Terima kasih kepada semua, selamat
berpuasa.