Saturday, May 8, 2010

DEMOKRASI YANG MASIH SEGAR

Salam blogger,

Hari ini, Sabtu – berlangsungnya penamaan calon bagi PRK Parlimen Sibu di Sarawak. Ia diadakan berikutan kematian TimbalanMenteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,549 undi menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tentu sekali, ia merupakan antara PRK yang terpenting bagi Barisan Nasional (BN) selepas kejayaannya merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. Namun, itu bukan fokus saya melalui tulisan ini.

Sebenarnya, saya ingin menarik perhatian umum mengenai betapa suburnya sistem demokrasi di negara kita. Lihat sejak pilihan raya umum 2008, berapa kalikah PRK diadakan dan parti mana yang menang. Ianya silih berganti.

Demikianlah demokrasi kita yang wajar diakui dengan jujur dan ikhlas. Namun saya agak terkilan sedikit apabila masih ada golongan yang cetek ilmu dengan mendakwa kononnya demokrasi di negara ini sudah mati. Entah apa asasnya mereka berkata begitu, saya sendiri pun tidak mengerti.

Apa yang jelas, mereka akan hanya menyatakan demokrasi akan hidup jika parti mereka menang. Sebaliknya, apabila mereka kalah, maka pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada demokrasi dan kerajaan. Mana boleh begitu. Lucunya, masih ada rakyat yang gagal melihat hal tersebut dengan rasa tanggungjawab. Maka anda lihatlah apa yang berlaku hari ini.

Saya pelik, mengapa di saat mereka mendakwa demokrasi telah mati, mereka jugalah pihak yang paling awal mahu menyertai pilihan raya?. Jelas sekali, ini adalah permainan politik. Tidak lebih dari itu.

Sebenarnya, tidak keterlaluan jika saya katakana bahawa demokrasi di Malaysia adalah antara paling baik di dunia. Jika kita menjadi golongan yang adil dan terbuka menerima sebarang keputusan pilihan raya, kita akan dapat menerima hakikat tersebut. Oleh kerana itu, saya berharap, rakyat akan berhati-hati dengan perkara tersebut.

Mereka jangan terlalu mudah terpedaya dengan sangkaan buruk terhadap demokrasi. Kita berbangga, dengan kebebasan yang ada, kita dapat menjalani kehidupan dalam keadaan jauh lebih selesa.

Apa pun, demokrasi bukanlah satu kebebasan mutlak. Ia masih terikat dengan peraturan dan undang-undang. Namun begitu, undang-undang tercipta, dicipta dan digubal untuk kebaikan kita jua.

Oleh itu, biarlah kita mempunyai pemikiran yang terbuka terhadap demokrasi. Yang menang, bekerjalah dalam menunaikan amanah yang diberikan, manakala yang kalah menerima kekalahan dengan cara terbukan dan bukannya menyalahkan sistem demokrasi yang ada.

Fikir-fikirkanlah.

No comments: