Saturday, August 7, 2010

TERIMA KASIH WARTAWAN

Assalamualaikum

Alhamdulillah, beberapa hari lalu saya sempat meraikan teman-teman wartawan di Taman Tamadun Islam. Sungguh gembira dengan sambutan mereka yang bagi saya mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak.

Sebenarnya, ini adalah acara tahunan yang selalu saya adakan untuk meraikan rakan-rakan media. Bagi saya, media tidak dapat tidak telah memainkan peranan yang sangat penting, bukan sahaja dalam konteks Kuala Nerus yang menjadi kawasan pilihan raya saya tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.

Pengaruh media sebenarnya sangat penting, terutamanya kepada orang politik seperti saya. Namun bukanlah saya maksudkan saya mendekati mereka kerana saya orang politik. Dari segi sejarahnya, keluarga saya sememangnya sangat sinonim dengan dunia kewartawanan. Almarhum ayahanda saya, Tan Sri Ibrahim Fikri juga pernah menjadi wartawan dan pernah memegang jawatan penting di Utusan Melayu pada suatu dulu.

Mungkin juga kerana sejarah itu, saya telah menjiwai media dengan baik dan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan wartawan dan pengamal media.

Di Terengganu, saya sangat kagum dengan rakan wartawan. Saya masih ingat ketika BN kalah pada pilihan raya umum 1999, wartawan di Terengganu telah memainkan peranan mereka dengan sangat berkesan dalam membantu kemenangan semula parti itu pada 2004.

Perkara itu tidak boleh dinafikan sama sekali kerana ia telah menjadi satu sejarah yang tidak boleh membohongi sesiapa.

Selalunya majlis meraikan media diadakan pada bulan Ramadan, namun seperti tahun lalu, saya memilih di penghujung bulan sebelum Ramadan. Bagi saya, waktu ini lebih lapang kerana rakan media akan lebih sibuk dengan pelbagai undangan pada bulan Ramadan nanti.

Kepada rakan-rakan wartawan, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat mereka. Semoga mereka akan terus gigih berusaha dan berkhidmat. Dan, saya juga berharap agar kami dapat sentiasa menjalinkan kerjasama dengan mereka.

Terima kasih media dan wartawan. Peranan kalian amat saya sanjungi dan hargai.

No comments: