Syukur Alhamdulillah kerana saya masih diberikan kekuatan untuk mencatatkan sesuatu di laman ini. Saya juga bersyukur kerana semakin hari, semakin ramai yang meminati untuk melayari laman blog saya ini. Tiada yang lebih mampu saya lafazkan melainkan mengucapkaan jutaan terima kepada anda semua yang sudi membaca buah fikiran saya dan berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu-isu semasa.
Hari ini, saya agak tersentuh apabila melihat nasib bangsa Melayu, iaitu bangsa saya sendiri. Saya bukanlah rasis dalam hal ini. Namun, sebagai manusia yang dilahirkan sebagai bangsa Melayu dan parti yang saya wakili juga adalah sebuah parti Melayu, maka adalah wajar bagi saya untuk merasai sesuatu dengan bangsa saya.
Hari ini, bangsa Melayu telah berpecah dan perpecahan itu pula boleh saya katakan agar parah. Lebih malang lagi, umat Melayu berpecah disebabkan sistem demokrasi yang mereka agungkan dan kebebasan yang mereka tuntut selama ini.
Ternyata umat Melayu telah gagal dalam memproses demokrasi yang ada. Malah sehingga ada orang Melayu tergamak dan sanggup untuk menggadai kepentingan bansanya sendiri demi untuk mencapai serta memperolehi kuasa. Atau dalam maksud lain, Melayu sanggup “menjual” Melayu. Sampai bila hal ini harus berlarutan begini?.
Hari ini kita melihat, ada orang Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita sempit mereka walaupun terpaksa mengguris hati orang Melayu. Saya sangat sedih dan terkilan dengan keadaan tersebut. Lebih menyedihkan saya lagi apabila ramai orang Melayu yang tidak kisah dengan apa yang sedang menimpa bangsanya sendiri. Sebaliknya, ada juga Melayu yang menyokong usaha menjahanamkan Melayu itu sendiri.
Sebenarnya hari ini, saya melihat orang Melayu telah terheret dengan budaya yang merugikan mereka. Ya, budaya berpolitik sepanjang masa. Tidak habis-habis dengan politik sehingga fokus mereka terhadap kepentingan-kepentingan lain telah diabaikan dan terabai.
Oleh itu saya mahu mengajak bangsa saya ini agar merenung kembali apa yang telah dan sedang kita lalu serta apakah akibat yang sedang menimpa bangsa Melayu kita. Saya tidak nampak kita mempunyai banyak peluang untuk berubah. Saya cuma bimbang kalau-kalau kita terlewat untuk berubah. Itu saja.
Sesungguhnya umat Melayu hari ini perlu segera berubah jika mereka tidak mahu berubah. Mereka wajib bersatu dan melupakan segala sengketa jika mereka mahu mendepani setiap sesuatu pada masa depan dengan lebih selesa dan berjaya. Mereka tidak mempunyai pilihan. Dan, jika mereka gagal berbuat demikian, maka mereka akan akan gagal selama-lamanya.
Nasihat saya kepada bangsa saya, insaflah dengan apa yang sedang ditimpa dan dilalui bangsa kita. Cukuplah dengan segala kelemahan yang ada. Orang lain telah jauh ke depan sedangkan kita masih meraba-raba. Kita tidak boleh begitu.
Berubahlah wahai bangsaku. Bersatulah demi bangsa kita dan generasi kita.
1 comment:
tak melayu hilang di dunia
Post a Comment