Wednesday, July 28, 2010

UMNO KUALA NERUS TERUS KUKUH

Assalamualaikum.

Mesyuarat UMNO Bahagian kini telah pun selesai. Walaupun terdapat bahagian yang bermasalah, namun saya gembira kerana Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus berjaya diadakan dengan begitu baik.

Walaupun mungkin seperti agak lewat untuk saya menulis mengenainya, namun saya percaya hal yang baik, walaupun ia telah lama berlalu, ia tetap baik untuk diperkatakan.

UMNO Kuala Nerus boleh dikatakan sangat menarik dan unik. Banyak keistimewaan dalam senario politik di bahagian ini sebenarnya. Sejak dahulu lagi, persaingan UMNO dengan PAS sentiasa ada. Malah, ia berubah-ubah. Apa yang saya faham mengenainya ialah ia menggambarkan mengenai pemikiran pengundi di sini. Mereka lebih bijak dan matang sebenarnya.

UMNO Bahagian Kuala Nerus juga tidak terlepas daripada “hal-hal kekeluargaan” sehingga ia menarik perhatian umum. Pun begitu, saya gembira apabila kami sangat bersatu dalam hal-hal yang mempunyai kepentingan politik. Adakalanya apa yang digambarkan mengenai UMNO Bahagian Kuala Nerus tidak seperti apa yang sebenarnya ada atau wujud.

Demikianlahlah keistiwewaan UMNO Bahagian Kuala Nerus ini. Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian baru-baru ini telah menterjemahkan hakikat betapa sebenarnya kami sangat sayang dan cintakan UMNO serta perjuangan ini walaupun pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui.

Apatah lagi dalam iklim politik Terengganu yang dilihat masih tidak menentu, UMNO Bahagian Kuala Nerus bertekad untuk memastikan kami sentiasa kuat dan kukuh serta mampu mendepani setiap cabaran politik mendatang dengan jayanya.

Harapan saya, UMNo Bahagian Kuala Nerus akan muncul antara kubu terkuat UMNO dan BN pada masa akan datang, insya’Allah.

Monday, July 19, 2010

KEANEHAN POLITIK, BERUBAHLAH.

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Politik sungguh aneh. Cara orang bermain politik juga aneh. Orang politik lagi aneh. Maka, demikianlah politik.

Zamn sudah jauh berubah. Dan, iklim serta watak politik kita juga turut berubah. Hari ini, apabila saya memikirkan mengenai politik, ia boleh menyebabkan saya tersenyum sendirian. Lucu ada, pelik ada, bimbang ada. Sakit hati pun ada.

Terfikir di fikiran saya. Apa hendak jadi dengan politik kita. Politik selalu menghalang sesuatu yang baik. Perpaduan misalnya. Politik telah menjadi penghalang utama kepada perkara tersebut. Kalau mahu bersatu, atas nam politik, maka syarat-syarat tertentu wajib dipatuhi. Itu namanya perpaduan politik.

Begitu juga dengan memilih pemimpin. Orang kita boleh menerima mereka yang tidak buat kerja untuk mereka sebagai pemimpin mereka. Orang yang selalu berbaring di atas jalan raya masih boleh dipilih sebagai pemimpin. Orang yang sentiasa melalak menyalahkan orang lain juga boleh dipilih sebagai pemimpin.

Orang yang kerjanya berceramah saban malam juga masih boleh dipilih sebagai pemimpin. Mereka ini menjadi pemimpin bermodalkan air liur sahaja dan setiap bulan mengambil gaji daripada kerajaan. Rakyat bagaimana?. Ah!, tidak mengapa kata mereka kerana rakyat tidak kisah sangat pasal kebajikan mereka. Itu cara berpolitik zaman sekarang, katanya.

Aneh kan. Itulah yang saya katakan politik. Dalam banyak hal, saya agak bimbang dengan cara kita berpolitik. Kita lebih meletakkan soal sentiment mengatasi segala-galanya. Semuanya gara-gara politik. Saya khuatir, masa depan kita dan Negara kita kan musnah jika kita mengamalkan cara berpolitik seperti hari ini.

Sama ada kita menyukainya atau tidak, kita harus berubah dengan cara berpolitik. Janganlah kerana setitik nila, mahu dirosakkan susu sebelanga. Tidak boleh. Kita harus lebih ke hadapan, lebih bijak berfikir mengenai masa depan kita.

Dalam maksud lain, biarlah kita berpolitik yang menguntungkan agama, bangsa dan Negara. Saya fikir, anda memahami apa yang ada di fikiran. Saya percaya anda tahu apa yang hendak saya sampaikan. Kita kena berubah. Matang dalam berfikir dan berpolitik.

Insaflah bahawa kita berada pada tahap yang maju seperti sekarang, ia tidaklah melalui jalan yang mudah. Mujurlah kerana perjuangan UMNO, maka kita begini. Parti-parti pembangkang yang ada, mereka tidak ke mana dalam sumbangan terhadap Negara.

Parti yang baru tumbuh pula jelas mepunyai kepentingan tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana menjadi rakyat Malaysia. Dan kerana itu, kita harus mempertahankan apa yang kita ada.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Sunday, July 18, 2010

UMNO MENDEPANI PERUBAHAN

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus telah selamat diadakan. Malah, ia sangat istimewa dengan kehadiran Timbalan Presiden UMNO, merangkap Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

Saya cukup gembira dengan perjalanan mesyuarat tersebut dan berharap, ahli dan pemimpin parti memberikan perhatian terhadap hal-hal yang diketengahkan. Apa yang dibangkitkan, itulah yang ada di hati rakyat sebenarnya.

Selain itu, saranan serta dorongan YAB Timbalan Presiden UMNO juga sangat berfaedah untuk dihayati dan dilaksanakan. Banyak sekali mesej yang hendak disampaikan kepada kita semua. Dan, jika kita sebagai seorang yang teliti, maka kita mampu memahami apa yang beliu maksudkan.

Hakikatnya, UMNO seharusnya mendapani zaman dengan berani, bijak dan seiring dengan perubahan massa. Kita tidak boleh sentiasa selesa, dan terlalu yakin dengan sokongan rakyat kepada kita mampu kekal selama-lamanya.

Justeru, jika perlu berubah, maka ahli dan pemimpin UMNO juga harus berani berubah. Perubahan yang kita kaitkan sudah tentu dalam konteks untuk mengekalkan kuasa yang ada. Kegagalan kita meletakkan UMNO di tempat yang wajar hanya boleh mendedahkan UMNO kepada perkara-perkara yang merugikan.

Saya percaya, kita semua sedar apakah yang sepatutnya kita berubah. Maka, bukan menjadi satu hal yang payah untuk kita melakukannya.

Dan, saya percaya bahawa kita semua sedar mengenai apa yang sedang dihapi UMNO. Namun, sejauh manakah kita melakukan sesuatu yang boleh menterjemahkan nilai perjuangan untuk mempertahankan UMNO itu sendiri.

Pemimpin kita, bermula dari peringkat paling atas telah memberikan sekian banyak saranan untuk kita. Namun, apakah saranan itu ada di hati kita?. Adan, adakah kita melakukan apa yang disarankan?. Saya khuatir, kita hanya mengambil langkah terlewat dalam menangani apa yang berlaku.

Oleh itu, saya amat berharap agar ahli UMNO mengambil sebanyak mungkin iktibar, saranan dan apa jua hal yang dibangkitkan pada mesyuarat perwakilan UMNO yang sedang berlangsung ini. Mudah-mudahan kita boleh menjadi seorang yang mempunyai sumbangannya, bukan sahaja dalam mengekalkan UMNO, malah memperkasakan UMNO sebagai parti tunjang kepada kekuatan Melayu dan kejayaan sebuah negara Malaysia ini, insya’Allah.

Wednesday, July 14, 2010

NILAI SEBUAH KEBEBASAN


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Telah beberapa kali saya catatkan di blog ini mengenai isu kebebasan. Sejak akhir-akhir ini, isu mengenai kebebasan media sekali lagi berkumandang. Ia ekoran beberapa akhbar pro pembangkang yang diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas, sama ada permit mereka tamat tempoh atau melanggar peraturan yang ditetapkan.

Saya tidak mahu menulis panjang dalam hal ini. Cukup untuk saya mengajak anda semua berfikir, merenung sejenak mengenai apakah yang dikatakan dengan kebebasan. Dan, pada yang sama, apakah pengertiannya undang-undang dalam hidup anda. Itu yang penting.

Saya tidak nampak kita mempunyai kebebasan yang mutlak. Tiada manusia pun begitu. Kebebasan harus diterjemahkan dalam konteks ia mendedahkan kita semua kepada kebaikan, bukan sebaliknya. Dalam kehidupan seharian manusia, kita pasti terikat. Jika tidak terikat dengan undang-undang dunia, kita terikat kepada hukum agama. Lebih detail lagi, hidup manusia juga terikat dengan batas-batas kemahuan yang dikaitkan dengan keupayaan.

Ertinya, walau semahu mana pun kita, namun jika kita tidak mempunyai keupayaan, kita gagal dalam kebebasan.

Nah, sekarang lihat mengenai undang-undang. Percayalah bahawa tiada undang-undang yang digubal atau diwujudkan untuk menghancurkan manusia. Ternyata, undang-undang digubal untuk melindungi dan memelihara kita semua agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh mendatang kemudaratan.

Jelas sekali, setiap pelanggaran terhadap undang-undang boleh mendedahkan kita kepada apa yang saya maksudkan. Maka, begitulah apabila permit akhbar berkenaan mempunyai masalah. Mengapa tindakan diambil?. Jujurlah, tiada sesiapa pun berhak mengambil tindakan jika pihak berkenaan mematuhi undang-undang.

Undang-undang adalah pelindung. Dan, walau dalam keadaan apa pun, ia mesti dipertahankan. Tiada kompromi lagi dalam hal ini.

Jadi, dalam isu kebebasan media yang dikaitkan dengan akhbar pembangkang itu tadi, sudah pasti ada sebabnya. Menyalahkan kerajaan bukan cara bijak. Sebaliknya, semua pihak perlu menilai, menyemak dan bermuhasabah diri dalam mencari titik penyelesaian. Kalaulah, undang-undang dipatuhi, saya tidak nampak adanya sebarang masalah dalam semua hal.

Masalah yang berlaku disebabkan adanya pihak yang bukan sahaja sengaja membelakangkan undang-undang, malah tergamak melanggar undang-undang. Kita mahu menyelesaikan masalah ini, kita harus kembali kepada undang-undang. Patuhinya, peliharakannya ….

Fikirkanlah.

Sunday, July 11, 2010

SEGERA DAFTAR PEMILIH

Assalamualaikum.

Politik bagaikan satu makanan buat masyarakat kita hari ini. Di mana-mana pun, politiklah topik yang paling digemari oleh kita semua. Apa pun mengenai politik, ia sangat menarik perhatian. Hari ini, rata-rata orang bercakap mengenai daftar pemilih atau pengundi – juga mempunyai kaitannya dengan politik.

Sebagaimana laporan media baru-baru ini. Masih ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai kemudahan disediakan ke arah tersebut. Lebih mendukacitakan saya apabila kaum Melayu dikatakan paling ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi. Mengapa hal itu terjadi, ia masih samar-samar. Malah, kalau ditanya banyak pihak, maka akan banyaklah tangan atau jari yang saling menunding sesama sendiri dalam mencari punca masalah tersebut.

Biarkanlah. Saya tidak berminat untuk menunding jari. Saya hanya berminat untuk mengajak anda berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagi saya, kita akan dapat menyelesaikan setiap masalah apabila kita tahu mengenai punca masalah tersebut. Tidak mungkin sesuatu masalah akan terselesai jika puncanya tidak diketahui. Maka sama juga dengan isu daftar pemilih ini. Di manakah puncanya mengapa masyarakat kita, khususnya kaum Melayu belum mendaftar sebagai pengundi.

Saya tidak berhasrat untuk memberikan jawapan kepada persoalan tersebut, namun saya menyerahkan kepada anda untuk menilainya. Sebagai ahli dan pemimpin politik, saya sangat khuatir mengenai perkembangan tersebut.

Khuatir bukan apa, khuatir kerana riwayat politik atau parti yang bertanding dalam sistem pilihan raya kita akan bergantung kepada undi. Maksud saya, apa guna kita mempunyai ahli yang ramai, namun tidak ramai di kalangan mereka yang mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka itu adalah berkelayakan.

Ini menjadi satu hal yang sangat penting untuk kita fikirkan. Kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya. Pilihan raya adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan waktunya. Pokoknya, jika kita tidak mempunyai kesedaran, sampai bila pun masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Ia harus bermula dengan kesedaran betapa sebenarnya setiap undi adalah penyumbang kepada masa depan negara dan bangsa.

Dalam hal ini saya sarankan, pihak paling dekat dengan masyarakat kita, iaitu institusi keluarga perlu turut serta dalam membantu menangani masalah ini. Pada waktu yang sama, parti-parti politik (sudah tentu khususnya UMNO) perlu bergerak dengan lebih berkesan dan bersungguh-sungguh dalam memastikan ahli parti mendaftar sebagai pengundi.

Kita telah melewati tempoh waktu yang rugi sebelum ini. Dan, adalah amat tidak wajar untuk kita terus rugi pada pilihan raya umum akan datang. Apatah lagi dengan keadaan iklim politik semasa di negara ini yang masih kurang menentu, ia sebenarnya sangat menuntut kepada usaha yang saya maksudkan tadi. Bagi saya, peringkat paling penting dalam politik ialah mendaftar sebagai pengundi kerana itulah akhirnya, politik akan pergi.

Saya berharap, hal ini akan dapat difahami dan dimengertikan dengan sebaiknya. Sama-samalah kita mendaftar sebagai pemilih dan membantu mereka yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian. Itulah harapan saya.

Monday, July 5, 2010

NILAI PERHIMPUNAN KITA

Assalamualaikum dan salam bloger,..

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian kini sedang berlangsung di seluruh negara. Ia adalah satu kewajipan ke atas parti UMNO dan setiap ahli parti. Namun, mungkin ada beberapa hal yang menarik untuk saya lontarkan agar kita sama-sama dapat berfikir mengenainya.

Kepada ahli UMNO, apakah ertinya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ini yang diadakan setiap tahun. Apakah ia hanya sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan?. Atau, adakah ia sekadar kita hadir untuk memilih G7 yang akan mewakili Bahagian ke Kuala Lumpur?. Atau, adakah hanya sekadar melontarkan ucapan penangguhan yang berapi-api dan jauh daripada itu, mungkinkah hanya untuk membuat kritikan-kritikan pedas.

Mari kita berfikir, sejauh manakah dalam setiap sanubari kita, kita berfikir untuk menjadikan Mesyuarat Perwakilan UMNO ini sebagai pentas atau tempat untuk kita semua bermuhasabah diri, berfikir dengan sedalam-dalamnya mengenai masa depan serta ancaman yang sedang dihadapi parti UMNO pada masa kini.

Apakah wujud di fikiran kita kemahuan yang sebenar-benarnya untuk melihat UMNO kembali kuat dan bertaut di hati rakyat selepas ia berhadapan dengan sesuatu yang pahit pada PRU-12 yang lalu. Saya tidak mahu memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut kerana biarlah kita sendiri yang menjawabnya.

Apa pun, saya berpendapat, mesyuarat perwakilan UMNO kali ini harus berbeza dengan sejarah mesyuarat perwakilan yang telah berlalu. Banyak sebabnya. Pertama, senario atau iklim politik UMNO sendiri sudah berubah. Malah, landskap politik juga telah dicorakkan dengan begitu berbeda oleh masyarakat kita walaupun kadangkala kelihatan seperti telah keterbelakang. UMNO perlu berada pada landasan yang berteraskan perubahan zaman dan mengambil kira iklim politik semasa.

Oleh kerana itu, saya berpendapat, ahli-ahli UMNO harus menjadikan mesyuarat perwakilan kali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan untuk parti, atau sekurang-kurangnya, kita berikan pandangan yang bernas dan terbaik untuk parti kita. Itu yang menjadi harapan saya sebenarnya.

Oleh itu, marilah kita berfikir mengenai hal tersebut dan meletakkan kepentingan parti keramat kita, UMNO ini di tempat yang paling atas dalam senarai kepentingan-kepentingan yang sedia ada. Mudah-mudahan UMNO akan terus kekal dan kembali kuat, sekaligus kekal sebagai peneraju dan tunjang kepada pemerintahan Negara ini, insya’Allah.