Sunday, June 27, 2010

OH PIALA DUNIA

Assalamualaikum,

Demam piala dunia semakin hangat. Berbanding dengan kejohanan pada musim lalu yang berlangsung pada waktu siang, kali ini ia berlangsung pada waktu malam dan awal pagi di negara kita. Rata-rata orang kita sangat menggilai sukan bola sepak, apatah lagi yang bertaraf dunia.


Saya pun tidak terlepas daripada mempunyai keinginan yang sama. Hakikatnya, hanya orang yang benar-benar meminati sukan itu sahaja yang mampu menyatakan mengapa ia berlaku begitu. Maka tidak hairanlah apabila ramai peminat sukan bola sepak sanggup berjaga malam untuk menyaksikan perlawanan pasukan-pasukan yang menjadi kegilaan mereka.


Itu belum termasuk mereka yang menjadikan kedai kopi, warung terbuka sebagai gelanggang untuk mereka berkumpul untuk menyaksikan perlawanan yang mereka sukai.

Namun, bukan itu yang mahu saya sampaikan kepada anda semua. Ya, ia tetap mempunyai kaitan dan rasanya tidak salah jika kita saling ingat mengingati antara satu sama lain. Maksud saya, dalam kita ghairah menyaksikan perlawanan bola sepak piala dunia, usah kita lupa mengenai tanggungjawab hakiki kita.


Sama ada ia dalam konteks sebuah keluarga, masyarakat atau pekerjaan, demam piala dunia tidak seharusnya mengganggu-gugat perkara tersebut. Bukan apa, saya cuma khuatir apabila ada yang mengantuk di tempat kerja, apatah lagi mungkin ada yang akan tertidur kerana terlalu letih akibat berjaga malam. Perkara tersebut adalah satu risiko yang perlu dihadapi dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku.


Ertinya, dalam kita seronok menyaksikan perlawanan piala dunia, kita juga harus bijak mengurus waktu kita agar ia tidak menimbulkan pelbagai masalah berkaitan. Memang, nasihat ini nampak seperti remeh, namun bagi saya, ia amat penting untuk diberikan perhatian.


Oleh itu, saya berharap kita akan lebih memahami mengenai perkara tersebut dan mengambil satu ketentuan yang bijak agar keseronokkan kita tidak terjejas dan produktiviti kita juga akan terus terpelihara. Itulah harapan saya.


Semoga kita berfikir mengenainya.


No comments: