Monday, August 4, 2008

Nasir mendahului pencalonan Ketua Umno Bahagian


KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim (gambar) Fikri mendahului senarai pencalonan untuk mengekalkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus apabila menerima undian tertinggi setakat ini.
Sebanyak 26 daripada 102 cawangan UMNO Kuala Nerus yang mengadakan mesyuarat sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 16 mencalonkan Mohd. Nasir.
Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Basir Ismail menerima lima undian manakala bekas ahli Parlimen kawasan itu, Che Azmi A. Rahman mendapat empat undian dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus, Hassan Ali memperoleh satu undian.
Semua ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus memerlukan undian sebanyak 20 peratus daripada 102 cawangan UMNO Kuala Nerus iaitu kira-kira 21 undi bagi membolehkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian.
Mohd. Nasir ketika ditemui melahirkan keyakinan akan mendapat undian yang mencukupi bagi membolehkannya mempertahankan jawatan tersebut.
''Sebanyak 10 cawangan UMNO Kuala Nerus akan mengadakan mesyuarat hari ini, manakala lapan lagi cawangan dijangka mengadakannya esok.
''Saya jangka dapat melihat siapa yang akan mengepalai senarai pencalonan selepas 54 cawangan selesai mengadakan mesyuarat esok," katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni dan Budaya sempena sambutan ulang tahun Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RMAD) di Kem Sri Pantai di sini hari ini.
Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang pertama di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 12 Julai lalu memutuskan agar semua jawatan Ketua UMNO Bahagian di negeri ini tidak akan dipertandingkan.
Ahmad turut menasihatkan ahli-ahli UMNO Terengganu supaya tidak merebut jawatan berkenaan bagi memastikan keutuhan dan perpaduan dalam parti.

1 comment:

Unknown said...

bertanding untuk bekhidmat. bekhidmat untuk parti. Parti didukung orang Melayu. Melayu untuk dibela. Dibela untuk kemajuan bangsa, negara & agama.
dunia dah maju..zaman dah berubah