Tuesday, May 4, 2010

JANGAN TERPEDAYA USAHA BURUKKAN PDRM

Salam blogger,
Sejak kebelakangan ini, agak ketara “permainan” pihak tertentu yang sengaja meracuni pemikiran rakyat agar membenci pasukan polis kita. Saya pun, hairan mengapa hal sedemikian boleh berlaku hari ini.

Tanpa mahu merujuk kepada apa-apa kejadian, saya melihat tindakan merosakkan imej dan nama baik pasukan PDRM sejak akhir-akhir ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa setiap peristiwa yang berkait dengan tugas serta tanggungjawab polis akan dijadikan isu.

Kita semua tahu dan sedar betapa sebenarnya, antara faktor mengapa kita boleh hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni ialah kerana kegigihan anggota PDRM menjalankan tugas mereka. Mereka berkorban waktu dan tenaga demi kita. Hasilnya, sejak dahulu kita berada dalam suasana yang aman damai. Tidakkah kita bersyukur?

Malangnya hari ini, ada pihak yang sengaja menanam rasa benci rakyat terhadap pasukan PDRM. Keadaan itu sungguh mendukacitakan. Walaupun nampak bagaikan sudah ada yang termakan dengan dakyah sedemikian, saya berharap majoriti rakyat kita akan lebih matang dalam hal ini. Kelemahan mungkin ada, di mana-mana pun ada. Namun, menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya, apatah lagi yang berasaskan kepada andaian semata-mata terhadap pasukan PDRM adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak boleh digalakkan.

Kita semua seharusnya bangga dengan keupayaan dan kegigihan pasukan PDRM kita. Mereka yang sengaja memberikan, atau mewujudkan imej negatif terhadap pasukan PDRM adalah mereka yang takut terhadap sikap mereka sendiri. Pasukan PDRM adalah sebuah badan penguatkuasa undang-undang. Tanpa mengira siapa, undang-undang tetap undang-undang. Mereka yang tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka, mereka wajib mematuhi undang-undang. Justeru, mereka yang melanggar undang-undang, tindakan wajib dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi.

Oleh itu, pasukan PDRM hanya menjalankan tugas sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang. Justeru, adalah tidak wajar sama sekali jika pasukan PDRM kita diberikan gambaran yang negatif.

Terus-terang, saya amat dukacita mengenai perkara tersebut. Oleh kerana itu, saya berharap, rakyat kita akan lebih bijak menilai dan mendepani akan hal ini. Mereka tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan keadaan yang merugikan mereka.

Sebaliknya, marilah kita mengucapkan terima kasih kepada pasukan PDRM yang selama ini telah berusaha dengan sesungguhnya dalam memastikan kita selamat dan aman. Cuba anda bayangkan jika negara kita tidak mempunyai polis.

Jadi, kita mestilah matang dan bijaksana dalam mendepani setiap peristiwa agar hal-hal yang merugikan kita ini tidak lagi berterusan.

Terima kasih pasukan PDRM. Semoga kalian terus gigih dan melaksanakan amanah serta tanggungjawab tanpa takut dan gentar.

No comments: