Saturday, November 19, 2011

NILAI KEJAYAAN

Assalamualaikum ..

Tahniah saya ucapkan kepada anak-anak yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR yang diumumkan Khamis lalu. Kepada yang tidak berjaya, adik-adik masih ada waktu untuk terus meningkatkan usaha bagi memperolehi lebih kecemerlangan.

Sebagai anak Terengganu, saya amat bangga apabila negeri saya sekali lagi mengekalkan rekod cemerlang dalam keputusan UPSR – sekaligus muncul sebagai negeri terbaik dalam tempoh sebelas tahun berturut-turut – satu pencapaian yang di luar jangkaan dan sewajarnya dibanggakan.

Lihat sedikit analisis mengenai keputusan tersebut. Daripada 22,801 calon yang menduduki UPSR tahun ini, seramai 3,548 peratus atau 15.6 peatus telah mencapau keputusan 5A.

Ini sudah tentu merupakan pencapaian yang baik apabila ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding apa yang telah dicapai tahun lalu.

Bagi saya, kejayaan tidak datang bergolek. Perjuangan untuk memperolehi kejayaan tidak hanya bermodalkan dengan air liur semata-mata. Banyak pihak yang berkait dengan kejayaan ini. Selain anak-anak yang gigih berusaha dan ditambah dengan petua-petua tertentu, maka guru dan ibu bapa juga turut memainkan peranan.

Kerajaan pula telah menyediakan peruntukan yang besar saban tahun bagi memastikan rakyat memperolehi pendidikan yang sempurna. Kejayaan dalam UPSR itu adalah satu bukti betapa usaha kerajaan kita selama ini telah menampakkkan hasil.

Terima kasih saya ucapkan kepada guru yang banyak menyumbang bakti dan tidak pernah mengalah dalam memikul tanggungjawab bagi mencapai kejayaan tersebut.

Jika dilihat pada riak wajah murid yang berjaya dan guru yang menjayakannya, saya percaya perkembangan seperti ini amatlah sihat dan wajar diteruskan.

Hubungan silaturrahim yang akrab antara guru dan murid dengan ibu bapa sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.

Sebagai seorang pemimpin, saya sentiasa mengikuti dengan dekat perkembangan pendidikan anak-anak kita di sekolah. Saya berhubung rapat dengan Jabatan Pelajaran serta pihak sekolah untuk mengikuti perkembangan anak-anak kita.

Saya berhaap, kejayaan yang dicapai melalui UPSR dan peperiksaan lain wajar diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang.

Sesungguhnya persaingan dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan ini adalah satu perkara yang sihat, kerana ia akan menuntut kita agar bekerja dengan lebih kuat bukan sahaja bagi mengekalkan kejayaan tetapi juga meningkatkan kecemerlangan.

Itulah cabaran apabila berjaya dan saya berharap ianya akan dipikul dengan penuh semangat oleh semua pihak – kerajaan, guru, pelajar dan ibu bapa sendiri – mudah-mudahan kejayaan akan sentiasa memihak kepada kita.

Insya’Allah.

Thursday, November 3, 2011

TERCABAR LAGI.... SAMPAI BILA?

Gambar Hiasan

Assalamualaikum.

Sekali lagi negara dikejutkan dengan isu penganjuran Seksualiti Merdeka yang dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk membuka ruang terhadap isu-isu seksual songsang dengan berselindung di sebali hak asasi manusia.

Semalam di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan mengenai isu ini dengan ada yang menyifatkannya sebagai budaya binatang. Mungkin ramai yang tidak faham mengenai program tersebut dan kerana itu, reaksi segera mereka gagal dikesan. Program tersebut dikatakan mempromosikan budaya seksual yang bertentangan dengan Islam dan adapt timur yang sekian lama kita amalkan.

Malah, mereka yang terlibat menyokong program ini pula bukanlah calang-calang orang. Ia terdiri daripada NGO yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia selain individu yang dikaitkan dengan program ini adalah manusia yang sama terlibat dengan perhimpunan BERSIH yang diharamkan itu.

Walaupun sebagai seorang pengamal politik, saya tidak melihat isu ini dalam konteks berkenaan. Sebaliknya saya ingin melihat perkara tersebut sebagai seorang rakyat – di mana sebenarnya akibat daripada sikap orang kita sendiri, maka ada orang lain yang lebih berani melakukan sesuatu yang boleh mengancam, menghina dan mencetuskan keadaan yang diharamkan agama Islam yang Maha Suci.

Sudah acapkali umat Islam diuji dalam isu-isu yang sensetif tetapi mereka masih tidur dan lena. Oleh kerana itu, mereka mudah terbuai dan tidak sensetif dengan isu-isu yang melibatkan dengan kepentingan mereka.

Bagi rakyat yang fanatik, apa yang dilakukan oleh puak dan golongan sekutu mereka, mereka akan memplaster mulut dan tutup telinga. Mereka tidak berminat. Inilah manusia yang sentiasa memakai topeng. Dan, ini jugalah cabaran serta masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar lebih sensetif terhadap isu berkenaan dan tidak memandangkan sebagai hanya perkara terpencil. Bagi saya, ini adalah satu ancaman dan cabaran kepada rakyat dan umat Islam.

Ingat, ada hal-hal yang boleh kita kompromosi, namun ada hal-hal tertentu pula, kita tidak boleh bertolak ansur, apatah lagi ia berada pada tahap yang melampau.

Kita telah berada di dalam sebuah negara Malaysia yang sangat aman damai. Oleh kerana itu, jangan ada mana-mana pihak yang cuba meragut keamanan dan keharmonian itu dengan menganjurkan acara yang bukan-bukan di negara ini.

Sedarlah, kita sedang diperhati dan setiap ruang kelemahan kita akan diambil kesempatan oleh manusia yang tidak pernah tahu bersyukur itu.

Sedarlah rakyat.

Tuesday, November 1, 2011

TERIMA KASIH PENYOKONG TERENGGANU

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Agak lama juga saya tidak update blog saya ini. Kesuntukan waktu telah menyebabkan ia berlaku dan selalunya, ia tidak boleh dielakkan.

Hari ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Terengganu yang mara ke peringkat akhir Piala Malaysia musim 2011 walaupun tewas di tangan Negeri Sembilan 1-2 di Stadium Shah Alam Sabtu lalu. Memang kecewa, sesiapa pun akan merasai perkara yang sama jika diminta mengulas keputusan perlawanan itu.

Apa pun, kalah menang adalah adat perlawanan. Ada juga yang mengembirakan saya. Saya gembira apabila pemain Terengganu telah melakukan yang terbaik untuk menang walaupun ada beberapa kelemahan yang bagi saya masih boleh diperbetulkan pasa masa akan datang. Ingat, sekurang-kurangnya Terengganu telah mara ke perlawanan akhir – satu perlawanan yang hanya melibatkan dua pasukan terbaik dari semua pasukan dalam sepanjang musim. Itu sudah memadai dan mengembirakan sebenarnya.

Lebih mengembirakan saya apabila melihat kerterujaan penyokong Terengganu. Mereka berduyun-duyun membanjiri Stadium Shah Alam tanpa mengira usia sebagai sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan Terengganu, pasukan kegemaran mereka.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan isu kenaikan mendadak harga tiket perlawanan sepertimana diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun mereka tetap membeli tiket. Bagi mereka yang tinggal di Kuala Terengganu, mereka sedikit bernasib baik kerana Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju membiayai 50 peratus harga tiket yang dibeli peminat Terengganu.

Tapi mereka yang tinggal di Lembah Kelang atau kawasan-kawasan lain, mereka tetap membeli dengan harga RM50 tiket perlawanan. Apa yang pasti, kesemua kerusi adalah penuh dan ini membuktikan betapa kesetiaan penonton dan peminat, khususnya kepada pasukan Terengganu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Saya berharap, sokongan ini akan diteruskan pada masa akan datang. Bola sepak tanpa peminat dan penyokong tidak akan ke mana.

Kepada mereka yang kecewa, marilah kita menerima hakikat bahawa nasib tidak menyebelahi kita untuk menang. Namun, apa yang penting, kita telah melakukan yang terbaik untuk menang.

Saya berdoa agar Terengganu akan terus cemerlang tahun depan dengan pasukan yang lebih mantap dan hebat. Saya percaya, Terengganu akan terus kekal sebagai kuasa besar bola sepak pantai timur untuk tempoh yang seterusnya jika kita semua mempunyai kesungguhan untuk mengekalkannya.

Terima kasih kepada semua.

Wednesday, October 5, 2011

BN TELAH LAKUKAN APA SAJA UNTUK RAKYAT

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, dapat juga saya luangkan sedikit masa untuk menulis sebelum melelapkan mata sekejap. Sidang Parlimen baru sahaja selesai malam ini dan akan disambung esok. Syukur kerana dapat menunaikan amanah yang telah diberikan ini dengan sempurna.

Alhamdulillah, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah pun menunaikan janjinya untuk memansuhkan beberapa akta. Hari ini, Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) telah dimansuhkan dan sekaligus menyaksikan ratusan tahanan akan dibebaskan serta-merta, manakala waran tangkap yang dikeluarkan juga dibatalkan.

Malah kerajaan BN yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sebelum ini sentiasa dijadikan senjata oleh pembangkang.

Sebagai pemimpin kerajaan, saya boleh menyatakan bahawa kami telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Walaupun ada tindakan yang memerlukan sedikit masa untuk melalui proses perubahan atau pembaharuan, namun semua itu penting sebagai tempoh penilaian agar apa yang bakal diputuskan tidak merugikan rakyat dan negara.

Bagi pihak rakyat pula, saya fikir rakyat perlu lebih terbuka dalam menerima transformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri kita. Kita tidak boleh terabai dengan membuat andaian atau telahan awal terhadap sesuatu perkara tanpa mengetahui bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat adalah menjadi sesuatu yang sentiasa dipertimbangkan oleh kerajaan dan pemimpinnya.

Hakikatnya, segelintir rakyat kita mudah termakan atau terjebak dengan dakyah pembangkang yang sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan BN sedangkan pembangkang sendiri tidak berbuat apa-apa pun untuk rakyat dan negara.

Kita harus jujur dan adil bahawa hampir segala-galanya telah disediakan kerajaan BN untuk rakyat. Dan, setiap kali Parlimen bersidang, isu-isu kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan walaupun banyak waktu persidangan kadangkala diganggu pembangkang yang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan rakyat.

Oleh itu, saya berharap rakyat akan lebih bersyukur di atas nikmat yang ada di negara ini dan tidaklah mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang merugikan mereka.

Nasihat saya, rakyat mesti bijak dalam keadaan sekarang. Kita tidak boleh mudah menjadi alat atau diperalatkan. Itu yang penting.

Apatah lagi dengan iklim politik yang semakin menjurus ke arah pilihan raya, maka macam-macam lagilah yang pembangkang sengaja timbulkan.

Berhati-hatilah kita dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.





Tuesday, September 13, 2011

HARAPAN SAYA KEPADA CALON UPSR

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, hari ini (Selasa), anak-anak kita akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya doakan, anak-anak kita yang selama ini menghabiskan banyak waktu mentelaah pelajaran akan memberikan jawapan terbaik pada ujian tersebut.

Saya percaya, dengan usaha gigih anak-anak serta disokong oleh doa dan dorongan daripada ibu bapa, anak-anak kita akan mencapai kejayaan. Saya berpendapat, hari ini adalah antara saat paling getir bagi anak-anak kita yang bukan sahaja mempunyai impian serta harapannya sendiri tetapi sudah tentu terlalu teruja bagi memenuhi impian ibu bapa juga.

Insya'Allah saya akan turun padang dan meninjau beberapa sekolah di kawasan Parlimen Kuala Nerus bagi memberikan sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan tersebut. Saya juga akan bertemu ibu bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah nanti untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Saya ingin sampaikan kepada mereka bahawa kejayaan anak-anak bukan sahaja menjadi harapan mereka sebagai ibu bapa tetapi juga saya sebagai pemimpin yang mereka pilih.

Saya sangat gembira dan teruja sebenarnya untuk bertemu mereka dan saya sebenarnya juga tidak sabar-sabar untuk ke sekolah bagi menunaikan apa yang saya sebutkan tadi. Umum mengetahui bahawa Terengganu telah mencatatkan kecemerlangan dalam UPSR bertahun-tahun lamanya. ia satu rekod yang menjadi saingan kepada sekolah di negeri-negeri lain.

Oleh itu, sebagai wakil rakyat, saya amat mengharapkan agar Terengganu sekali lagi akan dapat mengekalkan rekod tersebut. Bagaimanapun di tangan anak-anaklah yang akan menentuk impian serta harapan itu akan menjadi impian atau sebaliknya.

Sebenarnya saya mengikuti dengan dekat usaha anak-anak dan ibu bapa dalam usaha mereka mencapai kejayaan ini. Kegigihan ibu bapa menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak termasuk menghantar mereka ke kelas tuisyen misalnya telah menjadi sebahagian hal yang biasa bagi ibu bapa. Itu tidak termasuk kelas-kelas yang diatur di rumah. Semuanya sebagai usaha untuk memastikan anak-anak kita mencapai kejayaan.

Tahniah saya ucapkan kepada ibu bapa yang sentiasa cakna, memberikan perhatian dan ingin melihat kejayaan anak-anak mereka.

Kejayaan mereka adalah kegembiraan saya. Doa saya, mereka semua, khususnya di dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus akan memperolehi keputusan yang terbaik, insya'Allah.

Wednesday, August 24, 2011

RAMADAN YANG SEMAKIN MENINGGALKAN KITA

Assalamualaikum.

Begitu pantas waktu berlalu, Ramadan semakin hari, semakin meninggalkan kita. Walaupun kita bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah untuk menemui Ramadan kali ini, namun apakah kita mungkin berkesempatan untuk menemui Ramadan sekali lagi nanti.

Apa pun, kita menyambut Ramadan dengan rasa penuh syukur dan nikmat di negara kita. Saya melihat dengan dekat suasana dan keindahan menyambut Ramadan di negara kita berbanding dengan kebanyakan negara di dunia. Hari ini, rata-rata program membantu masyarakat bukan sahaja tertakluk kepada wakil rakyat semata-mata. Semua orang kini berlumba-lumba turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Mengapa semua itu berlaku. Apa yang hendak saya sampaikan ialah, betapa sebenarnya rezeki itu sedang melimpah ruah di negara kita. Kita bersyukur kepada Allah kerana telah mengurniakan pemimpin negara yang mampu bekerja demi rakyat dan negaranya, bukan hanya pandai berkata-kata. Sama ada kita suka atau sebaliknya, apa yang sedang kita kecapi di Malaysia hari ini adalah sesuatu yang jarang-jarang ada di mana-mana.

Walaupun seringkali kita mendengar ada pihak yang menuduh, mengganggu dan melemparkan pelbagai fitnah kepada kerajaan BN, namun golongan itu jika dilihat atau ditanya kepada mereka, mereka tidak menyumbang apa-apa kepada negara. Mereka hanya menghabiskan masa dengan perangai lama dan membaca skrip lama di pentas ceramah politik. Mereka ini berjuang dengan bermodalkan air liur semata-mata dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Meski pun kadangkala saya sendiri pun terkilan dengan segelintir rakyat yang masih terpedaya dengan golongan seperti ini, namun saya sentiasa berdoa agar rakyat menyedari betapa sebenarnya mereka akan menjadi golongan yang rugi jika terjebak dengan manusia yang hanya tahu menyalahkan orang lain, sedangkan dia tidak melakukan apa-apa.

Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada Ramadan di negara kita yang bertuah ini. Selain rezeki yang melimpah ruah, kita juga hidup dalam keadaan aman damai tanpa apa-apa gangguan. Keselesaan itulah kadangkala telah dan boleh menyebabkan kita alpa dan memandang mudah perkara-perkara yang secara halus boleh menggugat apa yang kita miliki selama ini.

Saya berdoa agar seluruh rakyat akan terus diberikan hidayah dan terpelihara dari segala dosa dalam bulan Ramadan ini dan bulan-bulan yang seterusnya. Marilah kita menjadi rakyat yang bukan sahaja tahu bersyukur di atas nikmat yang ada dan berterima kasih kepada kerajaan BN di atas bantuan dan sumbangannya terhadap negara dan rakyat tetapi biarlah kita menjadi rakyat yang bijak dalam menilai setiap peristiwa yang berlaku.

Mudah-mudahan kita menjadi rakyat dan insan yang terbaik, insya'Allah.

Wednesday, July 6, 2011

NIAT SEBENAR BERSIH MERAGUKAN

Assalamualaikum.

Selepas kecoh satu dunia mengenai rancangan sebuah pertubuhan haram, BERSIH yang mahu menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai 2011, akhirnya rancangan itu dibatalkan selepas ketua mereka, seorang peguam, Ambiga menghadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong.

Bagaimana mereka berkata, perhimpunan akan tetap diteruskan tetapi akan diadakan di stadium termasuk mencadangkan perhimpunan haram itu diadakan di Stadium Merdeka yang menjadi detik bersejarah kepada kemerdekaan negara.

Apa pun rancangan BERSIH ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dan baik untuk dipertimbangkan oleh rakyat mengenai apakah tujuan sebenar perhimpunan haram itu hendak diadakan.

Pertama, sebelum ini mereka mendakwa perarakan atau demonstrasi jalanan yang mahu mereka lakukan adalah untuk menyerahkan memorandum kepada SPB Yang Dipertuan Agong. Namun apabila mereka mempunyai peluang terbaim menghadap Seri Paduka Baginda, apakah mereka menyampaikan memorandum tersebut? jawapannya, tidak. maka di sini ada sesuatu yang tidak kena terhadap niat BERSIH untuk mengadakan perhimpunan haram.

Kedua: Benarkan pilihan raya Malaysia tidak bersih?. Kalau tidak bersih mengapa pembangkang boleh menang empat negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerusi BN di Parlimen?. Sebenarnya, pilihan raya dianggap tidak bersih hanya apabila mereka kalah tetapi di tempat mereka menang, mereka akan kata pilihan raya itu bersih. Inilah bagi saya, tafsiran yang sesat daripada BERSIH mengenai proses pilihan raya kita. Di sini juga ada niat yang meragukan yang boleh kita lihat di sebalik tujuan mereka mahu mengadakan perhimpunan haram itu.

Ketiga: Mengapa mereka tidak mahu berunding dan tidak menggunakan saluran Parlimen misalnya untuk menyuarakan pandangan serta rasa tidak puasa hati mengenai pilihan raya?. Sekali lagi, ia mendedahkan niat sebenar mereka ini.

Saya teringat ketika PAS suatu waktu dulu beriya-iya hendak menegakkan negara Islam di Malaysia dan mendakwa UMNO dan BN kafir kerana melaksanakan undang-undang penjajah. Pada waktu itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Presiden PAS, (Allahyarham) Datuk Fadzhil Noor agar membentangkan di Parlimen satu perlembagaan negara Islam yang PAS nak laksanakan. Sampai Presiden PAS itu meninggal dunia dan sehingga Pas terpaksa ubah dasar daripada negara Islam kepada negara kebajikan, undang-undang tersebut belum dibentangkan.
Inilah wayang sebenar yang mereka mainkan untuk menipu dan membohongi rakyat. Saya percaya, rakyat tidak bodoh. Yang fanatik dengan pembangkang, mereka akan terus fanatik tetapi rakyat yang lainnya akan sedar betapa sebenarnya Bn jauh lebih baik dari pembangkang.

Belajar di Thailand. Baju kuning yang tidak berpuas hati dengan kerajaan mengambil jalan mudah menggulingkan kerajaan di jalan raya tetapi selepas sepenggal, baju kuning dikalahkan semula dalam pilihan raya umum Thailand beberapa hari lalu.

Apakah kita tidak lihat apa yang telah berlaku itu?. Sedarlah dan belajarlah daripadanya.