Sunday, December 27, 2009

BERSYUKUR DI ATAS PEMBEBASAN NELAYAN SEBERANG TAKIR

SELEPAS BERBINCANG ... Dari kiri depan: Anggota polis Malaysia di Pontianak, DSP Mahbob, Konsulat Malaysia di Pontianak, Encik Zairi, Pengarah Pusat Kelautan Indonesia, Bapak Bambang, saya, Pegawai Imigresen Malaysia di Pontianak, Cik Nazirah dan Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Puan Aida selepas perbincangan mengenai pembebasan lima nelayan Seberang Takir yang ditahan di Pusat Tahanan Laut Indonesia di Pontianak baru-baru ini.

Salam blogger …

Syukur Alhamdulillah, empat nelayan dari Seberang Takir yang ditahan di perairan Indonesia bulan lalu akhirnya telah dibebaskan dan kini telah pun selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Sebagai seorang wakil rakyat mereka, saya amat terharu dan gembira dengan pembebasan mereka.

Berita mengenai pembebasan Musa Mohammad, 33 tahun, Ahmad Puad, 23 tahun, Mohd Arif Rosli, 20 tahun, dan Ahmad Faisal Sulong, 23 tahun telah dimaklumkan oleh Konsulat Malaysia di Pontianak, Encik Zairi kepada saya melalui telefon kelmarin. Walaupun tekong bot berkenaan, Wan Budiman Che Wan Ngah, 31 tahun masih belum dibebaskan kerana perlu melalui beberapa proses perundangan negara jiran itu, namun saya tetap mendoakan agar beliau segera dibebaskan. Usaha ke arah pembebasan beliau akan diteruskan lagi.

Walaupun saya kini berada di luar negara kerana urusan keluarga, pembebasan mereka memberikan maknanya yang tersendiri buat saya. Pada 20 November lalu, saya dan isteri serta Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Puan Aida telah berlepas ke Pusat Tahanan Laut Indonesia di Pontianak bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian penahanan nelayan terbabit selain melihat apakah bentuk bantuan yang boleh saya berikan.

Dalam pertemuan dengan nelayan terbabit, mereka telah diberikan layanan yang baik sepanjang di sana dan tidak ditempatkan di penjara. Sebaliknya mereka ditahan di Pusat Tahanan Laut sahaja yang tempatnya agak selesa.

Syukur Alhamdulillah pada waktu itu, saya mendapat penjelasan yang baik dan usaha-usaha untuk membebaskan mereka ini telah pun berjalan hasil perbincangan saya dengan pihak berkenaan di sana. Selain menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka, saya juga sempat memberikan kata-kata semangat kepada mereka agar tabah menghadapi dugaan ini.

Mereka ini sepatunya dibebaskan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha lagi, namun disebabkan perkara tertentu, maka ia telah tertangguh sehingga kini.

Saya berdoa agar mereka ini sentiasa sihat sejahtera dan mengambil sebanyak mungkin pengajaran di sebalik peristiwa yang telah dilalui. Sudah tentu harapan saya, semua pihak perlu lebih berhati-hati selepas ini agar peristiwa sama tidak lagi berulang.

3 comments:

FATIMAH said...

yb dato' mmg sorang pejuang sejati. kami anak seb takir bangga dgn dato'. inilah pemimpin yg mengutamakan dato'.

Anonymous said...

aa

Anonymous said...

Oleh itu tindakan tentera laut Indonesia ( TNI-AL ) menembak bot nelayan Malaysia dalam jarak 200 Batu Nautika ( 370 KM ) dari pantai timur Semenanjung iaitu 138 Batu Nautika dari pantai Terengganu hingga mencederakan tekong Che Wan Budiman Che Wan Ngah adalah tindakan keterlaluan di luar batas kemanusiaan serta mencabuli kedaulatan perairan Malaysia. Ini diperkukuhkan dengan kenyataan nelayan Malaysia terbabit, yang mendakwa kejadian berlaku masih di dalam perairan ZEE Malaysia berdasarkan GPS yang ada di bot mereka. Selain itu perairan antarabangsa yang dituntut sebagai perairan ZEE Indonesia berhampiran lokasi kejadian masih menjadi pertikaian antara Malaysia, Indonesia dan Vietnam.