Tuesday, May 4, 2010

JANGAN KELIRU

Salam blogger,

Apabila DYMM Sultan Selangor melarang pihak tertentu agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik, ada pihak nampaknya mula melenting. Seperti biasa, terdapat golongan tertentu mendakwa bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan dan mereka menyifatkan tindakan memisahkannya sebagai satu ajaran sekular. Bercanggah dengan Islam, kata mereka.

Nah!, di sini terdapat salah faham yang ketara mengenai isu berkenaan. Mungkin yang membuat fatwa tersebut sedar akan kenyataan itu adalah mengelirukan atau sebaliknya, itu saya tidak pasti. Namun, sebagai seorang ilmuan, mereka yang membuat fatwa tersebut tentu sekali sedar apa yang dia maksudkan.

Isu ini memang agak sensetif, namun salah faham ini wajar dirungkaikan bagi mengelak sebarang kekeliruan. Apa yang mahu saya jelaskan sangat mudah untuk kita memahami.

Saya BERSETUJU bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan kerana Islam itu adalah agama yang syumul dan lengkap. Bagaimanapun semua politik tidak boleh dicampurkan dalam hal ehwal agama. Maksud saya ialah, politik yang mengajak umat Islam kepada kehancuran atau politik yang mempunyai sifat-sifat yang menjurus kepada yang diharamkan.

Misalnya, politik menabur fitnah, menyebarkan dakyah, bercakap secara di luar akhlak Islam sebenar, bertindak ke arah memecahbelahkan ummah – adakah itu politik yang dihalalkan?. Ini persoalannya. Apakah politik seperti ini yang hendak kita campurkan dengan agama kita Islam?.

Sekali lagi, kita tidak menolak bahawa politik adalah sebahagian daripada agama, namun apa yang DITOLAK ialah politik yang merosakkan umat Islam dan menjejaskan imej kesucian agama Islam itu sendiri. Justeru, apabila ada pihak mendabik dada kononnya politik dan agama tidak boleh dipisahkan secara umumnya, termasuk mencampuri politik yang diharamkan, maka itu adalah sesuatu yang mengelirukan.

Lihat juga dalam hal lain sebagai contoh. Hiburan misalnya. Ia juga tidak boleh dipisahkan dengan agama. Memisahkannya akan menjadikan kita menafikan lengkapnya Islam itu dan boleh menjurus kepada kerosakan akidah kita. Namun, apakah hiburan yang berunsur maksiat juga dianjurkan Islam. Pastinya tidak!. Inilah yang dimaksudkan bahawa perlu ada “pemisah” antara yang halal dan haram.

Politik dibolehkan, namun biarlah politik yang dihalalkan. Itu jelas. Oleh itu saya melihat titah DYMM Selangor sebagai sesuatu yang jelas mesejnya. Baginda tidak mahu melihat institusi masjid tercemar dengan politik yang tidak sejajar dengan ajaran Islam sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

Jadi, rakyat jangan terkeliru dengan fatwa yang karut. Kita perlu jelas dalam isu ini dan tidak terikut-ikut dengan sentimen yang tidak sepatutnya.

Apa pun, saya percaya, umat Islam di negara kita sedia maklum akan hal ini. Cuma, jika ada yang terpedaya, mereka adalah golongan yang terlalu fanatik dan emosi. Tidak lebih dari itu.

1 comment:

shaifulrizal said...

salam YB...

maksud DYMM Sultan Selangor tu memang jelas bagi saya yg kurang dlm ilmuan ni..tapi pihak sana sengaja buat2 tak faham..

YB...siapa makan cili..dia terasa pedas!