Monday, July 13, 2009

PM: SERATUS HARI YANG MEYAKINKAN

Salam blogger …

Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah diraikan dalam seratus hari tempoh pentadbirannya. Seratus hari mungkin hanya sekadar angka bagi mereka yang tidak peka dengan persekitaran, namun bagi mereka yang lain, seratus hari adalah detik penting yang wajar diberikan pertimbangan dan penilaian.

Maka begitulah seratus hari Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri. Seratus hari pertama, beliau sangat bertuah kerana dapat melalui tempoh penilaian yang meyakinkan dan mengembirakan rakyat. Ia menjadi simbol dan kayu ukur ke atas keyakinan rakyat yang lebih berganda terhadap beliau dan kerajaan selepas ini.

Seratus hari pertama ada prose penilaian yang saya anggap sebagai amat penting. Jika seseorang pemimpin itu gagal dalam tempoh tersebut, ia akan dinilai sebagai kegagalan yang berpanjangan walaupun peluang untuk berubah dan mengubah tetap ada. Demikian beratnya bahu seseorang pemimpin jika anda ingin memahaminya.

Dalam tempoh seratus hari, beliau telah membuktikan bahawa seorang pemimpin mesti sentiasa mendampingi rakyat dan mendahului kehendak rakyat. Itulah antara perkara yang perlu rumuskan dalam gagasan Satu Malaysia yang kini menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Paling mengembirakan, Perdana Menteri kita tela mengumumkan sebelas hadiah kepada rakyat sempena sambutan seratus hari pentadbirannya. Ia adalah satu terjemahan terhadap corak dan cara beliau memimpin kita dan negara.

Secara peribadi, saya mempunyai pelbagai kisah bersama beliau dan Allahyarham bapanya. Kebetulan ayah saya, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri adalah MB Terengganu ketika Allahyarham Tun Razak menjadi PM, maka banyaklah peristiwa penting yang berlaku di antara mereka yang sentiasa saya ikuti dengan kagumnya. Datuk Seri Mohd Najib pula adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan kebetulan saya pula berada dalam Pergerakan Pemuda UMNO di era beliau menjadi ketuanya. Jadi, saya sudah sudah tentu mempunyai corak penilaian yang tersendiri mengenai beliau dan bagi saya, tidak hairanlah rakyat amat saying kepada beliau kerana Datuk Seri Mohd Najib adalah pemimpin rakyat.

Saya tidak mahu memuji terlalu banyak kerana saya tidak mahu mengheret anda kepada persepsi yang lain pula terhadap saya walaupun itulah sebenarnya sebahagian kecil kisah yang mampu membuatkan saya membuat penilaian yang lebih tepat mengenai kepimpinan beliau. Mungkin saya kurang adil kerana saya adalah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan sudah tentu pandangan saya ke arah itu akan dilihat lain. Tidak, saya tidak mahu begitu.

Namun, saya ingin menyatakan bahawa saya menulis ini bukan kerana saya seorang wakil rakyat yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib. Saya menulis hari ini adalah sesuatu mengenai apa yang saya lihat rakyat sedang rasakan mengenai kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib. Itulah yang jelas.

Jikalah saya boleh simpulkan, seratus hari pertama Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang amat meyakinkan untuk beliau mendepani lebih banyak cabaran dan dugaan.

Friday, July 10, 2009

PERGINYA SEORANG WANITA BERNAMA NATRAH

Rusuhan Natrah di Singapura

Natrah bersama ibu angkatnya, Che Aminah

Salam bloger,

Ramai yang tidak tahu, mungkin terlepas pandang mengenai seorang wanita bernama Natrah yang diberitakan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu lalu akibat penyakit leukemia pada usia 72 tahun.

Mengapa saya terdetik untuk mencatatkan mengenai wanita ini yang nama asalnya Bertha Hertogh. Beliau adalah seorang wanita yang mungkin boleh dianggap sebagai kontroversi kerana sejarah hidupnya yang berkahwin dengan seorang lelaki Islam.

Kerana Natrahlah, berlakunya satu rusuhan di Singapura pada tahun 1950 yang dikenali sebagai “Rusuhan Natrah” apabila masyarakat Islam di sana tidak berpuas hati dengan undang-undang British/Belanda yang tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada melangsungkan perkahwinan.

Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan antara ibu angkatnya yang dikenali sebagai Che Aminah dengan keluarga asalnya yang berketurunan Belanda. Natrah ketika itu baharu berusia 13 tahun dan telah memeluk Islam sebelum bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Natrah dilahirkan pada 24 mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh. Pada Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Natrah ketiak itu berusia 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam. Pada 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah. Pada 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Pada 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman dan 2 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura. Pada 24 April 1950 pula, Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura .


Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co. Pada 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura. 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Pada Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah. 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian?.

Bapanya lebih berhak ke atasnya. Pada 12 Disember 1950 adalah detik menyedihkan apabila hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Pada 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah meminta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda. Pada 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu. Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

Pada 1976, ibu angkat Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh bekas suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.

Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

Demikianlah kisahnya mengenai manusia bernama Natrah. Saya catatkan untuk anda merenung, berfikir mengenai kisah seorang wanita yang pernah menggemparkan dunia melalui sejarah hidup yang tragis dan menyayat hati.
Hebatnya, seorang anak Terengganu berjuang hingga ke akhir hayat dalam mempertahankan keIslaman insan bernama Natrah.

Pemergian Natrah sudah tentu akan mengimbau banyak nostalgia dan ia pasti menyentuh perasaan terutamanya bagi penduduk di Kemaman yang pernah bersama-sama dengan wanita tersebut ketika hayatnya.

Thursday, July 9, 2009

PPSMI: Kerajaan Berjiwa Rakyat

Assalamualaikum …

Walaupun mempunyai waktu yang agak terbatas, namun memandangkan apa yang saya tulis, ramai yang sudi membacanya dan berkongsi pandangan, maka saya lebih selesa meluangkan waktu untuk mencatatkan di sini.

Pastinya keputusan kabinet semalam mengenai pemansuhan dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012 menjadi topik yang sangat diperkatakan. Semua orang mahu memberikan pandangan. Ada yang bersetuju, ada juga yang masih sinis dan tidak kurang pula yang hanya pandai mengkritik dan mahu berlagak betul seumur hidup.

Bagi mereka yang sentiasa tidak pernah sedar mengenai setiap kebaikan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), keputusan yang diumumkan kerajaan itu mungkin tidak membawa apa-apa nilai kepada mereka. Paling tidak pun, mereka akan mengandaikan bahawa keputusan kerajaan itu adalah hasil desakan mereka dan kumpulan mereka sebelum ini. Kononnya!.

Bagi saya, saya melihatnya dari perspektif yang berbeza. Bukan kerana saya ini seorang Ahli Parlimen dan wakil rakyat, tetapi saya pasti lebih merasai mengenai apa yang diputuskan oleh sebuah kerajaan yang parti sayalah yang menjadi tunjangnya. Pemansuhan PPSMI lebih kepada menterjemahkan gagasan Satu Malaysia yang antara lain telah meletakan kepentingan rakyat didahulukan. Sebagaimana yang pernah saya tuliskan sebelum ini, apa yang baik bagi rakyat, maka itulah yang baik bagi kerajaan.

Gagasan itulah bagi saya yang menjadi asas penting dalam setiap keputusan yang dibuat termasuk PPSMI ini dan ia dicantumkan pula dengan asas-asas yang lain.

Rakyat pasti akan diracuni oleh perosak akal manusia di negara kita kononnya keputusan yang dibuat itu adalah kerana kerajaan BN telah tunduk kepada desakan. Sebenarnya tidak!. Sebelum mereka membantah lagi, kerajaan telah memberikan jaminan bahawa setiap dasar akan sentiasa dikaji dan kerajaan sendiri tidak pernah menutup pintu perbahasan mengenainya. Maka begitulah dengan PPSMI.

Apa yang berlaku itu juga membuktikan bahawa kerajaan BN bukannya dipimpin oleh mereka yang hanya bercakap bermodalkan air liur semata-mata kerana setiap yang menjadi kebaikan rakyat, itulah yang akan didahulukan.

Percayalah bahawa kerajaan kita tidak pernah tunduk kepada mereka yang menyertai demonstrasi jalanan dalam menyelesaikan sesuatu isu. Sebabnya, demonstrasi jalanan tidak mempunyai pemikiran. Ia wujud dan diwujudkan berteraskan emosi semata-mata dan kerana itu, mereka yang tidak memahami langsung mengenai dasar PPSMI pun turut menyertai demonstrasi jalanan. Itu bukan pertimbangan kerajaan.

Selain mengambil kira pendapat dan pandangan rakyat, dan ditambah dengan hasil kajian yang terperinci serta teliti oleh pakar-pakar, maka baharulah setiap keputusan dibuat kerajaan. Ertinya, keputusan yang dibuat kerajaan adalah berteraskan pemikiran.

Kerajaan kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan itulah bagi kerajaan yang terbaik untuk rakyat, PPSMI dimansuhkan demi rakyat.

Tahniah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyddin Yassin.


Monday, July 6, 2009

DEMOKRASI DAN PENGERTIANNYA

Salam bloger…

Sudah sah, berlaku pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan. Ia telah diputuskan pada proses penamaan calon yang diadakan hari ini (6hb Julai 2009). Apakah pengertiannya bagi anda apabila berlakunya pilihan raya kecil. Apakah bagi anda, anda hanya melihatnya dari sudut nilai politik kepartian semata-mata. Maksudnya jika anda penyokong BN, adakah memadai jika kita hanya menyertai pilihan raya seperti itu?. Atau bagi anda yang menyokong Pas, adakah hanya memadai dengan berceramah kosong, menahan bas yang disangka terisi hantu atau bersikap ganas terhadap orang lain?.

Bagi saya, ada sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang yang selama ini sengaja dan cuba diperdayakan oleh pembangkang terhadap pemikiran dan tindakan kita. Pilihan raya kecil itu adalah satu lagi bukti proses demokrasi masih segar dan hidup dengan mekarnya di negara kita. Ia adalah bukti betapa sebenarnya, apabila tiba masanya, rakyat akan diberikan hak untuk memilih pemimpin. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menolak dan menafikan hak tersebut. Oleh itu, setiap kali kita mendengar dakwaan pembangkang mengenai demokrasi, ia amat menjengkelkan. Mereka mahu mentafsir, demokrasi hanya sesuatu yang memberikan kemenangan atau memihak kepada mereka. Tidak bolehlah begitu.

Di Manik Urai, rakyat diberikan hak sebebas-bebasnya untuk memilih pemimpin mereka, yang mereka yakini mampu membela nasib mereka. Namun, kadangkala ramai di kalangan kita yang tersilap memilih pemimpin dan apabila pemimpin itu gagal melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan, rakyat di kawasan mereka mahu menyalahkan kerajaan pula. Sekali lagi, tidak bolehlah begitu.

Demokrasi telah terlaksana dan dilaksanakan. Jika, kita tersilap menunaikan hak kita, maka ia adalah sesuatu yang amat malang sekali. Demokrasi tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini, apatah lagi mahu dicemari, tidak boleh. Bagi saya, mereka yang berprasangka buruk terhadap demokrasi adalah mereka yang tidak mencerminkan diri. Mereka gagal melihat segarnya demokrasi disebabkan kesilapan mereka sendiri. Itulah yang menyedihkan. Sebagai pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi yang tulin, saya menyedari hakikat tersebut dan saya gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin untuk rakyat saya.

Kepada pengundi di Manik Urai atau lebih popular kini dipanggil “MU” (semacam pasukan bola sepak MU), mereka mesti bijak memilih pemimpin kerana jangan akhirnya nanti kesilapan yang dibuat menyebabkan mereka menunding jari kepada demokrasi. Memilih pemimpin biarlah berasaskan kemampuan pemimpin itu sendiri dan keupayaan parti yang diwakili pemimpin itu.

Demokrasi akan binasa jika hak yang diberikan telah disalahgunakan. Maksudnya, kita memilih pemimpin secara salah dengan berasaskan emosi, kepuakan dan seumpamanya tanpa kita memikirkan mengenai kepentingan kita, kemampuan pemimpin yang hendak dipilih dan nasih penduduk yang bakal diwakili pemimpin berkenaan. Kita kena bijak memilih dan mesti mengambil kira rekod parti yang diwakili pemimpin yang hendak dipilih. Jangan memilih hanya semata-mata kita diberikan hak memilih. Ingat, kita juga diberikan pertimbangan dan pertimbangan itu pula amat menuntut kepada kebijaksanaan kita.

Kita tidak boleh gagal. Tidak apa yang perlu dibuktikan di Manik Urai. Memadai jika sekadar kita memahami demokrasi dan menyokong ia terus disegarkan. Jika kita mampu memahami pengertian demokrasi, pilihan yang bakal dibuat pastinya tepat.

Dan, yang paling tepat semestinya pemimpin yang mewakili parti yang hebat dan telah terbukti berjaya memaju dan membangunkan negara ini selain sentiasa cakna terhadap kebajikan dan masa depan rakyat.

Anda tidak harus malu atau segan untuk mengakui bahawa parti yang saya maksudkan ialah BN. Muktamad.

Wednesday, July 1, 2009

DEBAT HANYA HELAH PAS

Pemimpin UMNO sentiasa berhemah dan tidak pernah mencabar sesuatu yang karut
Salam blogger …

Sejak sehari dua ini, kecoh pasal Mb Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ajak PM kita berdebat. Jika mendengar orang Pas bercakap, mereka akan kata begitulah UMNO, takut bila ajak berdebat. Sebenarnya, UMNO adalah sebuah parti yang matang dan kerana itu UMNO tidak perlu melayan sebarang permintaan yang boleh dianggap mengarut.

Apa yang kita cari di sebalik debat tersebut. Kebenaran?. Apakah masyarakat Pas adalah golongan yang bersedia mendengar dan menerima hujjah orang lain?. Atau, adakah masyarakat Pas berani menolak setiap pandangan Datuk Nik Aziz walaupun ia didapati salah dan palsu?. Apa yang kita cari. Perpaduan?. Berdebat dengan Pas tidak mungkin boleh mencari perpaduan. Anda semua faham mengenai maksud saya.

Saya tidak nampak apakah tujuan murni di sebalik pelawaan berdebat itu selain ada perasaan sombong dan riak. Pas sekarang sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut yang melibatkan Datuk Nik Aziz sendiri dan apa yang saya Nampak, berdebat hanyalah jalan terakhir Pas untuk meluputkan perhatian masyarakatnya kepada masalah parti itu. Datuk Nik Aziz sedar bahawa berdebat bukan budaya UMNO dan UMNO pasti tidak akan melayan cabaran tersebut. Bukan kerana takut. Sebabnya, pemikiran pemimpin dan masyarakat Pas masih terkongkong dengan kaedah yang sempit, tidak mampu menerima pendapat orang lain dan hanya menganggap dirinya sahaja yang betul.

Oleh kerana itu, UMNO lebih selesa memilih jalan perbincangan kerana ia bukan sahaja boleh dilihat lebih harmoni, tetapi kesannya juga dalam. UMNO tidak pernah menjadikan perpaduan sebagai mata pancing atau alat bagi mencapai cita-cita politik. Bagi UMNO, perpaduan adalah sesuatu yang dimahukan. Justeru, setiap usaha ke arah itu, walau dengan apa kaedah pun, maka pintu UMNO sentiasa terbuka.

Bagi UMNO berdebat sebagaikan yang dimahukan Datuk Nik Aziz hanyalah seperti budak-budak yang kalah bertekak (berhujjah) tetapi ajak bertumbuk. Datuk Nik Aziz dah berhujjah tetapi ternyata sekarang ini tidak semua rakyat boleh menerima hujjah beliau. Maka itu, dia ajak PM atau UMNO masuk gelanggang. Buat apa lagi nak berdebat. Di siding DUN, Parlimen dan forum-forum lain, kami sentiasa berdebat tetapi apa kesudahannya?. Apakah Pas boleh terima kenyataan dan setiap penjelasan kerajaan yang tidak sebulu dengan mereka?.

Iniah masalahnya apabila semuanya hendak dipolitikkkan. Kita akan rugi jika setiap tembok kita pecahkan hanya kerana mahu menyelamatkan politik. Saya lebih percaya kepada perbincangan dan kerana itu saya setuju sepenuhnya apabila UMNO tidak mahu melayan permintaan Datuk Nik Aziz itu.


Wednesday, June 24, 2009

TERKUBURNYA SATU KISAH

Assalamualaikum …

Saya tidak terkejut langsung apabila pakatan pembangkang menolak cadangan Kerajaan Perpaduan. Segala-galanya adalah sesuatu yang mudah dijangka kerana Pas bukannya sebuah parti “yang menguasai” Pakatan Pembangkang walaupun gema yang mereka gendangkan seolah-olah merekalah menjadi ketua dalam pakatan tersebut.

Sebaliknya sudah kedengaran kini suara-suara sumbang oleh segelintir pemimpin pembangkang yang mahu menyalahkan UMNO dalam isu Kerajaan Perpaduan. Begitulah wajah dan watak pembangkang. Apabila mereka tersepit, mereka akan menyalahkan orang lain tanpa mereka tergamak mencerminkan diri sendiri. Rakyat sendiri boleh mendengar dan melihat ucapan para pemimpin Pas mengenai isu Kerajaan Perpaduan. Ia bukanlah suara “mimming” semata-mata.

Biarlah. Mereka menolak pun, ia bukannya menjadi satu kerugian kepada UMNO. Kerajaan BN yang diterajui UMNO tidak sedikit pun terjejas dengan penolakan tersebut. Cuma, apabila satu cadangan yang baik seperti Kerajaan Perpaduan dikemukakan, maka UMNO menyambutnya dengan baik. Sebabnya bagi UMNO, apa yang baik bagi rakyat, itulah yang baik bagi UMNO. Tiada prejudis atau kepentingan bagi mencapai sesuatu yang baik. UMNO tidak pernah berdalih dan tidak pernah meletakkan sebarang syarat berbanding Pas yang sejak dulu mencabar dan mengajak UMNO untuk bermuzakarah tetapi pada masa yang sama telah meletakkan pelbagai syarat.

UMNO tidak begitu. UMNO adalah sebuah parti rakyat yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara yang mesti didahulukan. UMNO tidak pernah curiga atau berprasangka buruk terhadap sesuatu yang baik. Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak percaya hasrat Pas mengenai Kerajaan Perpaduan adalah ikhlas. Namun semuanya terhalang. Ia dihalang oleh perasaan prasangka yang tebal, takut pada bayang-bayang sendir dan persepsi salah mengenai masa depan umat Islam/Melayu itu sendiri.

Politik sedemikian tidak akan membawa kita ke mana-mana. Jangan terlalu yakin dengan cara berpolitik sedemikian. Saya agak terkilan dengan perkembangan isu ini. ia sebenarnya telah menjadi harapan rakyat. Namun ia dihancurkan dan dihalang oleh parti yang bercita-cita besar dan meletakkan impian untuk menjadi manusia paling berkuasa sebagai matlamat yang mengatasi kepentingan rakyat. Itulah masalahnya.

Lagi menyedihkan apabila yang mencadangkan itu pula turut akur dengan kehendak kuasa berkenaan. Fikirkanlah.

Monday, June 22, 2009

KEPUTUSAN SEORANG KETUA

Salam bloger …

Pengumuman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semalam (Ahad) mengenai rombakan pucuk kepimpinan badan itu ternyata mengembirakan banyak pihak. Bagi saya, ia adalah satu rombakan yang amat tepat dan mampu memberi sumbangan besar ke arah menyatu dan memperkukuhkan UMNO di Terengganu ini. Pelantikan tiga pemimpin baharu di peringkat Badan perhubungan itu jelas tidak menampakkan Datuk Seri Hishamuddin memberilkan “kemenangan” kepada mana-mana pihak.

Walaupun mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut, namun bagi saya, itu sajalah jalan terbaik bagi pucuk kepimpinan parti dalam menyelesaikan masalah yang berlaku hari ini. Hakikatnya, tidak ada keputusan yang mampu memuaskan hati semua pihak. Namun, jika semua pihak bersikap akur dengan ketua parti, maka jalan penyelesaiannya sebenarnya sudah terbuka.

Pelantikan Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Badan Perhubungan adalah wajar kerana beliau adalah seorang tokoh yang berpengalaman, sama ada dalam kerajaan dan juga parti. Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau pernah menjawat jawatan tersebut sebelum ini dan apabila sudah memegang jawatan menteri di peringkat pusat, sudah tentu beliau mempunyak banyak kelebihan untuk bekerja keras demi parti.

Saya juga gembira dengan pelantikan timbalan saya, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang dilantik sebagai Bendahari. Pelantikan itu saya terjemahkan sebagai satu penghormatan pucuk kepimpinan parti kepada saya dan bahagian yang saya ketuai – Kuala Nerus. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang telah dilantik.

Sebenarnya saya melihat, semuanya bersedia bekerja demi parti, mahu melihat UMNO terus utuh dan sentiasa bertakhta di hati rakyat. YAB Menteri Besar, Datuk Ahmad Said misalnya, walaupun daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan kemudiannya hanya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, beliau tetap akur demi parti. Begitu juga dengan Datuk Tengku Putera, juga akur dengan pelantikan itu walaupun bagi sesetengah orang ia ditafsir kononnya sebagai “turun pangkat”.

Di dalam politik, tiada istilah diturunkan pangkat kerana setiap ahli parti mempunyai tanggungjawab terhadap parti. Justeru, jika pemimpin kita boleh akur dengan keadaan itu, mengapa kita tidak boleh sebagai pemimpin lain di peringkat kerajaan dan parti?. Saya tidak nampak perkara itu tidak boleh berlaku. Oleh itu, saya berharap agar pelantikan yang diumumkan semalam diterima dengan positif dan demi masa depan parti.

Jika itu dapat dipupuk dan diterima dengan baik, UMNO Terengganu akan kembali kuat dan kukuh. Setiap masalah perlu ada jalan penyelesaiannya. Anggaplah apa yang diputuskan semalam sebagai penghujung kepada masalah itu. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu, kembali bertaut pada dahan perjuangan demi agama, rakyat, negara, parti dan bangsa.