Monday, May 31, 2010

OH MELAYU, BANGSAKU

Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah kerana saya masih diberikan kekuatan untuk mencatatkan sesuatu di laman ini. Saya juga bersyukur kerana semakin hari, semakin ramai yang meminati untuk melayari laman blog saya ini. Tiada yang lebih mampu saya lafazkan melainkan mengucapkaan jutaan terima kepada anda semua yang sudi membaca buah fikiran saya dan berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu-isu semasa.

Hari ini, saya agak tersentuh apabila melihat nasib bangsa Melayu, iaitu bangsa saya sendiri. Saya bukanlah rasis dalam hal ini. Namun, sebagai manusia yang dilahirkan sebagai bangsa Melayu dan parti yang saya wakili juga adalah sebuah parti Melayu, maka adalah wajar bagi saya untuk merasai sesuatu dengan bangsa saya.

Hari ini, bangsa Melayu telah berpecah dan perpecahan itu pula boleh saya katakan agar parah. Lebih malang lagi, umat Melayu berpecah disebabkan sistem demokrasi yang mereka agungkan dan kebebasan yang mereka tuntut selama ini.

Ternyata umat Melayu telah gagal dalam memproses demokrasi yang ada. Malah sehingga ada orang Melayu tergamak dan sanggup untuk menggadai kepentingan bansanya sendiri demi untuk mencapai serta memperolehi kuasa. Atau dalam maksud lain, Melayu sanggup “menjual” Melayu. Sampai bila hal ini harus berlarutan begini?.

Hari ini kita melihat, ada orang Melayu yang sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita sempit mereka walaupun terpaksa mengguris hati orang Melayu. Saya sangat sedih dan terkilan dengan keadaan tersebut. Lebih menyedihkan saya lagi apabila ramai orang Melayu yang tidak kisah dengan apa yang sedang menimpa bangsanya sendiri. Sebaliknya, ada juga Melayu yang menyokong usaha menjahanamkan Melayu itu sendiri.

Sebenarnya hari ini, saya melihat orang Melayu telah terheret dengan budaya yang merugikan mereka. Ya, budaya berpolitik sepanjang masa. Tidak habis-habis dengan politik sehingga fokus mereka terhadap kepentingan-kepentingan lain telah diabaikan dan terabai.

Oleh itu saya mahu mengajak bangsa saya ini agar merenung kembali apa yang telah dan sedang kita lalu serta apakah akibat yang sedang menimpa bangsa Melayu kita. Saya tidak nampak kita mempunyai banyak peluang untuk berubah. Saya cuma bimbang kalau-kalau kita terlewat untuk berubah. Itu saja.

Sesungguhnya umat Melayu hari ini perlu segera berubah jika mereka tidak mahu berubah. Mereka wajib bersatu dan melupakan segala sengketa jika mereka mahu mendepani setiap sesuatu pada masa depan dengan lebih selesa dan berjaya. Mereka tidak mempunyai pilihan. Dan, jika mereka gagal berbuat demikian, maka mereka akan akan gagal selama-lamanya.

Nasihat saya kepada bangsa saya, insaflah dengan apa yang sedang ditimpa dan dilalui bangsa kita. Cukuplah dengan segala kelemahan yang ada. Orang lain telah jauh ke depan sedangkan kita masih meraba-raba. Kita tidak boleh begitu.

Berubahlah wahai bangsaku. Bersatulah demi bangsa kita dan generasi kita.

Saturday, May 15, 2010

SELAMAT HARI GURU

Salam blogger,

Saban tahun, anak-anak kita meraikan sambutan Hari Guru setiap kali tibanya detik 16 Mei setiap tahun. Sambutan Hari Guru adalah sama seperti sambutan hari-hari yang diraikan dan wajar diperkasakan kerana ia mempunyai nilai yang tersendiri.

Selain dapat memupuk kasih sayang antara pelajar dengan guru, ia dapat membantu dalam banyak perkara. Apatah lagi jika diambil kita betapa terpujinya jasa dan pengorbanan guru.

Tiada ada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa gurulah adalah pembentuk masa depan bangsa. Tanpa guru, siapalah kita. Saya pun begitu. Tanpa guru, saya tidak mungkin berada seperti sekarang ini. Jasa mereka amat besar nilainya yang tidak boleh terhitung melalui wang ringgit atau harta.

Oleh kerana itulah, nama guru akan di bawa hingga ke akhir hayat. Seseorang yang pernah menjadi guru, mereka akan tetap dipanggil “cikgu” walaupun selepas mereka bersara. Dan, panggilan itu akan kekal sehingga guru itu meninggal dunia.

Hari ini saya melihat, terdapat satu perubahan besar dalam sambutan Hari Guru. Ramai murid kira yang begitu meraikan Hari Guru. Ini dapat dilihat melalui hadiah yang diberikan kepada guru mereka sempena Hari Guru dan guru pula meraikan pelajar mereka dengan pelbagai cara.

Keadaan ini sangat mendatangkan kesan positif dan harus diteruskan pada masa akan datang. Malah, jika boleh, usaha ini hendaklah terus diperkasakan lagi. Saya sendiri sangat bangga dan senang dengan perkembangan itu. Bagi saya, semangat menghargai dan mengingati jasa guru seharusnya dihidupkan sentiasa.

Kepada semua warga guru, saya ucapkan selamat menyambut Hari Guru. Doa saya, semoga anda semua akan terus gigih berusaha membela dan mempertabatkan ilmu anak bangsa kita, insya’Allah.

Saturday, May 8, 2010

DEMOKRASI YANG MASIH SEGAR

Salam blogger,

Hari ini, Sabtu – berlangsungnya penamaan calon bagi PRK Parlimen Sibu di Sarawak. Ia diadakan berikutan kematian TimbalanMenteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Pada pilihan raya umum 2008, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,549 undi menewaskan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tentu sekali, ia merupakan antara PRK yang terpenting bagi Barisan Nasional (BN) selepas kejayaannya merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. Namun, itu bukan fokus saya melalui tulisan ini.

Sebenarnya, saya ingin menarik perhatian umum mengenai betapa suburnya sistem demokrasi di negara kita. Lihat sejak pilihan raya umum 2008, berapa kalikah PRK diadakan dan parti mana yang menang. Ianya silih berganti.

Demikianlah demokrasi kita yang wajar diakui dengan jujur dan ikhlas. Namun saya agak terkilan sedikit apabila masih ada golongan yang cetek ilmu dengan mendakwa kononnya demokrasi di negara ini sudah mati. Entah apa asasnya mereka berkata begitu, saya sendiri pun tidak mengerti.

Apa yang jelas, mereka akan hanya menyatakan demokrasi akan hidup jika parti mereka menang. Sebaliknya, apabila mereka kalah, maka pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada demokrasi dan kerajaan. Mana boleh begitu. Lucunya, masih ada rakyat yang gagal melihat hal tersebut dengan rasa tanggungjawab. Maka anda lihatlah apa yang berlaku hari ini.

Saya pelik, mengapa di saat mereka mendakwa demokrasi telah mati, mereka jugalah pihak yang paling awal mahu menyertai pilihan raya?. Jelas sekali, ini adalah permainan politik. Tidak lebih dari itu.

Sebenarnya, tidak keterlaluan jika saya katakana bahawa demokrasi di Malaysia adalah antara paling baik di dunia. Jika kita menjadi golongan yang adil dan terbuka menerima sebarang keputusan pilihan raya, kita akan dapat menerima hakikat tersebut. Oleh kerana itu, saya berharap, rakyat akan berhati-hati dengan perkara tersebut.

Mereka jangan terlalu mudah terpedaya dengan sangkaan buruk terhadap demokrasi. Kita berbangga, dengan kebebasan yang ada, kita dapat menjalani kehidupan dalam keadaan jauh lebih selesa.

Apa pun, demokrasi bukanlah satu kebebasan mutlak. Ia masih terikat dengan peraturan dan undang-undang. Namun begitu, undang-undang tercipta, dicipta dan digubal untuk kebaikan kita jua.

Oleh itu, biarlah kita mempunyai pemikiran yang terbuka terhadap demokrasi. Yang menang, bekerjalah dalam menunaikan amanah yang diberikan, manakala yang kalah menerima kekalahan dengan cara terbukan dan bukannya menyalahkan sistem demokrasi yang ada.

Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, May 4, 2010

JANGAN KELIRU

Salam blogger,

Apabila DYMM Sultan Selangor melarang pihak tertentu agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik, ada pihak nampaknya mula melenting. Seperti biasa, terdapat golongan tertentu mendakwa bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan dan mereka menyifatkan tindakan memisahkannya sebagai satu ajaran sekular. Bercanggah dengan Islam, kata mereka.

Nah!, di sini terdapat salah faham yang ketara mengenai isu berkenaan. Mungkin yang membuat fatwa tersebut sedar akan kenyataan itu adalah mengelirukan atau sebaliknya, itu saya tidak pasti. Namun, sebagai seorang ilmuan, mereka yang membuat fatwa tersebut tentu sekali sedar apa yang dia maksudkan.

Isu ini memang agak sensetif, namun salah faham ini wajar dirungkaikan bagi mengelak sebarang kekeliruan. Apa yang mahu saya jelaskan sangat mudah untuk kita memahami.

Saya BERSETUJU bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan kerana Islam itu adalah agama yang syumul dan lengkap. Bagaimanapun semua politik tidak boleh dicampurkan dalam hal ehwal agama. Maksud saya ialah, politik yang mengajak umat Islam kepada kehancuran atau politik yang mempunyai sifat-sifat yang menjurus kepada yang diharamkan.

Misalnya, politik menabur fitnah, menyebarkan dakyah, bercakap secara di luar akhlak Islam sebenar, bertindak ke arah memecahbelahkan ummah – adakah itu politik yang dihalalkan?. Ini persoalannya. Apakah politik seperti ini yang hendak kita campurkan dengan agama kita Islam?.

Sekali lagi, kita tidak menolak bahawa politik adalah sebahagian daripada agama, namun apa yang DITOLAK ialah politik yang merosakkan umat Islam dan menjejaskan imej kesucian agama Islam itu sendiri. Justeru, apabila ada pihak mendabik dada kononnya politik dan agama tidak boleh dipisahkan secara umumnya, termasuk mencampuri politik yang diharamkan, maka itu adalah sesuatu yang mengelirukan.

Lihat juga dalam hal lain sebagai contoh. Hiburan misalnya. Ia juga tidak boleh dipisahkan dengan agama. Memisahkannya akan menjadikan kita menafikan lengkapnya Islam itu dan boleh menjurus kepada kerosakan akidah kita. Namun, apakah hiburan yang berunsur maksiat juga dianjurkan Islam. Pastinya tidak!. Inilah yang dimaksudkan bahawa perlu ada “pemisah” antara yang halal dan haram.

Politik dibolehkan, namun biarlah politik yang dihalalkan. Itu jelas. Oleh itu saya melihat titah DYMM Selangor sebagai sesuatu yang jelas mesejnya. Baginda tidak mahu melihat institusi masjid tercemar dengan politik yang tidak sejajar dengan ajaran Islam sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

Jadi, rakyat jangan terkeliru dengan fatwa yang karut. Kita perlu jelas dalam isu ini dan tidak terikut-ikut dengan sentimen yang tidak sepatutnya.

Apa pun, saya percaya, umat Islam di negara kita sedia maklum akan hal ini. Cuma, jika ada yang terpedaya, mereka adalah golongan yang terlalu fanatik dan emosi. Tidak lebih dari itu.

JANGAN TERPEDAYA USAHA BURUKKAN PDRM

Salam blogger,
Sejak kebelakangan ini, agak ketara “permainan” pihak tertentu yang sengaja meracuni pemikiran rakyat agar membenci pasukan polis kita. Saya pun, hairan mengapa hal sedemikian boleh berlaku hari ini.

Tanpa mahu merujuk kepada apa-apa kejadian, saya melihat tindakan merosakkan imej dan nama baik pasukan PDRM sejak akhir-akhir ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa setiap peristiwa yang berkait dengan tugas serta tanggungjawab polis akan dijadikan isu.

Kita semua tahu dan sedar betapa sebenarnya, antara faktor mengapa kita boleh hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni ialah kerana kegigihan anggota PDRM menjalankan tugas mereka. Mereka berkorban waktu dan tenaga demi kita. Hasilnya, sejak dahulu kita berada dalam suasana yang aman damai. Tidakkah kita bersyukur?

Malangnya hari ini, ada pihak yang sengaja menanam rasa benci rakyat terhadap pasukan PDRM. Keadaan itu sungguh mendukacitakan. Walaupun nampak bagaikan sudah ada yang termakan dengan dakyah sedemikian, saya berharap majoriti rakyat kita akan lebih matang dalam hal ini. Kelemahan mungkin ada, di mana-mana pun ada. Namun, menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya, apatah lagi yang berasaskan kepada andaian semata-mata terhadap pasukan PDRM adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak boleh digalakkan.

Kita semua seharusnya bangga dengan keupayaan dan kegigihan pasukan PDRM kita. Mereka yang sengaja memberikan, atau mewujudkan imej negatif terhadap pasukan PDRM adalah mereka yang takut terhadap sikap mereka sendiri. Pasukan PDRM adalah sebuah badan penguatkuasa undang-undang. Tanpa mengira siapa, undang-undang tetap undang-undang. Mereka yang tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka, mereka wajib mematuhi undang-undang. Justeru, mereka yang melanggar undang-undang, tindakan wajib dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi.

Oleh itu, pasukan PDRM hanya menjalankan tugas sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang. Justeru, adalah tidak wajar sama sekali jika pasukan PDRM kita diberikan gambaran yang negatif.

Terus-terang, saya amat dukacita mengenai perkara tersebut. Oleh kerana itu, saya berharap, rakyat kita akan lebih bijak menilai dan mendepani akan hal ini. Mereka tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan keadaan yang merugikan mereka.

Sebaliknya, marilah kita mengucapkan terima kasih kepada pasukan PDRM yang selama ini telah berusaha dengan sesungguhnya dalam memastikan kita selamat dan aman. Cuba anda bayangkan jika negara kita tidak mempunyai polis.

Jadi, kita mestilah matang dan bijaksana dalam mendepani setiap peristiwa agar hal-hal yang merugikan kita ini tidak lagi berterusan.

Terima kasih pasukan PDRM. Semoga kalian terus gigih dan melaksanakan amanah serta tanggungjawab tanpa takut dan gentar.

PRK HULU S'NGOR: BUKAN KEJAYAAN BIASA

Assalamualaikum …

Alhamdulillah, saya mempunyai sedikit kesempatan untuk sambung menulis di laman blog saya. Jadual harian yang agak ketat telah menjadi punca mengapa saya akan terbatas untuk up-date blog ini sehinggakan ramai yang tertanya-tanya. Insya’Allah saya akan cuba yang terbaik dan saya amat gembira kerana blog saya ini ramai yang mengikutinya.

Walaupun hari ini, tumpuan politik kini beralih di Sibu, Sarawak berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di sana, namun kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor masih menjadi hal yang diperkatakan banyak orang. Rata-rata mereka percaya bahawa kejayaan merampas semula kerusi tersebut telah menjadi pentanda baik kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Walaupun pembangkang telah cuba memainkan pelbagai isu termasuk mempertikaikan keputusan pilihan raya tersebut, namun rakyat sudah faham gelagat mereka di kala kalah pada sesuatu pilihan raya.

Rakyat tidak lupa, pelbagai tuduhan sengaja dilemparkan pembangkang terhadap agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa pada PRK Kuala Terengganu hujung tahun lalu. Bagaimanapun selepas mereka menang pilihan raya itu, segalanya tidak kedengaran. Maksudnya, kalau orang lain menang, itu akan dianggap dirancang dan sebagainya. Namun, bila mereka menang, tidak kedengaran langsung mereka mengkritik kerajaan.

Pedulikan soal itu. Apa yang mahu saya sampaikan ialah kejayaan di Hulu Selangor itu bukan kejayaan biasa. Di kawasan majority Melayu dan colon BN pula adalah di kalangan bukan Melayu – di saat sentiment kaum sengaja dicetuskan pihak tertentu, namun calon BN tetap menang – ia jelas menggambarkan kematangan berfikir rakyat di kawasan berkenaan. Maksud saya, mereka memilih BN sebagai pemenang kerana yakin dengan kemampuan BN dalam memerintah dan mentadbir.

Maksudnya, apa yang sebelum ini sebagainya yang tergambar dalam PRU ke-12 yang lalu, semakin hilang dan luput. Rakyat, khususnya di Selangor nampak jelas mahu kembali ke pangkuan BN. Mereka tidak percaya lagi kepada pembangkang dan kerana itu, ia telah membawa satu perubahan baharu dalam politik negara ini.

Saya optimis bahawa apa yang berlaku di Hulu Selangor tempohari adalah satu permulaan yang baik untuk BN. Ia menjadi kayu ukur berguna untuk BN terus mara ke hadapan. Apa yang penting, jentera BN terus bekerja kuat mendekati rakyat dan lebih banyak turun ke bawah mendampingi rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada jentera BN di Hulu Selangor dan saya berharap mereka akan mengulangi kejayaan yang lebih cemerlang di Sibu nanti. Saya tidak nampak BN tidak mampu kerana apa yang saya lihat, rakyat kini telah rasa tertipu dengan pembangkang selepas beberapa negeri “diberikan” kepada mereka pada PRU ke-12 yang lalu.

Terus berjuang dan semoga kejayaan itu menjadi milik kita bersama. Hanya BN yang mampu memerintah Malaysia. Hakikat itu tidak dapat ditolak lagi.