Tuesday, May 4, 2010

PRK HULU S'NGOR: BUKAN KEJAYAAN BIASA

Assalamualaikum …

Alhamdulillah, saya mempunyai sedikit kesempatan untuk sambung menulis di laman blog saya. Jadual harian yang agak ketat telah menjadi punca mengapa saya akan terbatas untuk up-date blog ini sehinggakan ramai yang tertanya-tanya. Insya’Allah saya akan cuba yang terbaik dan saya amat gembira kerana blog saya ini ramai yang mengikutinya.

Walaupun hari ini, tumpuan politik kini beralih di Sibu, Sarawak berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di sana, namun kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor masih menjadi hal yang diperkatakan banyak orang. Rata-rata mereka percaya bahawa kejayaan merampas semula kerusi tersebut telah menjadi pentanda baik kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Walaupun pembangkang telah cuba memainkan pelbagai isu termasuk mempertikaikan keputusan pilihan raya tersebut, namun rakyat sudah faham gelagat mereka di kala kalah pada sesuatu pilihan raya.

Rakyat tidak lupa, pelbagai tuduhan sengaja dilemparkan pembangkang terhadap agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa pada PRK Kuala Terengganu hujung tahun lalu. Bagaimanapun selepas mereka menang pilihan raya itu, segalanya tidak kedengaran. Maksudnya, kalau orang lain menang, itu akan dianggap dirancang dan sebagainya. Namun, bila mereka menang, tidak kedengaran langsung mereka mengkritik kerajaan.

Pedulikan soal itu. Apa yang mahu saya sampaikan ialah kejayaan di Hulu Selangor itu bukan kejayaan biasa. Di kawasan majority Melayu dan colon BN pula adalah di kalangan bukan Melayu – di saat sentiment kaum sengaja dicetuskan pihak tertentu, namun calon BN tetap menang – ia jelas menggambarkan kematangan berfikir rakyat di kawasan berkenaan. Maksud saya, mereka memilih BN sebagai pemenang kerana yakin dengan kemampuan BN dalam memerintah dan mentadbir.

Maksudnya, apa yang sebelum ini sebagainya yang tergambar dalam PRU ke-12 yang lalu, semakin hilang dan luput. Rakyat, khususnya di Selangor nampak jelas mahu kembali ke pangkuan BN. Mereka tidak percaya lagi kepada pembangkang dan kerana itu, ia telah membawa satu perubahan baharu dalam politik negara ini.

Saya optimis bahawa apa yang berlaku di Hulu Selangor tempohari adalah satu permulaan yang baik untuk BN. Ia menjadi kayu ukur berguna untuk BN terus mara ke hadapan. Apa yang penting, jentera BN terus bekerja kuat mendekati rakyat dan lebih banyak turun ke bawah mendampingi rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada jentera BN di Hulu Selangor dan saya berharap mereka akan mengulangi kejayaan yang lebih cemerlang di Sibu nanti. Saya tidak nampak BN tidak mampu kerana apa yang saya lihat, rakyat kini telah rasa tertipu dengan pembangkang selepas beberapa negeri “diberikan” kepada mereka pada PRU ke-12 yang lalu.

Terus berjuang dan semoga kejayaan itu menjadi milik kita bersama. Hanya BN yang mampu memerintah Malaysia. Hakikat itu tidak dapat ditolak lagi.

No comments: