Assalamualaikum.
Isu pencerobohan pengganas Kiram yang
mengaku Raja Sulu ke atas Sabah sejak lebih sebulan lalu telah membuka mata
banyak pihak. Negara tiba-tiba digemparkan dengan peristiwa yang tidak
digambarkan oleh rakyat akan berlaku, namun ia telah pun berlaku.
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan,
sudah tentu hati kita marah apabila mengikuti kejadian tersebut. Apatah lagi,
pengganas itu pula telah membunuh pasukan keselamatan kita dengan cara yang
amat kejam.
Saya melihat isu ini dalam beberapa
perkara dan pengajarannya.
Pertama, isu keselamatan di sempadan
negara terutamanya di Sabah perlu diberikan perhatian dan wajar dipertingkatkan
lagi. Kita sedar tugas menjaga perairan dengan negara jiran yang sangat dekat
itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun peristiwa pencerobohan itu telah
menuntut kita untuk memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.
Kedua, peristiwa itu sangat mengunji
pasukan keselamatan kita. Apatah lagi, operasi tersebut bukan sahaja telah
mendapat liputan meluas media, malah juga orang perseorangan yang terlalu
ghairah melaporkannya melalui laman sosial masing-masing.
Apa yang berlaku itu seharusnya
mengajar kita betapa TIDAK PATUT kita membicarakan mengenai aset keselamatan
negara sehingga ia boleh menggagalkan usaha pasukan keselamatan menjaga
keamanan negara ini. Inilah sebenarnya, mengapa kerajaan tidak mahu isu-isu
keselamatan negara dibincangkan secara terperinci sebagai yang sering
diocetuskan pihak tertentu di negara kita ini sehingga banyak maklumat-maklumat
yang sepatutnya dirahsiakan menjadi terdedah.
Ketiga, kejadian itu juga sangat
menguji semangat cintakan negara di kalangan rakyat kita. Kita kesal, di saat
semua pihak memberikan sokongan moral yang kuat kepada pasukan keselamatan, ada
pihak yang busuk hati membuat pelbagai tuduhan terhadap pasukan keselamatan dan
ada pula yang cuba memperlekehkannya.
Saya tidak pernah terjumpa sebenarnya
di mana-mana negara di dunia ini yang rakyatnya sanggup menghina dan
memperlekehkan pasukan keselamatannya sendiri apabila tanahair mereka
diceroboh. Namun amat menyedihkan apabila hal itu berlaku di Malaysia.
Saya berdoa semoga Allah membuka hati
mereka yang selama ini menghina pasukan keselamatan negara agar kembali berubah
dan menjadi rakyat yang sayang dan cintakan negara.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas
roh-roh Allahyarham wira negara yang meninggal dunia di medan perang kerana
mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Alfatihah.