Assalamualaikum dan salam bloger,..
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian kini sedang berlangsung di seluruh negara. Ia adalah satu kewajipan ke atas parti UMNO dan setiap ahli parti. Namun, mungkin ada beberapa hal yang menarik untuk saya lontarkan agar kita sama-sama dapat berfikir mengenainya.
Kepada ahli UMNO, apakah ertinya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ini yang diadakan setiap tahun. Apakah ia hanya sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan?. Atau, adakah ia sekadar kita hadir untuk memilih G7 yang akan mewakili Bahagian ke Kuala Lumpur?. Atau, adakah hanya sekadar melontarkan ucapan penangguhan yang berapi-api dan jauh daripada itu, mungkinkah hanya untuk membuat kritikan-kritikan pedas.
Mari kita berfikir, sejauh manakah dalam setiap sanubari kita, kita berfikir untuk menjadikan Mesyuarat Perwakilan UMNO ini sebagai pentas atau tempat untuk kita semua bermuhasabah diri, berfikir dengan sedalam-dalamnya mengenai masa depan serta ancaman yang sedang dihadapi parti UMNO pada masa kini.
Apakah wujud di fikiran kita kemahuan yang sebenar-benarnya untuk melihat UMNO kembali kuat dan bertaut di hati rakyat selepas ia berhadapan dengan sesuatu yang pahit pada PRU-12 yang lalu. Saya tidak mahu memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut kerana biarlah kita sendiri yang menjawabnya.
Apa pun, saya berpendapat, mesyuarat perwakilan UMNO kali ini harus berbeza dengan sejarah mesyuarat perwakilan yang telah berlalu. Banyak sebabnya. Pertama, senario atau iklim politik UMNO sendiri sudah berubah. Malah, landskap politik juga telah dicorakkan dengan begitu berbeda oleh masyarakat kita walaupun kadangkala kelihatan seperti telah keterbelakang. UMNO perlu berada pada landasan yang berteraskan perubahan zaman dan mengambil kira iklim politik semasa.
Oleh kerana itu, saya berpendapat, ahli-ahli UMNO harus menjadikan mesyuarat perwakilan kali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan untuk parti, atau sekurang-kurangnya, kita berikan pandangan yang bernas dan terbaik untuk parti kita. Itu yang menjadi harapan saya sebenarnya.
Oleh itu, marilah kita berfikir mengenai hal tersebut dan meletakkan kepentingan parti keramat kita, UMNO ini di tempat yang paling atas dalam senarai kepentingan-kepentingan yang sedia ada. Mudah-mudahan UMNO akan terus kekal dan kembali kuat, sekaligus kekal sebagai peneraju dan tunjang kepada pemerintahan Negara ini, insya’Allah.
1 comment:
Sebagai ahli yang sering memantau dari jauh saya amat bersetuju dengan pendapat YB.Sekarang sana sini sibuk dengan mesyuarat perwakilan. Perubahan iklim politik sekarang memang sangat sangat berbeza, jadi ahli UMNO pun mesti fokus dengan situasi semasa dengan mengenepikan hal yang remeh temeh.Ahli UMNO mesti tanamkan sifat -sifat seorang yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan parti jangan sekadar memenuhi jemputan @ sekadar memenuhi dewan mesyuarat sahaja.Diharap YB Dato' memainkan peranan supaya Ahli UMNO khususnya diParliment P35 akur dengan perubahan sekarang.
Post a Comment