Thursday, September 23, 2010

ANTI MALAYSIA DI JAKARTA: SAMPAI BILA


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah sambutan Syawal masih berlangsung dengan meriahnya. Di semua tempat, penganjuran rumah terbuka diadakan. Demikianlah meriah dan nikmatnya hidup kita – yang kadangkala jauh berbeza dengan orang lain, di tempat yang lain.


Apa yang menarik perhatian saya hari ini ialah mengenai insiden tunjuk perasaan warga Indonesia di Jakarta. Kalau dulu, mereka ini melakukan tindakan biadab dengan membakar bendera Jalur Gemilang dan membaling najis manusia ke dalam pagar pejabat kedutaan Malaysia, kelmarin mereka mengepung rumah Duta Malaysia dan mahu menghalau keluar dari Indonesia.


Keadaan terbaharu itu berlaku disebabkan kes rogol yang membabitkan pembantu rumah warga Indonesia baru-baru ini.


Inilah akibatnya apabila setiap perkara mahu diberikan perhatian secara salah dan tidak professional.


Cuba kita faham, bahawa kes itu walaupun serius, ia bukanlah “besar” sangat kerana dalam jumlah warga Indonesia yang ramai di sini, hal sedemikian tidak boleh dielakkan. Kedua, ia bukan berlaku kerana faktor kerajaan tetapi lebih kepada sifat secara individu. Ketiga, pihak berkuasa ini dengan pantas menahan dan mendakwa mereka terlibat dalam maksud tindakan diambil dengan segera dan pantas.


Cuba juga kita faham, berapa ramai rakyat Malaysia menjadi korban angkara rompakan dan pembunuhan yang dilakukan warga Indonesia di Malaysia (Ulang: di Malaysia, BUKAN Indonesia) selama ini. Berapa ramai rakyat kita yang derita akibat perbuatan jenayah warga Indonesia di negara kita. Namun, apakah ada rakyat Malaysia mengambil tindakan seperti rakyat Indonesia di Jakarta?.


Saya bukan mahu mengata, tetapi perbandingan seperti inilah yang boleh memperlihatkan kebenarannya dan kematangan kita.


Di sinilah hilangnya kebijaksanaan orang Indonesia dalam menangani isu-isu berkaitan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat sedih dengan keadaan ini. Peristiwa terbaharu itu telah membuktikan betapa tindakan tegas secara muktamad mesti diambil bagi menghentikannya agar tidak berterusan pada masa akan datang.


Saya menyeru, semua pihak agar segera berhadapan dengan keadaan ini secara bijak. Memanglah nampak mudah dan remeh kononnya ia dilakukan segelintir orang di Jakarta, namun ia tidak boleh dipandang sebelah mata.


Janganlah kita menanti sehingga nasi sudah menjadi bubur, maka ia sudah tidak berguna lagi.


No comments: