Sunday, June 27, 2010

WAJAH KEBEBASAN MEDIA?

Antara fitnah yang selalu dimainkan akhbar pembangkang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.


Kebebasan media seringkali menjadi isu di negara kita. Pembangkang misalnya seringkali mendakwa kononnya kebebasan media disekat dan tidak lagi subur. Bagi rakyat yang kurang sensetif dengan isu-isu berkaitan, mereka akan lebih mudah terpedaya. Soalnya, adakah benar dakwaan pembangkan itu.


Jika ditanya saya, ada beberapa persoalan yang harus mereka jawab sebelum tergamak membuat dakwaan seperti itu. Apakah wajah kebebasan media yang mereka mahukan. Apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan. Apakah dengan menyebarkan fitnah juga sebahagian daripada tuntutan kebebasan?. Atau, adakah kebebasan media itu kebal daripada undang-undang yang menjadi pelindung kepada kita semua?. Inilah beberapa persoalan yang mungkin lebih baik jika mereka dapat menjawabnya sebelum membuat andaian kononnya kebebasan media di negara kita kian susut.


Contoh paling dekat ialah apabila akhbar pembangkang, Suara Keadilan yang melaporkan satu berita fitnah mengenai Felda. Sebagai seorang pemimpin rakyat, saya menyokong penuh tindakan Felda untuk menyaman akhbar berkenaan dan pemimpin parti pembangkang yang membuat tuduhan tersebut.


Persoalannya, adakah ini wajah kebebasan media yang kita mahukan ia subur di negara kita?. Jika inilah kebebasan yang dimaksudkan pembangkang, maka ia akan mendedahkan masyarakat kepada pelbagai masalah. Kebebasan harus ada batasnya. Kebebasan mutlak akan hanya mendedahkan kita kepada mala petaka yang tidak diundang.


Maksud saya, kebebasan yang terbaik ialah yang sentiasa diurus oleh undang-undang yang digubal sebagai pelindung kepada kita semua. Kebebasan tidak boleh dibiarkan berlegar hanya kerana namanya adalah kebebasan. Malah, tidak ada sejarah di dunia bahawa kebebasan mutlak menjamin kebaikan kepada masyarakatnya. Hal ini adalah satu fakta yang tidak mungkin akan berubah atau boleh diubah.


Rakyat kita harus memahami mengenai nilai kebebasan itu sendiri. Masalah kita di Malaysia sebenarnya berpunca daripada politik. Ertinya, semua perkara hendak dipolitikkan pembangkang termasuk soal kebebasan. Memanglah kita akan mudah terasa atau tersinggung apabila kemahuan kita disekat. Namun, harus dilihat apakah kemahuan itu. Adakah ia menepati kehendak undang-undang atau sebaliknya. Itulah persoalannya.


Sebetulnya, tiada sesiapa pun yang boleh menyekat setiap kamahuan jika ia bertepatan atau memenuhi tuntutan undang-undang. Bukankah undang-undang itu sendiri menjadi pelindung kepada kita sebagai rakyat. Cuba anda fikirkan, apakah yang akan terjadi jika undang-undang tidak lagi menjadi pelindung kepada kita kerana kononnya kebebasan (termasuklah kebebasan media) adalah mengatasi undang-undang.


Dalam hal ini, rakyat kita harus bijak menilai dan berfikir. Mereka tidak boleh terlalu mudah terjebak dengan pelbagai dakyah atau fitnah yang sengaja dicetuskan pembangkang kononnya atas nama kebebasan. Kita sebagai rakyat harus keluar daripada kepompong pemikiran yang sempit. Kita seharusnya lebih pintar menilai mengenai setiap perkara yang dimomokkan kepada kita.


Jika itu dapat dilakukan, saya yakin dan percaya, ia akan dapat membantu menjadikan kita sebagai rakyat yang berkualiti dan lebih berwibawa.

No comments: