Assalamualaikum,
Serangan komando Israel ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini sememangnya sesuatu yang mendukacitakan. Apatah lagi kapal itu turut membawa sukarelawan dari Malaysia.
Kejadian itu ternyata telah membangkitkan kemarahan dunia melalui pelbagai pendekatan termasuk demonstrasi, persidangan dan sebagainya. Apa pun, ini bukanlah kali pertama kita marah, bukan juga pertama kali kita mengadakan demonstrasi mengutuk kejahatan Israel.
Sebenarnya sudah sekian lama umat Islam melakukan bantahan dengan cara sedemikian, namun Israel tetap degil dan jahat. Sebagai bangsa yang disebut di dalam Al-Quran, Israel bagaikan menguasai segala-galanya. Apa yang dilakukan Israel hanya dibiarkan oleh kuasa besar seperti Amerika. Maksudnya, Israel tetap jahat, tetap zalim dan tetap biadab.
Israel sememangnya satu bangsa yang tidak pernah mengenal erti peri kemanusiaan. Demikianlah jahatnya Israel.
Bagi saya, demonstrasi walaupun menjadi cara lama dalam kita menyatakan bantahan, namun ia tetap relevan sebenarnya. Namun, adalah lebih bagus jika ia ditambah dengan kaedah baru sebagai tanda bantahan terhadap kejahatan mereka ini.
Saya fikir, umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu dalam mendepani isu-isu yang berkaitan dengan kezaliman Israel. Apa yang berlaku sewajarnya menjadikan ia sebagai “sudah sampai waktunya” untuk umat Islam berubah dan bersatu. Hakikatnya hari ini, kelemahan umat Islam ialah mereka itu berpecah dan tidak bersatu. Lebih menyedihkan, mereka berpecah dalam isu-isu yang remeh.
Walaupun mungkin dalam isu penentangan terhadap Israel ini misalnya mereka bersatu. Dalam konteks negara kita misalnya sebagai contoh yang dekat, mereka bersatu merentasi sengketa politik dan sebagainya. Bagaimanapun, selepas daripada isu ini, mereka kembali berpecah.
Oleh itu, sampai bilakah umat Islam mahu kuat?. Inilah persoalannya. Jika dalam soal penentangan terhadap Israel mereka bersatu – itu pun dalam konteks demonstrasi atau seumpamanya, namun dalam hal yang lain mereka berpecah, apa ertinya.
Dalam konteks antarabangsa pula, dunia Arab atau dunia Islam sendiri perlu lebih memainkan peranan. Kita sedar, ia masih berkisah kepada isu-isu perpecahan di kalangan mereka. Maka, usaha menangani kejahatan dan kezaliman Israel tidak ke mana. Inilah yang menyedihkan sebenarnya.
Apa pun, saya berbangga dengan pendekatan Malaysia dalam menangani isu ini. Kita ternyata tegas dalam menyatakan hasrat serta pendirian kita tanpa sebarang kompromi. Malah, kita telah membuat gesaan yang jelas mengenai perlunya tindakan segera diambil bagi menyekat kezaliman Israel yang sejak sekian lama menindas penduduk Palestin.
Kita sedih dengan apa yang berlaku dan kemampuan kita sebenarnya sangat terbatas. Adakah anda percaya jika seluruh umat Islam dan kerajaan Islam di dunia bersatu, apa yang berlaku ini boleh kita bending?. Kalau saya, saya percaya.
Syaratnya, kita semua mesti BERSATU.
No comments:
Post a Comment