Assalamualaikum.
Malam tiidak berbau. Semalam (Rabu)
kita dikejutkan lagi dengan insiden struktur bumbung di Stadium Sultan Mizan,
Gong Badak yang terjatuh ketika kerja-kerja merobohkannya.
Seperti biasa, ia segera diambil
kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memberikan gambaran yang
salah mengenai insiden itu. Malah, diwar-warkan kononnya stadium berkenaan yang
dibina pada tahun 2005 itu sekali lagi runtuh.
Saya mengikuti dengan dekat apa yang
disebarkan melalui internet akan ulasan orang ramai mengenai kejadian
berkenaan.
Sebenarnya, stadium berkenaan tidak
runtuh dan tidak pernah runtuh. Kejadian pertama pada bumbung sebelah timur
juga bukannya stadium runtuh. Kejadian pertama, adalah struktur bumbungnya
sahaja runtuh disebabkan factor-faktor tertentu.
Kejadian kedua itu pula juga bukannya
stadium runtuh. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah struktur besi bumbung
(bumbung itu sendiri telah pun dicabut) yang terjatuh ketika kerja-kerja
mencabut dan memecat struktur besi tersebut. Malah, keputusan yang diambil
untuk merobohkan bumbung di sebelah selatan itu dibuat hasil cadangan perunding
yang membuat kajian intergriti bahawa bumbung tersebut juga tidak selamat
sebagaimana bumbung yang telah runtuh sebelum itu.
Maka, ketika kerja-kerja mencabut
struktur besi berkenaan berlaku, maka terjadilah kemalangan tersebut. Memang,
ia sangat menyedihkan, namun jika insiden itu dilihat hanya untuk dijadikan isu
politik, saya fikir ia tidak adil sama sekali.
Tragedi boleh berlaku kepada sesiapa
dan di mana juga tanpa mengira parti mana. Bagaimanapun disebabkan wujudnya
pihak yang bersifat menyalahkan kerajaan di atas semua kejadian, maka wujudlah
mengenai perkara tersebut. Perkembangan itu bagi saya adalah sangat malang
sekali kerana kita tidak memberi pandangan atau mengulas berasaskan kepada
fakta yang betul.
Bagi saya, tragedi adalah sesuatu yang
tiada siapa pun yang mengkehendakinya. Namun jika ia berlaku, kita harus
mempelajari sesuatu di sebaliknya.
Oleh kerana itu, janganlah kita
melihat semuanya atas nama politik. Kita mesti menjadi rakyat yang bijak dan
tahu mengulas sesuatu berasaskan kepada kebenaran dan fakta.
Apalah salahnya kita bercakap dan
menulis perkara yang benar … itu lebih baik sebenarnya berbanding suka menabur
fitnah dan menambah cerita.
Fikir-fikirkanlah.