Friday, March 30, 2012

HADAPI FITNAH DENGAN BIJAK

 Assalamualaikum.

 Alhamdulillah, saya dapat menulis lagi, mencatat sedikit perkara untuk tatapan dan renungan kita bersama.

 Sejak gendang PRU semakin dipalu dan teka-teki mengenai tarikh berkenaan semakin hampir menjadi kenyataan, budaya fitnah dilihat semakin menebal, terutamanya di kalangan pemimpin pembangkang. Bagi saya, menfitnah ini bukanlah kerja baharu yang dilakukan pembangkang, malah sejak dahulu sememang menfitnah telah menjadi budaya mereka.

 Sebagai orang politik, saya sedikit pun tidak hairan dengan budaya puak pembangkang ini dalam menghadapi sistem demokrasi yang ada. Cuma, sedikit kebimbangan jika segelintir rakyat yang tidak faham mengenai hakikat sebenar akan lebih mudah terpedaya dengan fitnah yang ada di sekeliling mereka. Apatah lagi, budaya pemikiran orang kita sendiri yang lebih gemar mempercayai sesuatu yang salah walaupun hakikatnya apa yang dimomokkan ke pengetahuan mereka adalah palsu belaka.

 Kadangkala saya tersenyum dengan fitnah ini. Jika kita melayan, melarat pula jadinya. Maka kita buat tidak tahu sahajalah. Biarlah mereka dengan dunia  mereka. Selebihnya, mereka tanggunglah azab di akhirat kelak akibat fitnah yang mereka lemparkan.

 Cuma, suka saya menyarankan agar di saat detik tarikh PRU semakin hampir diumumkan, rakyat haruslah menyiapkan diri dengan semangat yang kuat agar mereka tidak mudah terjebak atau terpedaya dengan budaya fitnah ini. Apa pun, saya sangat optimis bahawa rakyat kita sebenarnya semakin matang, bijak dan cerdik dalam menilai dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

 Maksud saya, mereka sudah bijak untuk menilai yang mana kaca, yang mana intan. Rakyat hari ini, walaupun segelintir daripada mereka memilih untuk berada dalam saf yang salah, namun majoriti rakyat kita masih cintakan kebenaran. Itulah hakikat yang sedang saya lihat dan saya percaya bahawa anda juga melihat apa yang sedang saya lihat.

Manusia yang gemar melontar fitnah itu adalah mereka yang sedang berada dalam kebimbangan dan ketakutan yang dahsyat, kalau-kalau mereka akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU akan datang. Hanya itu sebabnya mereka sengaja dan terus melontarkan fitnah terhadap musuh politik mereka.

Kepada rakyat, saya berdoa agar mereka terus kekal dengan semangat yang bijak dalam menangkis daripada sebarang perbuatan fitnah. Mudah-mudahan, mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Ingatlah, pembangkang sedang meniupkan angin fitnah yang semakin kencang kerana mereka kini benar-benar takut dengan kekuatan BN yang semakin ketara. Percayalah. 

Tuesday, March 6, 2012

Bila Kerajaan Pas Kedah Bergolak


Assalamualaikum.


Bukan mahu mengambil tahu hal orang lain, terutamanya pembangkang tetapi apa yang berlaku ke atas kerajaan Kedah yang kini dikuasai Pas sangat menarik perhatian.

Saya percaya, bukan sahaja kita orang politik tetapi rakyat juga sedang melihat perkembangan itu dengan dekat. Terbaru, khabarnya Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi menentukan kuasa Menteri Besar Kedah yang disandang Datuk Seri Azizan Abdul Razak – satu tindakan yang dilihat pelik dan tidak pernah berlaku di dalam sejarah politik di negeri itu.

Semuanya gara-gara kuasa. Jika dahulu mereka ini adalah manusia yang paling lantang mengkritik, menuduh dan menghina pemimpin Islam dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), hari ini mereka sendiri berhadapan dengan masalah politik yang dahsyat. Namun, setiap kali mereka ditimpa masalah, maka masalah itu mahu dilemparkan kepada orang lain, terutama UMNO.

Pas adalah parti yang hanya memerintah Kelantan, manakala di negeri-negeri lain, mereka tidak menikmati kuasa sebelum ini. Maka sedaplah mereka membuat pelbagai janji, tuduhan dan fitnah – sebab mereka tidak berkuasa dan apa yang mereka cakap hanyalah bermodalkan air liur.

Hari ini, apabila mereka mempunyai kuasa, mereka sudah mula tamak dan apa yang berlaku hanyalah disebabkan soal kuasa. Tidak lebih dari itu.

Persoalannya, apakah parti yang seperti ini bercita-cita mahu menawan Putrajaya (kononnya) sedangkan perangai dan sikap pemimpinnya sangat buruk. Ini fakta dan anda semua sudah tentu lebih maklum mengenainya.

Saya berharap, rakyat akan melihat dan menilai apa yang berlaku ini sebagai teladan politik buat mereka. Pada PRU ke-13 nanti, rakyat perlu menolak pembangkang yang telah terbukti gagal dalam pentadbirannya – bukan sahaja di Kedah tetapi di negeri-negeri lain yang mereka kuasai termasuk Kelantan.

Saya telah melihat angin kesedaran rakyat terhadap penipuan pembangkang semakin menebal dan saya fikir rakyat akan melakukan satu perubahan besar dalam PRU ke-13 nanti untuk memberikan mesej kepada pembangkang bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai tempat di hati rakyat.

Sungguh!.


Monday, March 5, 2012

TERIMA KASIH TPM, RAKYAT KUALA NERUS



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyempurnakan lawatannya ke Terengganu beberapa hari lalu. Syukur juga kerana pada hari ini, saya mempunyai kesempatan untuk memberikan sedikit komen atau reaksi mengenai hasil lawatan tersebut.

Terima kasih kepada YAB Tan Sri kerana telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian destinasi lawatan beliau.

Juga penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada puluhan ribu rakyat yang membanjiri kawasan Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu sebagai memberikan sokongan kepada pucuk kepimpinan negara yang tercinta.

Selain, beberapa pengumuman atau berita baik daripada YAB Tan Sri mengenai projek Sekolah Sukan dan beberapa projek untuk rakyat yang lain di kawasan Parlimen Kuala Nerus ini, kehadiran puluhan ribu rakyat adalah sesuatu yang mengkagumkan.

Saya sangat teruja melihat semangat rakyat Kuala Nerus – satu gambaran mengenai kebangkitan mereka untuk memastikan Barisan Nasional (BN), khususnya di Parlimen Kuala Nerus berada dalam genggaman kita. Ini bukan sesuatu yang retorik kerana ia sebenarnya benar-benar berlaku di depan mata kita semua.

Saya sangat optimis bahawa jika inilah semangat yang ditunjukkan rakyat Parlimen Kuala Nerus, bukan sahaja semua kerusi yang BN miliki akan dikekalkan, malah kerusi DUN Bukit Tunggal yang dimenangi Pas pun, akan mampu kita tawan semula.

Apa pun, saya melihat satu semangat dan iltizam yang sangat luar biasa yang mampu saya terjemahkan dengan perasaan yang sangat gembira.

Mudah-mudahan kebangkitan dan semangat yang ditunjukkan rakyat ini akan berterusan. Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh penduduk dan pengundi di Parlimen Kuala Nerus.