Saturday, June 13, 2009

PARTI MENGUASAI KERAJAAN, RAKYAT?

Assalamualaikum …

Apakah yang anda faham mengenai parti menguasai kerajaan?. Dalam percaturan politik, ia adalah sebahagian daripada sifirnya. Hakikatnya, sebuah kerajaan tidak akan ditegakkan dengan jayanya jika hanya berpegang kepada parti menguasai kerajaan walaupun itu mungkin menjadi satu kemestian. Seperti kata Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, konsep parti menguasai kerajaan akan lebih lengkap jika rakyat diajak sama menjayakannya.

Maksudnya, parti yang menguasai kerajaan tidak akan banyak bermakna tanpa kita melibatkan rakyat kerana kejayaan sesebuah parti itu banyak disumbangkan oleh kuasa rakyat. Maka, parti, kerajaan dan rakyat adalah tiga komponan yang amat penting untuk dibajai. Dalam keadaan parti menguasai kerajaan, ahli-ahli parti atau pemimpin parti pula mestilah menterjemahkan aspirasi tersebut kepada rakyat. Ahli parti atau pemimpin parti tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak, bersuara atau melontarkan apa yang mereka mahukan tanpa mengambil kira kuasa, kedudukan dan perasaan rakyat. Tidak boleh sama sekali.

Oleh kerana itu, apabila tercetusnya sesuatu krisis politik, kita mesti kembali kepada kepentingan rakyat. Kita mesti memikirkan apakah tindakan, ucapan atau kemahuan kita itu sejajar serta selaras dengan kehendak atau kemahuan rakyat. Parti yang menguasai kerajaan tetapi memisahkan rakyat daripadanya akan mendedahkan mereka kepada mala petaka politik. Itu tidak syak lagi. Bagi ahli dan pemimpin parti politik yang memahami keadaan tersebut, mereka pasti akan lebih berhati-hati sebelum bertindak.

Oleh itu, bagi membentuk sebuah kerajaan yang berjaya dan kekal, parti mestilah mengutamakan rakyat selain tidak meminggirkan langsung kepentingan ahli parti. Bunyinya agak berbelit sedikit, tetapi falsafahnya amat jelas. Kerajaan dan parti mesti diperkasakan melalui kuasa rakyat. Ke mana pun tujuan dan apa pun kemahuan kita, akhirnya kuasa rakyat yang menentukan nasib kita dan parti kita. Itu hukum demokrasi.

Saya sentiasa percaya dengan kuasa rakyat dan kerana itu saya meletakkan penghormatan tinggi terhadap rakyat adalah antara perkara yang paling teratas dalam senarai kepentingan hidup saya sebagai wakil rakyat. Saya berharap saya masih mampu berada di landasan sebagaimana sekarang. Saya bangga kerana menjadi ahli dan pemimpin sebuah parti politik, apatah lagi parti saya yang menguasai kerajaan.

Justeru, saya berharap rakyat akan terus bersama-sama saya. tegurlah saya, berikanlah pandangan yang bernilai untuk saya terus berbakti kepada mereka, insya’Allah.

No comments: