Wednesday, April 7, 2010

POLITIK PEMBANGKANG SUDAH MELAMPAU

Assalamualaikum …

Sejak kebelakangan ini, iklim politik kita agak keterlaluan. Ia bagaikan sudah hilang panduan dan sempadan. Gaya politik kita yang seolah-olah menghalalkan semuanya adalah sesuatu yang membimbangkan. Terfikir, di mana undang-undang dan di manakah nilai politik kita sebenarnya.

Anda sendiri mampu melihatnya, apa yang sedang berlaku dengan dunia politik kita. Peliknya, ramai juga yang percaya dengan dakyah sedemikian, cara berpolitik yang sebegitu dan taktik politik yang menjijikan. Saya sendiri tidak faham mengapa perkara sedemikian boleh berlaku, namun itulah pemikiran segelintir daripada kita.

Persoalan yang sering bermain di fikiran saya, itukah nilai dan erti kebebasan yang dituntut sesetengah orang selama ini. Inikah yang mahu kita lakarkan sebagai satu percubaan (kononnya) untuk membawa sebuah negara Malaysia yang berubah. Inikah!.

Atau, inikah demokrasi yang kita mahukan. Inikah demokrasi cara kita?

Bagi saya, politik yang menghalalkan semuanya demi kuasa akan hanya mendedahkan negara kepada ancaman yang tidak mungkin kita mampu mendugakannya. Itulah yang kita bimbangkan.

Terbaharu, lihat bagaimana tuduhan sengaja dilemparkan terhadap Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan terbaharu, pasukan polis kita pula difitnah kononnya ada kaitan dengan Israel.

Bagi saya sebagai seorang ahli politik, hal ini bukanlah sesuatu yang pelik. Namun, Bagaimana dengan rakyat jelata. Mereka pasti akan keliru mengenai tohmahan dan tuduhan tersebut. Jika dibaca mengikut sifir politik, bukan sukar untuk mengetahui mengapa hal sedemikian boleh berlaku.

Logiknya, mereka yang menjadikan pihak berkenaan sebagai sasaran disebabkan mereka merasakan dirinya terancam. Mengapa 1Malaysia menjadi sasaran misalnya?. Ia mudah. Gagasan 1Malaysia ternyata telah menampakkan kesan positif kepada parti pemerintah dan kerajaan. Dan, perkara itu telah menjadi ancaman kepada pihak tertentu. Oleh kerana itu, mereka menyerang gagasan tersebut. Dan, begitulah dalam hal-hal lain yang menjadi ancaman politik kepada mereka. Itulah sebabnya.

Cuma kaedah dan cara berpolitik bagi menyerang sesuatu yang bersifat ancaman itu agak menyedihkan. Dan, sejauh manakah rakyat memahami dan difahamkan mengenai kaedah berpolitik sedemikian?. Saya fikir, jika rakyat kita diberikan kefahaman mengenai apa itu politik, mereka sudah tentu tidak mudah diperdayakan, termasuklah isu-isu yang saya maksudkan.

1 comment:

Anonymous said...

Pokok tak kan bergoyang kalau tak ditiup angin!!!!!!!!!!