Sunday, October 10, 2010

MINI KONVENSYEN KUALA NERUS BERJAYA

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, UMNO Bahagian Kuala Nerus telah berjaya mengadakan Mini Konvensyennya hari ini sebelum semua pemimpin UMNO empat peringkat menyertai Konvensyen Terengganu yang akan diadakan pada 16 Oktober ini.


Saya sangat gembira sebenarnya apabila UMNO Bahagian Kuala Nerus adalah satu-satunya yang menganjurkan Pra Konvensyen atau Mini Konvensyen yang menghimpunkan pemimpin akar umbi parti bagi membincangkan pelbagai isu-isu yang berkaitan kepentingan parti, rakyat dan kerajaan negeri.


Hari ini, mereka telah duduk bersama, berfikir dan berbincang mengenai isu-isu yang dimaksudkan di mana idea serta pandangan mereka ini akan dibawakan pula pada Konvensyen Terengganu itu nanti.


Hari ini, saya melihat kesungguhan mereka melontarkan idea dan memberikan pandangan yang bagi saya, ia menggambarkan betapa mereka sebenarnya sangat sayangkan UMNO. Sebagai pemimpin bahagian, saya telah melihat semua pandangan yang diberikan sebagai penting.


Sama ada ia positif atau sebaliknya, apa yang mereka perkatakan bagi saya adalah sesuatu yang menuntut saya mengambil perhatian yang serius. Apatah lagi Kuala Nerus akan dinaik taraf sebagai sebuah daerah baharu, Mini Konvensyen ini adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi saya dan seluruh ahli UMNO serta penduduk di Kuala Nerus itu sendiri.


Lebih mengembirakan apabila tokoh professional yang terdiri daripada bekas pemimpin kanan kerajaan serta pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam turut sudi menyertai Mini Konvensyen ini dengan memberikan pelbagai input serta pandangan berguna buat UMNO.


Ya, hakikatnya kita harus bersedia – bukan sahaja dalam konteks untuk melihat pembangunan material tetapi juga pemikiran masyarakat Kuala Nerus apabila ia menjadi sebuah daerah Baru kelak. Inilah bagi saya yang telah menjadi cabaran penting buat kita semua di Kuala Nerus.


Saya percaya, beberapa cadangan yang dikemukakan pada Mini Konvensyen tersebut bakal membantu mencorak serta membentuk wajah Kuala Nerus ke era yang lebih meyakinkan selepas ini.


Bagi pihak rakyat pula, mereka harus melihat perkara tersebut dari sudut yang positif serta tidak terikut dengan rentak pihak tertentu yang hanya melihat dari sudut politik semata-mata.


Hari ini, kita bukan bersatu hati dalam Mini Konvensyen di Kuala Nerus ini tetapi juga kita telah bersatu suara untuk melihat Kuala Nerus terus berubah dalam tempoh yang singkat.


Kita telah meminta untuk melihat Kuala Nerus menjadi sebuah daerah baharu tetapi pada masa yang sama kita harus bersedia dengan pelan tindakan ke arah tersebut agar apa yang kita inginkan akan lebih cepat menjadi kenyataan. Itulah harapan saya kepada ahli parti, pendokong dan penyokong parti UMNO serta seluruh penduduk di Kuala Nerus.


Terima kasih kepada anda semua.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Dato,diharap program seperti ini dapat memberi kepada UMNO Kuala Nerus dan kepada UMNO am nya. Semoga progaram percambahan pendapat seperti ini dapat diadakan dgn lebih kerap.Saya sentiasa menberi sokongan Dato.
Sekian Terima Kasih.